Oleh:
Mohd Azhar bin Abdullah
Orang Melayu amat menghormati sumpah. Dalam sastera melayu klasik dan filem lama kita dapat menyaksikan betapa kuatnya pengaruh sumpah dalam kehidupan Melayu silam seperti ditunjukkan dalam cerita "Sumpah Semerah Padi" dan legenda "Sumpah Mahsuri". Namun, penggunaan sumpah itu terkadang berunsurkan kurafat, jahiliah dan bertentangan dengan semangat Islam. Ini disebabkan sumpah turut digunakan dalam urusan yang bercanggah dengan Islam serta percaya bahawa sesiapa yang melanggar sumpah akan ditimpa malapetaka, musibah dan bahaya yang amat dashsyat secara total.
Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, Edisi Ketiga, halaman 1319 memberikan istilah sumpah secara bebas ialah pengakuan yang dibuat (dengan bersaksikan Tuhan atau sesuatu yang dianggap suci) untuk menguatkan apa yang dikatakan. Jika kita menerima pengistilahan yang dibentuk Kamus Dewan dan Bahasa ini tanpa penyaringan, maka pasti akan menyebabkan seseorang yang bersumpah terjerumus ke dalam perkara-perkara dosa besar, bahkan amalah syirik seperti bersumpah di atas nama kubur wali, berhala dan sebagainya.
Islam memandang serius tentang sumpah kerana ia bukan sahaja berkaitan hukum fiqh tetapi turut membabitkan persoalan akidah. Islam tanpa ragu menyaring bentuk-bentuk sumpah jahiliah yang diamalkan, yang ternyata bercanggah dengan hakikat pengabdian.
Dalam bahasa Arab sumpah disebut sebagai al-Yamin , al-Half , al-'Ila' dan al-Qasam . Keempat-empat lafaz tersebut adalah sinonim iaitu bermaksud sumpah. Dinamakan sumpah sebagai al-Yamin kerana simbolik dari tangan kanan di tika mana orang-orang Arab bersumpah mereka akan saling menghulurkan tangan kanan berjabat tanda keazaman kepada sesuatu perkara.
Sayyid Sabiq ( Fiqh al-Sunnah : 2, 64-71) mengistilahkan sumpah di sisi syarak ialah mentahkikkan sesuatu atau mengukuhkannya dengan menyandarkan kepada nama-nama Allah atau sifat-sifat-Nya. Atau, suatu akad (perjanjian) menguatkan keazaman seseorang bersumpah untuk melakukan sesuatu atau meninggalkan sesuatu.
Dengan demikian, adalah haram dan tidak sah bersumpah di atas nama dan perkara lain selain nama-nama Allah dan sifat-sifat-Nya. Islam hanya mengiktiraf sumpah di atas nama-nama Allah, sifat-sifat Allah samada sifat itu sifat Zat atau sifat Perbuatan Allah seperi Demi Allah, Demi Keagungan Allah, Demi Kekuasaan Allah, Demi al-Quran, Demi Surah al-Tin atau Demi Ayat-ayat al-Quran.

" Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Allah menghukum kamu disebabkan (sumpahmu) yang disengaja (untuk bersumpah) oleh hatimu. dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun" (al-Baqarah:225)
Ibn Kathir menyebut ( Tafsir Ibn Kathir : 1/601) menukil pandangan bahawa;

