PENAMAAN PUTERA “ABDU AL-HARITH” DALAM KISAH NABI ADAM DAN HAWWA’: SATU PENJELASAN TERHADAP SALAH FAHAM DALAM PENTAFSIRAN AYAT 189-190: SURAH AL-A’RAAF


Disediakan oleh:
Dr. Ahmad Najib bin Abdullah

 

Abstrak

Sebahagian riwayat-riwayat Israiliyyat yang termuat dalam kitab-kitab Agama kita, sama ada disedari atau tidak membawa bahaya dan memberikan kesan buruk terhadap akidah orang-orang Islam, sehingga ada di kalangan mereka yang menganggap riwayat-riwayat berkenaan adalah sahih dan boleh diterima, lalu mereka mentafsirkan ayat-ayat al-Quran berdasarkan sumber itu. Di antara riwayat-riwayat Israiliyyat yang tersebut ialah kisah penamaan putera Nabi Adam dan Hawwa’ sebagai Abdul Al-Harith. Kisah ini perlu dikaji dan diteliti menerusi kajian sanad dan matan riwayat dengan disertakan fiqh al-Israiliyyat bagi tujuan membincangkan kisah ini secara ilmiah.

Allah Subhanahu Wa ta’ala berfirman (al-A’raaf: 189-190):
(هو الذى خلقكم من نفس واحدة وجعل منها زوجها ليسكن إليها فلما تغشاها حملت حملا خفيفا فمرت به فلما أثقلت دعوا الله ربهما لئن ءاتيتنا صالحا لنكونن من الشاكرين. فلما ءاتاهما صالحا جعلا له شركاء فيما ءاتاهما فتعالى الله عما يشركون)
Maksudnya:
“ Dialah (Allah) yang menciptakan kamu dari diri yang satu dan daripadanya Dia menciptakan isterinya, agar dia merasa senang kepadanya. Maka setelah dicampurinya, isterinya itu mengandung kandungan yang ringan dan teruslah dia merasa ringan (beberapa waktu). Kemudian tatkala dia merasa berat, kedua-duanya (suami isteri) bermohon kepada Allah, Tuhan mereka seraya berkata: “Sesungguhnya jika Engkau memberi kami anak yang sempurna, tentulah kami termasuk dalam golongan orang-orang yang bersyukur”. Tatkala Allah memberi kepada kedua-duanya seorang anak yang sempurna, maka kedua-duanya menjadikan sekutu bagi Allah terhadap anak yang telah dianugerahkanNya kepada kedua-duanya itu. Maka Maha Tinggi Allah dari apa yang mereka persekutukan.”

sebahagian mufassirin (tokoh-tokoh tafsir), termasuk Ibnu Jarir al-Tabari r.a. yang terkenal sebagai “Imam al-Mufassirin” dan ahli-ahli tafsir yang lain ada menyebut di dalam kitab-kitab mereka beberapa riwayat tafsir berhubung ayat yang dibincangkan. Kemusykilan berlaku dalam mentafsirkan firman Allah:
(فلما ءاتاهما صالحا جعلا له شركاء فيما ءاتاهما فتعالى الله عما يشركون)

Jika dilihat kepada keseluruhan riwayat yang disebut oleh Imam al-Tabari dalam kita tafsirnya berkenaan tafsiran ayat di atas, kita mendapati ianya bersumberkan beberapa orang sahabat dan tabi’in seperti Ibnu Abbas r.a, Samurah bin Jundub, Qatadah, Mujahid, Sai’id bin Jubair dan lain-lain.

