![]() |
REFORMASI FATWA ROKOK: ” Siri Artikel yang mendepani beberapa kekeliruan umat Islam terhadap polimek hukum rokok, khususnya mereka yang tegar mempertahankan hukum rokok berdasarkan sangkaan nas semata-mata dengan mengenepikan pandangan saintifik ” Siri 3: Wahai Saudaraku! Dulu Khilaf Kini Ijmak PADA suatu ketika dulu dunia umat Islam pernah gawat dengan isu perdebatan hukum rokok. Apapun, perdebatan yang berpanjangan itu tidak menokhtahkan resolusi muktamad sehingga timbul kecelaruan dalam fikiran saya apakah sesuai diistilahkan perdebatan rokok zaman dulu sebagai “kontroversi hukum rokok”! Namun diri saya cukup yakin bahawa perdebatan ulama didasari ketaqwaan dan dilatari etika bukan kedengkian. Mereka telah meninggalkan untuk kita warisan ilmu gemilang, moga Allah s.w.t merahmati ruh mereka- amin. Kehangatan itu saya dapat dijiwai ketika menelaah kitab-kitab mazhab yang memperdebatkan hukum sigaret. Masing-masing mendirikan hujah, tetapi ternyata kesepakatan hukum tidak tercapai jua. Umat Islam terus dilema, asap rokok terus disedut dalam kekeliruan dan rokok terus dijual dalam kesangsian. Persoalannya, wajarkah sebagai seorang mukmin begitu rendah mutu penghayatan Islamnya dan tidak sudi memberikan kesungguhan mencari kebenaran. Tidakkah dihambat perasaan, dilingkungi ketakutan dan terasa sedikit bersalah sehingga mendorong kita nekad mencari sebuah kepastian. Soal halal haram makanan termasuk ibadat. Rasulullah s.a.w menyebut; “Tidak tumbuh suatu daging dari usaha yang haram melainkan neraka lah yang utama baginya” Dalam situasi yang lain, amalan dan doa kita tidak diterima oleh Allah s.w.t. Amalan itu walaupun sah kerana memenuhi rukun dan syaratnya tetapi tergantung-gantung tidak diangkat ke langit kerana beberapa asas lain tidak dipenuhi. Saudaraku!, perdebatan dan perbincangan fatwa rokok mula dicatat dalam kitab-kitab Islam hanyalah selepas 1000 tahun Hijrah. Pada tahap itu ulama membincangkan hukumnya dibawa subjek “al-dukhan”, “al-tutun”, “al-tunbak” dan “al-tabgh.” Manakala perbuatan merokok seringkali diistilah sebagai “al-tadkhin”. Untuk rujukan saudara, sila rujuk dalam Mausu’ah al-Fiqh al-Islami, jilid 12, halaman 65-70. Karya ini berjaya mencatatkan pandangan fuqaha serta aliran mazhab Islam mengenai hukum rokok berserta dengan inti pati pendalilan. Justeru, ruangan ini terlalu sempit untuk membentangkan pandangan tersebut secara rinci. Maka izinkan saya dalam ruangan ini hanya membincangkan dalam suasana semi ilmiah dengan menumpukan mesej dan rumusan yang diperolehi. Sebelum seseorang berpegang kepada hukum rokok, ia perlu memahami secara jelas 4 senario kematangan ijtihad rokok. Pertama; Dr. Abd al-Jalil Syalabi ahli badan penyelidikan Islam menyatakan menghisap rokok tidak wujud zaman Nabi s.a.w., juga zaman penyusunan teks fiqh para imam yang terawal, juga ketika munculnya mazhab-mazhab fiqh. Perbuatan merokok hanya muncul lebih kurang dalam kurun ke 16 Masihi. Senario kedua ialah keupayaan fuqaha menyimpulkan hukum rokok amat terhad kepada perumusan dalil-dalil syarak yang umum. Adapun fakta sainstifik mengenai kebaikan atau keburukan rokok tidak diperolehi kecuali dari pemerhatian umum bukan pengkajian. Pada masa mereka itu, dengan tahap teknologi yang seadanya tidak kelihatan secara jelas akan bahayanya merokok itu kepada kehidupan tamadun manusia. Senario ketiga ialah fokus ulama