Ibn Jarir daripada Ibn Jubair, Sa'id al-Musayyab, Masruq dan al-Sya'bi bahawa sesungguhnya mereka berpendapat tiada sah sumpah dalam perkara maksiat dan tidak dikenakan apa-apa bayaran kafarah ke atasnya.
Ibn Rusyd ( Bidayah al-Mujtahid Wa Nihayah al-Muqtasid : (1/615) merekodkan pandangan mazhab berhubung maksud sumpah lagha dalam ayat di atas kepada;
- Imam al-Syafie: Sumpah yang tidak diikat dengan niat seperti yang biasa berlaku dalam adat percakapan masyarakat; "Demi Allah tidak, Demi Allah ya"
- Imam Malik dan Abu Hnaifah: Sumpah laqha ini berlaku ketika mana seseorang bersumpah tentang sesuatu berasaskan zann, tetapi apa yang berlaku menyalahi apa yang ia sumpahkan itu.
- Ismail al-Qadi iaitu sdalah seorang pendukung mazhab Malik berkata sumpah laghw ialah seseorang bersumpah dalam situasi marah.
- Satu riwayat yang disandarkan kepada Ibn Abbas r.a menyebut iaitu bersumpah dalam perkara maksiat.
- Pandang kelima ialah bersumpah tidak akan memakan sesuatu yang harus pada syarak.
Berdasarkan kajian penulis menunjukkan secara jelas bahawa sumpah tidak terbentuk semata-mata seseorang bersumpah. Tetapi pengiktirafan sumpah perlu merujuk kepada peraturan dan adab syarak. Ibn Hjar al-Asqalani ( Fath al-Bari : 19/23) menegaskan sumpah dalam perkara-perkara maksiat atau menghalalkan perkara haram atau mengharamkan perkara halal dikira sumpah lagha yang tidak memberi apa-apa kesan di sisi syarak.
Sehubungan itu, ulama membahagikan sumpah kepada tiga bahagian;
- Sumpah Sah ( al-Yamin al-Mun'aqidah)
Iaitu sumpah yang dimaksudkan orang yang bersumpah dengan menggunakan nama-nama Allah atau sifat-sifatnya samada melakukan perkara atau meninggalkan suatu perkara yang diharuskan syarak. Sumpah ini diluluskan syarak dan sesiapa yang melanggarnya maka diwajibkan membayar kafarah sumpah.
- Sumpah Lagha ( al-Yamin al-Laghawi)
Iaitu sumpah yang tidak dimaksudkan samada terluncur lidah, dalam keadaan dipaksa, marah dan percakapan yang biasa dalam masyarakat. Maka sumpah dalam bentuk ini sia-sia, malah jika melanggarinya tidak dikenakan apa-apa bayaran kafarah.
- Sumpah Haram ( al-Yamin al-Ghamus / al-Yamin al-Sabirah)
Iaitu sumpah dusta yang memusnahkan hak-hak. Atau sumpah yang bermaksud kepada kefasikan dan khianat. Sumpah ini bukan sahaja batal, malah haram dan berdosa besar. Malah Sayyid Sabiq mengatakan sebab penamaan al-Yamin al-Ghamus ini kerana sumpah ini akan menenggelamkan orang yang bersumpah itu ke dalam api neraka jahanam.
Orang yang terlibat dalam sumpah apa-apa perkara yang bersifat dosa, maksiat, fasik, khianat, zalim dan haram, samada membantu, berpakat, menolong atau meredai dalam perkara dosa seperti itu telah melakukan dosa besar di sisi Allah s.w.t. Ia wajib bertaubat dan membatal atau tidak patuh terhadap perkara yang disumpah itu dan tiada apa-apa bayaran kafarah ke atasnya. Sumpah ini dilarang keras dalam ayat di bawah;

" Dan janganlah kamu jadikan sumpah-sumpahmu sebagai alat penipu di antaramu, yang menyebabkan tergelincir kaki (mu) sesudah kokoh tegaknya, dan kamu rasakan kemelaratan (di dunia) Karena kamu menghalangi (manusia) dari jalan Allah; dan bagimu azab yang besar." ( al-Nahl:94)
Manakala Rasulullah s.a.w mengukuhkan larangan al-Quran di atas;