Riwayat-riwayat tersebut menceritakan bagaimana sukarnya Nabi Adam dan Hawwa’ mendapatkan cahaya mata. Pada peringkat awalnya, Iblis menakut-nakutkan Hawwa’ bahawa kandungan yang dikandunginya akan lahir bukan dalam bentuk dan rupa manusia, tetapi berkemungkinan Hawwa’ akan melahirkan seekor binatang; kambing, lembu, anjing, khinzir, himar, unta atau sebahagian dari anggota-anggota binatang itu. Cara keluarnya nanti boleh jadi menerusi hidung atau telinga atau mata Hawwa’ atau dari qubul atau dubur atau melalui perut?. Maka Iblis memberitahu Hawwa’ supaya anaknya yang dilahirkan nanti diberi nama ‘Abdul Harith (yang bermaksud hamba kepada Harith). ‘Harith’ kononnya nama kedua Iblis menurut panggilan para malaikat di langit!. Menurut Iblis, sekiranya anak itu diberi nama Abdul Harith, maka anak itu hidup sebagai seorang manusia yang sempurna. Hawwa’ tidak menerima pandangan Iblis tadi lalu apabila ia melahirkan kandungannya itu mati. Untuk kelahiran kali kedua, Hawwa’ didatangi Iblis sekali lagi dan menyatakan bahawa dialah yang telah membunuh anak yang dilahirkan Hawwa’ dahulu dan Iblis sekali lagi mencadangkan supaya anak yang akan dilahirkan untuk kali kedua ini dinamakan menurut kemahuannya. Akhirnya Hawwa’ dengan persetujuan suaminya Adam telah bersetuju menamakan putera mereka Abdul Harith (Hamba Iblis)! Lalu hiduplah anak itu. Dalam setengah riwayat ada menyebut bahawa Hawwa’ sendiri telah bernazar untuk menamakan anaknya dengan nama itu setelah kecewa dengan kematian anak sendiri yang pertama. Setengah riwayat pula menyebut bahawa Nabi Adam sendiri menamakan anaknya itu ‘Abdul Harith’!.(1)

Diperturunkan di sini riwayat yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal (2) menerusi al-Hasan al-Basri, bersumberkan sahabat Nabi s.a.w yang mulia bernama Samurah bin Jundub r.a di mana Samurah memberitahu bahawa Nabi s.a.w bersabda:
(لما ولدت حواء طاف بها إبليس – وكان لا يعيش لها ولد – فقال: سميه عبد الحارث، فآنه يعيش، فسمته عبد الحارث فعاش. وكان ذلك من وحي الشيطان وأمره)
Maksudnya: “Tatkala Hawwa’ melahirkan anak, iblis datang mengelilinginya – Hawwa’ sebelum itu, selalu kematian di waktu bersalin – iblis berkata kepadanya: “Namakanlah (bayimu) “Abdul Harith” nescaya ia akan hidup! Maka Hawwa’ pun menamakannya Abdul Harith, lalu hiduplah bayi itu. Itu adalah bisikan dan arahan syaitan.”.

Riwayat ini menggambarkan bagaimana Nabi Adam dan Hawwa’ telah berkali-kali gagal mendapatkan zuriat dan menerusi kekecewaan ini, syaitan mengambil peluang untuk mempengaruhi Hawwa’ supaya tunduk dan patuh kepada arahannya dengan menamakan anak yang dilahirkan dengan ‘Abdul Harith’ iaitu hamba Harith (Syaitan)? Benarkah cerita ini dan sungguhkah Nabi Adam dan Hawwa’ terjebak ke lembah syirik dalam kes ini?

Riwayat Samurah ini disebut dengan lafaz yang ada sedikit berbeza dengan riwayat yang disebut oleh Imam al-Tabari dalam kitab tafsirnya. (3)

Imam Ibnu Kathir r.a dalam tafsirnya (4) telah membuat penjelasan dan komentar yang cukup baik terhadap riwayat di atas. Katanya, dalam riwayat Samurah di atas terdapat tiga kebuntuan:

Pertamanya: Salah seorang periwayatnya bernama Umar bin Ibrahim al-Basri dianggap thiqah (dpercayai) oleh Ibnu Ma’iin, akan tetapi Abu Hatim al-Razi menganggap dia seorang yang tidak boleh diterima hujahnya (ditolak kata-katanya). Tetapi hadith Samurah juga diriwayatkan oleh Ibnu Mardawaih menerusi al-Mu’tamir daripada bapanya daripada al-Hasan daripada Samurah secara marfu’.