sewaktu meneliti hukum rokok adalah lebih tertumpu kepada orang yang menghisap itu sendiri bukan kepada bahan yang terkandung dihisap itu serta sejauh mana implikasinya kepada ekonomi dan sosial secara menyeluruh. Berdasarkan 4 senario di atas, tabiat hukum rokok mengalami reformasi ijtihad kepada 3 peringkat perkembangannya. Peringkat pertama pada zaman permulaan kemasukan rokok ke bumi umat Islam pada tahun 1600. Peringkat kedua tercatat pada zaman pertengahan dan peringkat ketiga ialah zaman moden di mana alat-alat sains mula dicipta. Sebagai pengetahuan, Dr. Abd al-Jalil Syalabi menjelaskan pada zaman permulaan ada ulama yang menganggap rokok sejenis minuman (syarb) yang hukumnya harus pada zatnya. Hukum ini semata-mata dinisbah kepada orang yang menghisapnya sahaja. Manakala hukumnya secara ditil, ulama tidak bersepakat menurut kedudukan hukum taklifi yang lima sama ada harus bagi orang yang tidak mendatangkan apa-apa kesan atas hartanya dan kesihatannya, ia seperti kopi dan teh yang diminum. Makruh nisbah bagi orang sedikit hartanya, bila harga rokok itu tidak memberi kesan terhadap hartanya bagi keperluan dirinya, keluarga da orang di bawah tanggungannya serta tidak mendatangkan kesan buruk atas kesihatannya. Haram nisbah bagi orang yang fakir yang memerlukan harga rokok itu untuk belanja hidup dan keperluannya, sebagaimana haram untuknya bila ada kesan buruk kepada kesihatannya. Sunat bagi orang yang mendapat kecergasan daripada menghisap rokok itu bagi setengah daripada kerja-kerjanya. Kedudukannya seperti kedudukan kopi yang menjadikan orang cergas dan tidak mengantuk. Wajib apabila sabit dengan merokok itu dapat menyembuhkan sesuatu penyakit yang dihidapinya. Kedudukan ini sama seperti ubat yang wajib ia gunakan untuk memulihkan kesihatannya. Inilah beberapa senario ijtihad pada tahun 1600 tahun dahulu dalam isu rokok. Hakikatnya perbezaan hukum di atas bukan dari khilaf pemahaman nas-nas syarak, tetapi manifestasi kegagalan ulama mendapatkan maklumat sebenar. Al-Syeikh al-Akbar Jad al-Haq menegaskan ulama pada era itu berada dalam dilema antara kebaikan dan kemudaratan rokok. Hakikatnya ulama hanya melihat kepada zahir perbuatan merokok dari daun tembakau yang mengeluarkan asap. Mereka tidak mempunyai maklumat mengenai kandungan dalam tembakau yang membawa bahaya besar kepada paru-paru dan sistem tubuh badan manusia. Kesedaran terhadap keterbatasan serta kesilapan hukum rokok mula menonjol setelah bukti demi bukti kemudaratan rokok secara saintifik dapat dibuktikan. Mufti Mesir, Dr. al-Syeikh Ahmad al-Tayyib menyebut perbincangan hukum rokok pada peringkat silam tidak sunyi sama ada haram, harus dan makruh bergantung sejauh mana kesan kemudaratan, pembaziran dan kejelekan baunya. Namun, mutakhir ini kajian ilmiah membukti kesan buruk, bahaya dan ancaman terhadap kesihatan dalam mana-mana jua keadaan. Persatuan Kesihatan Dunia dan Persatuan Kesihatan Islam telah menghantar dokumen kemudaratan rokok kepada Majlis Fatwa. Lantas, Majlis Fatwa al-Azhar mengeluarkan kenyataan bahawa jika sabit kemudaratan rokok keatas kesihatan dan kehidupannya maka hukum rokok adalah haram secara syarak.
Bersambung Siri Yang Keempat..
Maklumat Penulis: Mohd Azhar bin Abdullah
18 May, 2009 8:32 AM
|
hakcipta terpelihara© 2005-2006 - Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) [ IPTS070-KP (JPS) 5195 / IPTS / 1007 ] |