Daripada Abdullah bin Amru daripada Nabi s.a.w bersabda; "Sesungguhnya dari sebesar-besar dosa syirik kepada Allah ialah mendurhakai ibu bapa, membunuh orang dan sumpah ghamus." ( al-Tarmizi:3946)
Sesungguhnya banyak lagi hadith yang mengharamkan penggunaan sumpah kepada perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam. Ini kerana penggunaan sumpah dianjurkan bagi menguatkan perkara benar seperti mana Allah s.w.t bersumpah Demi Masa. Demi buah Tin, Demi matahari di samping Rasulullah s.a.w bersumpah akan kebenaran dirinya sebagai utusan Allah, Rasulullah bersumpah yang bahawa dirinya dalam gengeman Allah dan sebagainya adalah bertujuan membenarkan Islam bukan menentang Islam.
Apakah Melanggar Sumpah Ditimpa Bala
Pada dasarnya sumpah bermaksud memperkukuh kebenaran. Ia suatu uslub percakapan yang sangat penting dalam memperkukuh keyakinan dan keazaman. Justeru, Islam mengurus sumpah ini supaya ianya dihormati dan diyakini. Sebab itu Islam mengenakan denda kafarah kepada sesiapa yang melanggari sumpahnya yang baik kerana ia telah menyalahi ikrar dan keazamannya.
Namun Islam menyediakan jalan keluar tersendiri dari kesalahan melanggar sumpah itu dengan membayar kafarah samada memerdekakan hamba, atau memberi makan kepada sepuluh orang miskin, memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin. Namun jika ia tidak berkemampuan maka ia berpuasa sahaja selama 3 hari.
Jadi dengan membayar kafarah itu secara langsung telah menggugurkan dosa-dosa dari sumpah yang tidak terlaksana itu. Bala dan laknat Allah s.w.t terhadapnya telah diangkat.
Dengan itu bila datangnya laknat dan kemurkaan Allah ? Kemurkaan dan laknat Allah s.w.t akan menimpa kepada dua keadaan di bawah;
- Sumpah Sah tetapi ia tidak membayar kafarah setelah ia melanggarnya.
- Sumpah dalam perkara dosa, khianat dan zalim sedang ia terus mentaati sumpahnya itu walaupun ia tahu perkara itu berdosa. Seperti yang dijelaskan bahawa sumpah dalam perkara bertentangan Islam adalah haram dan ia wajib bertaubat, iaitu melanggar sumpahnya itu. Selagi ia tidak melanggari sumpah maksiat itu, maka selama itulah ia berada dalam laknat dan murka Allah s.w.t yang sangat dashyat.
Dalam hal ini Rasulullah s.a.w menegaskan;

Daripada Abi Umamah sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda; "Sesiapa yang memutuskan hak seseorang Islam dengan sumpahnya, nescaya Allah alan mengharamkan ke atasnya syurga, dan Allah mewajibkan baginya nereka" Sahabat bertanya; "Dan jika ia adalah suatu yang sangat sedikit wahai Rasulullah?". Rasulullah s.a.w bersabda; "Dan seandainya ia adalah sekerat dari sebatang kayu sugi, Dan seandainya ia adalah sekerat dari sebatang kayu sugi, Dan seandainya ia adalah sekerat dari sebatang kayu sugi" Rasulullah s.a.w mengulanginya sebanyak 3 kali. ( Muwata' Malik:1215)
Justeru itu, kekeliruan masyarakat melayu bahawa sumpah apabila diikrarkan tiada lagi jalan keluarnya. Sesetengah masyarakat melayu juga percaya seseorang yang melanggar sumpah akan ditimpa bala dan musibah. Mereka tidak sedar bahawa mereka sebenarnya melihat sumpah dalam kaca mata kurafat dan budaya yang songsang. Mereka tidak mengetahui secara mendalam sumpah mana yang dikasihi Allah dan sumpah mana yang dimurkai Allah.
Sumpah yang wajib ditaati hanyalah sumpah dalam urusan kebaikan seperti bersumpah akan menolong perjuangan Islam dan bersumpah akan menentang musuh Islam, bersumpah bahawa kiamat akan berlaku dan lain-lain. Adapun sumpah maksiat yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai sebesar-besar dosa wajib dilanggari kerana membiarkan diri dalam sumpah ini akan menyebabkan seseorang itu terkena sumpahan dan laknat Allah s.w.t yang amat dashyat di dunia dan akhirat. Sumpah maksiat seperti; "demi Allah saya akan berzina, demi ketinggian Allah saya akan menyokong perjuangan nasionalisme, demi Allah saya akan menentang Islam dan sebagainya.
Maklumat Penulis:
Mohd Azhar bin Abdullah
M.A Syariah & Undang-Undang,UM
E-Mel: mohdazhar03@yahoo.com
[
13 February, 2008 11:09 PM
]