Keduanya: Ada diriwayatkan daripada pendapat Samurah sendiri, bukan marfu’ sebagaimana disebut oleh Ibnu Jarir al-Tabari bahawa Samurah berkata: (Nabi) Adam telah menamakan anaknya Abdul Harith.

Ketiga: Al-Hasan (Basri) sendiri telah mentafsirkan ayat tersebut dengan tafsiran yang lain. Sekiranya benar riwayatnya dari Samurah secara marfu’, tentu sekali beliau tidak akan membuat tafsiran yang lain.

Seterusnya Imam Ibnu Kathir menyebut tiga bentuk pentafsiran bersumberkan Al-Hasan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Jarir al-Tabari dalam tafsirannya:

Pertafsiran Pertama: Maksud ayat: (جعلا له شركاء فيما آتاهما) : Ianya berkaitan dengan sebagaimana yang diriwayatkan penganut agama, bukan mengenai Nabi Adam.

Pentafsiran Kedua: Ianya ada kena mengena dengan zuriat keturunan Nabi Adam dan mereka yang bersyirik (kepada Allah) sesudah kewafatan beliau.

Pentafsiran: Ianya berkaitan dengan orang-orang Yahudi dan Nasrani di mana Allah telah menganugerahkan mereka anak-anak, lalu mereka meyahudikan dan menasranikan anak-anak itu.

Kesemua pentafsiran ini telah diperakui dan disokong oleh Imam Ibnu Kathir di mana beliau menganggap ia adalah di antara bentuk pentafsiran yang terbaik terhadap ayat tersebut. Menurut beliau, jika Hasan al-Basri memang pasti bahawa hadith di atas adalah bersumberkan persabdaan Nabi s.a.w tentu sekali beliau tidak akan memilih pentafsiran lain, begitu juga dengan ulama’-ulama’ lain. Tambahan pula, Hasan al-Basri adalah seorang yang wara’ dan bertaqwa. Ini jelas menunjukkan bahawa riwayat yang tersebut di atas adalah riwayat yang bersifat ‘mauquf’ (perkataan atau kata-kata sahabat, bukan persabdaan Nabi s.a.w). Berkemungkinan riwayat itu diterima oleh Hasan al-Basri menerusi sebahagian ahli kitab yang memeluk Islam seperti Ka’ab al-Ahbar atau Wahab bin Munabbih atau dari orang-orang lain. Yang pastinya, riwayat di atas bukanlah bersifat ‘marfu’ (iaitu bersumberkan persabdaan Nabi s.a.w).

Dari sudut matan atau lafaz hadith pula, Imam Ibnu Kathir telah menjelaskan di dalam kitabnya (5) kenapa berita yang terkandung di dalamnya tidak boleh diterima. Katanya Allah s.w.t menjadikan Adam dan Hawwa’ supaya kedua-duanya menjadi punca pembiakan zuriat manusia di mana dari kedua-duanyalah lahirnya kaum laki-laki dan perempuan. Bagaimana boleh berlaku kematian anak Hawwa’ setiap kali ia bersalin sedangkan Hawwa’ dijadikan untuk membiakkan keturunan manusia? Seterusnya, kedua-duanya; Adam dan Hawwa’ adalah orang yang benar-benar takut untuk menderhaka Allah, (lebih-lebih lagi untuk terjebak ke lembah syirik) sebagaimana yang digambarkan di dalam hadith di atas.

