Buat julung-julung kalinya, DIAN Darulnaim Sdn. Bhd. dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) telah menerbitkan buku Indeks Kepada Penghayatan Al-Quran. Buku ini telah dilancarkan pada 26 Syawal 2007H bersamaan 18 November 2006 di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur oleh Ybhg. Dato' Mustafa bin Abdul Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Ucaptama dalam majlis pelancaran buku tersebut pula disampaikan oleh YABrs. Dr. Johari bin Mat, Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).
Buku Indeks Kepada Penghayatan Al-Quran ini telah disusun oleh kumpulan kerja daripada pegawai-pegawai tadbir Majlis Agama Negeri Kelantan yang terdiri daripada Saibon bin Ismail, Hasnan bin Ramli, Naim bin Md. Ghazali, Nik Ahmad Zuhdi bin Nik Yaacob, Mohd Anwan bin Ab. Muttalib, Mohd Fadli bin Sulaiman dan Suratemi bin Mat Yusof. Manakala panel penyemak Indeks pula merupakan tenaga pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri, Kota Bharu Kelantan yang terdiri daripada Dr. Ahmad Najib bin Abdullah (Pengerusi Panel Penyemak), Dr. Zakaria @ Mahmod bin Daud (Timbalan Ketua Eksekutif (HEA) KIAS), Ustaz Abdul Kadir bin Muhammad (Ketua Jabatan Al-Syariah), Ustaz Shafwan bin Ismail (Ketua Jabatan Al-Dakwah Wal Qiadah) Ustaz Abdul Rahim bin Mohd Zain (Pensyarah) dan Ustaz Nasron bin Yaacobn (Pensyarah).
Buku ini terdiri daripada 15 bab, memuatkan tajuk-tajuk penting yang dibincangkan oleh Al-Quran dengan halaman setebal 659 muka surat.
Menurut Dr. Ahmad Najib bin Abdullah yang merupakan pengerusi panel penyemak, "Indeks Kepada Penghayatan Kandungan Al-Quran" ini menyerlahkan isi-isi penting kandungan al-Quran dalam bentuk paparan yang ringkas dan bermanfaat khususnya kepada mereka yang tidak berpeluang mendalami ilmu-ilmu agama dan ingin memahami kandungan al-Quran dan menghayati ajaran-ajaran yang termuat di dalamnya. Penerbitan buku ini sekurang-kurangnya boleh membuka jalan kepada penghayatan kandungan al-Quran di kalangan masyarakat Islam di negara ini khususnya dan alam nusantara amnya. Pada masa yang sama ia diharapkan mampu menyemarakkan keinginan untuk melakukan kajian dan penyelidikan di kalangan ahli akademik berhubung aspek-aspek serta isu-isu yang dibincangkan oleh al-Quran. Hasil-hasil kajian itu nanti sudah tentu akan memberi manfaat yang besar kepada umat Islam dan mendekatkan mereka dengan al-Quran.
[21 November, 2006]
|