Selain daripada apa yang disebut di atas didapati ramai ulama Tafsir dan ulama lain menolak pendapat yang mengatakan Iblis mempengaruhi Hawwa supaya memberi nama anaknya Abdul Harith, antara ulama tersebut ialah:

1- Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya.(6)
2- Ibnu Hazam dalam kitabnya.(7)
3- Al-Razi dalam kitabnya.(8)
4- Al-Syaikh Muhammad bin Ali al-Balansi dalam tafsirnya.(9)
5- Al-Syaikh Rasyid Ridha dalam tafsirnya.(10)
6- Al-Syaikh Muhammad Abu Syahbah dalam kitabnya.(11)
7- Al-Ustaz Mahmud Syakir dan kitab tafsirnya.(12)
8- Al-Syaikh Ishaq bin Aqil al-Makkiyy dalam kitabnya.(13)
9- Al-Syaikh Muhammad bin Solih al-Uthaimin dalam kitabnya.(14)

Untuk lebih menjelaskan kedudukan riwayat ataupun cerita di atas, ada baiknya saya rumuskan di sini apa yang telah dibahaskan oleh Al-Syaikh Muhammad bin Solih al-Uthaimin r.a seorang tokoh ulama’ terbilang Arab Saudi, bahkan beliau menjadi rujukan dan terkenal di seluruh dunia Islam dengan pandangan-pandangannya yang bernas dan berani.

Beliau telah menyebut tujuh hujah kenapa riwayat hadith di atas tertolak, antaranya:

  1. a- Tidak ada hadith sahih daripada Rasulullah s.a.w berkenaan cerita tersebut. Cerita-cerita seperti ini tidak dapat diterima melainkan menerusi perkhabaran wahyu Allah. Ibnu Hazam sendiri menghukum hadith tersebut sebagai satu khurafat, pembohongan dan berita palsu.

  2. b- Sekiranya cerita itu benar berlaku, terdapat di sana dua kemungkinan atau andaian: pertamanya sama ada kedua-duanya telah bertaubat daripada dosa (kesilapan) tersebut atau kedua-duanya meninggal dunia (wafat) dengan dosa itu (tanpa bertaubat). Andaian kedua ini adalah terlalu berat (mustahil) dan satu pembohongan yang besar terhadap kedudukan seorang Nabi yang bebas dari sebarang unsure syirik. Manakala andaian pertama pula sekiranya kedua-duanya sudah bertaubat dari dosa syirik itu maka tidak secocok dengan hikmat, rahmat dan keadilan Allah dimana dosa mereka berdua disebut tanpa menyebut taubat mereka kerana apabila Allah s.w.t menyebut kesilapan yang berlaku kepada sebahagian para nabi dan rasulNya, disusuli dengan taubat mereka kepada Allah.

  3. c- Para Nabi adalah ‘ma’sum’ (terpelihara) dari dosa syirik sebagaimana ijma’ ulama’. Perbuatan tadi bercanggah dengan sifat ma’sum ini.

  4. d- Di dalam hadith syafaat tersebut bagaimana manusia menemui Nabi Adam untuk mendapatkan syafaat pada hari akhirat tetapi beliau menolak di atas alas an beliau telah pernah melanggar perintah Allah dengan termakan buah yang dilarang dalam Syurga. Perbuatan ini adalah satu maksiat (berdosa). Sekiranya berlaku dosa syirik (seperti dalam cerita di atas) tentunya Nabi Adam akan menyebut alasan ini apabila diminta memberi syafaat. Ini menunjukkan cerita itu tidak berlaku sama sekali.

Selanjutnya, beliau menegaskan bahawa cerita yang disebut-sebut itu adalah satu cerita yang batil (tidak benar dan karut) dan tidak boleh mana-mana orang Islam beriktikad bahawa Nabi Adam dan Hawwa’ pernah melakukan dosa syirik, begitu juga dengan nabi-nabi yang lain. Mereka adalah hamba-hamba Allah yang ma’sum (terpelihara) dari melakukan perkara yang sedemikian itu.

Penjelasan daripada Al-Syaikh Muhammad bin Solih al-Uthaimin r.a dalam masalah ini amat baik sekali dan sekaligus menghilangkan kekaburan yang menyelubungi tafsiran ayat-ayat berkaitan khususnya apa yang diutarakan oleh al-Imam Muhammad bin Abdul Wahab dalam kitab al-Tauhid. Cerita tersebut sedikit pun tidak ada kaitan dengan Nabi Adam dan Hawwa’ sehingga boleh kita katakana bahawa bentuk syirik yang berlaku kepada mereka berdua hanyalah sekadar syirik berhubung penamaan anak dan bukan satu syirik yang haqiqi. Sebaliknya ia menggambarkan bagaimana wujud di kalangan anak cucu keturunan Adam telah melakukan syirik dan penyekutuan terhadap Allah dengan menisbahkan anak itu kepada selain Allah.

Sebagai kesimpulan menurut kajian penulis, riwayat-riwayat yang berhubung kait dengan cerita yang dibincangkan ini berbau Israiliyyat yang amat sukar bagi kita untuk menerimanya. Kebanyakan sanad riwayat ini adalah lemah. Ia tidak boleh dibuat bukti dan hujjah kerana ia diwarnai unsur Israiliyyat. Tidak ada pula hadith sahil yang marfu’ daripada Nabi s.a.w menceritakan perihal apa yang berlaku sebagaimana yang dilaporkan oleh riwayat-riwayat itu. Tambahan pula ia bercanggah dengan asas-asas pegangan kita terhadap para Nabi Allah di mana mereka itu adalah hamba-hamba Allah mulia lagi ma’sum (terpelihara dari sebarang dosa).

NOTA HUJUNG:

  1. 1. Al-Tabari, Ibnu Jarir, Jami’ul Bayan ‘an Ta’wiil aayil al-Quran, (t.t) Mesir: Dar al-Ma’arif. – tahqiq: al-Allamah Ahmad Syakir 13/306-313, No Riwayat: 15507-15525.
  2. 2. Ahmad bin Hanbal, al-Musnad. (1377H), Jld 5, hlm 11, Mesir: Dar al-Ma’arif.
  3. 3. Al-Tabari, Ibnu Jarir, Jami’ul Bayan ‘an Ta’wiil aayil al-Quran. (t.t) Mesir: Dar al-Ma’arif – tahqiq: al-Allamah Ahmad Syakir 13/306-313, No Riwayat Sila: 15507-15525.
  4. 4. Ibnu Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, (t.t), al-Qahirah: Matbaiah al-Sya’b.
  5. 5. Ibnu Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, (t.t), Dar al-Fikr al-Arabiyy.
  6. 6. Al-Qurtubi, al-Jaami; li ahkaam al-Quran, (t.t) Beirut: Muassasah Manahil al-Irfan.
  7. 7. Ibnu Hazam, al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwaa’ wa al-Nihal, (1405 H) Beirut.
  8. 8. Al-Razi, Muhammad bin Umar bin al-Hasan, ‘Ismat al-Anbiyaa’, (1401 H), Beirut: Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah.
  9. 9. Al-Syaikh Muhammad bin Ali al-Balansi, Tafsir Mubhamaat al-Quran, (1411 H), Beirut: Dar al-Gharb al-Islamiyy.
  10. 10. Al-Syaikh Rasyid Ridha, Tafsir al-Manar, (1414 H0, Beirut: Dar al-Ma’rifah.
  11. 11. Al-Syaikh Muhammad Abu Syahbah Dr., al-Israiliyyat wa al-Maudhu’aat fi Kutub al-Tafsir, (1408 H), al-Qahirah: Dar al-Sunnah.
  12. 12. Al-Ustaz Mahmud Syakir dalam kitab tafsirnya Jaami’ al-Bayaan 13/309-310 – catatan pentahqiq.
  13. 13. Al-Syaikh Ishaq bin Aqil al-Makkiy, ‘I’laam al-Muslimin bi ‘Ismati al-Nabiyyiin, (1416 H), Beirut: Dar Ibn Hazm.
  14. 14. Al-Uthaimin, Al-Syaikh Muhammad bin Solih, al-Qaul al-Mufid ‘ala Kitab al-Tauhid, (1415 H), al-Riyadh: Dar al-Asimah.

7-09-2006 11:45 PM



 
Laman ini terbaik dengan paparan Windows Explorer 800 x 600 piksel
hakcipta terpelihara© 2005-2006
Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) [ IPTS070-KP (JPS) 5195 / IPTS / 1007 ]