![]() |
PERUBATAN ISLAM MAKIN TERPINGGIR
Secara mudah dan logiknya, perubatan Islam ialah semua jenis perubatan yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam, tanpa mengambil kira dari mana asal usul perubatan tersebut, sama ada dari negara-negara Arab, Cina, India, mahu pun dari Eropah. Yang penting, perubatan Islam mesti bebas daripada menggunakan bahan-bahan yang dilarang seperti najis, arak, komponen babi, dan sebagainya, di samping memastikan etika rawatan dan hubungan antara pesakit dengan pengamal dan petugas perubatan tidak melanggar syariat Islam. Dalam perubatan Islam, rawatan terhadap seseorang pesakit terbahagi kepada tiga aspek, iaitu fizikal, mental, dan rohani. Aspek yang ketiga inilah yang membe-zakan antara perubatan Islam dengan perubatan bukan Islam. Ini kerana aspek kerohanian tidak wujud dalam perubatan bukan Islam, dan jika wujud sekalipun, kerohanian tersebut pastinya bukan ditujukan kepada Allah, iaitu pihak yang menjadi tempat bagi orang-orang yang beriman mengadu dan memohon perlindungan, termasuk berdoa agar disembuhkan daripada penyakit yang sedang dialami. Siti Fatimah pernah mengadu kepada Rasulullah s.a.w. tentang kepenatannya menjalankan tugas sebagai suri rumah sepenuh masa, lalu memohon daripada ayahda-nya itu supaya menyediakan kepadanya seorang pembantu rumah. Aduan Siti Fatimah ini menunjukkan bahawa beliau mengalami ketegangan lantaran kerja-kerja rumah yang terpaksa disiapkan seorang diri kerana suaminya Sayyidina Ali tidak mampu untuk menggaji pembantu rumah. Namun, Rasulullah s.a.w. hanya menyuruhnya supaya bertasbih sebanyak 33 kali, bertahmid 33 kali, bertakbir 33 kali, dan disudahi dengan lafaz “la ilaha illallah” sekali. Jangan silap faham. Memang berzikir bukannya ubat fizikal untuk merawat gejala stres atau ketegangan. Tetapi berzikir dan mengingati Allah adalah ubat rohani yang boleh menjadikan seseorang itu tenang dan tabah. Lalu dengan ketenangan tersebut, mental seseorang itu akan menjadi kuat sehingga segala kepenatan akan hilang dan segala kebimbangan mampu dihadapi secara positif. Oleh itu, jangan terkejut jika saya mengatakan bahawa berzikir dan mengingati Allah adalah lebih baik daripada menelan panadol atau aspirin bagi meredakan kebimbangan, keresahan, dan kecelaruan minda. Kalau anda pergi ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ), anda akan melihat baner-baner yang tertulis “Adab Melawat Pesakit Menurut Sunnah” yang ditampal pada sudut-sudut strategik di hospital tersebut. Syabas diucapkan kepada pihak pengurusan hospital di atas tindakan yang positif itu. Sememangnya para pesakit di hospital memerlukan sokongan daripada sanak saudara dan sahabat handai dalam menghadapi dan melawan penyakit yang dialami, termasuk memberi nasihat dan semangat agar terus berjuang melawan penyakit yang dialami. Malah, melawat orang yang sakit lebih diutamakan dalam Islam berbanding melawat orang yang baru meninggal dunia. Namun, bukan itu sahaja yang perlu dilakukan oleh pihak hospital. Anda pasti bersetuju dengan saya bahawa bukan sedikit pesakit di hospital yang tidak menunai-kan solat. Berbagai-bagai alasan yang diberikan seperti sukar untuk bersembahyang dalam keadaan sakit, solat qada’ boleh dilakukan selepas sembuh (kononnya), tidak tahu cara bertayammum, sukar untuk mengambil air sembahyang, dan sebagainya. Adakah dosa mereka ini hanya ditanggung oleh mereka sahaja? Pihak hospital tidak boleh berlepas tangan dengan mendakwa bahawa urusan sembahyang adalah tanggungjawab individu para pesakit. Betul, pihak hospital tidak boleh memaksa para pesakit yang tidak mahu bersembahyang supaya bersembahyang. Tetapi tanggungjawab dakwah terletak di bahu pihak hospital, termasuk para doktor, jururawat, dan kakitangan hospital yang lain. Pihak hospital contohnya boleh menjemput penceramah agama datang ke hospital untuk mengajar para pesakit cara-cara bersembahyang ketika sakit, cara untuk bertayammum, dan hukum-hakam yang lain berkaitan penyakit, pesakit, dan hubungannya dengan Yang Maha Pencipta. Selain itu, ceramah kepada pegawai perubatan, jururawat, dan petugas hospital juga perlu diberikan berkaitan adab-adab merawat pesakit dalam Islam, tanggungjawab dan etika pengamal perubatan, perkara-perkara yang perlu dilakukan ketika pesakit sedang nazak, dan sebagainya. Mungkin anda menganggap apa yang diketengahkan ini hanyalah perkara remeh-temeh sahaja. Namun, tahukah anda bahawa banyak penyakit berpunca daripada keadaan mental dan rohani yang tidak sihat. Gejala stres contohnya boleh menyebabkan seseorang itu mengalami tekanan darah tinggi dan seterusnya membawa kepada masalah sakit jantung, di samping menyebabkan sistem penghada-man gagal berfungsi dengan sempurna. Sistem penghadaman yang bermasalah pula akan menyebabkan pengurangan dalam penyerapan nutrien, lalu boleh menjejaskan kesihatan seseorang itu. Maka terjadilah apa yang dinamakan “lingkaran ganas” yang puncanya hanya satu, iaitu stres. Kegagalan atau kecuaian dalam aspek kerohanian ini juga boleh menyebabkan usaha rawatan secara fizikal menjadi sia-sia sahaja. Lihatlah penagih dadah sebagai contohnya. Berapa ramai di kalangan mereka yang kembali menagih semula setelah kembali dari pusat pemulihan dadah. Hal ini berlaku kerana tumpuan rawatan terhadap mereka semasa di pusat pemulihan hanyalah dari sudut fizikal semata-mata. Jika ada pun aspek kerohanian yang diberikan, perkara tersebut hanya sekadar melepas batuk di tangga sahaja. Perubatan Islam bukan sahaja mementingkan aspek kerohanian, tetapi juga tidak menggalakkan (malah mungkin mengharamkan) kaedah rawatan yang hanya bergantung kepada ubat-ubatan dadah semata-mata. Ibnu Sina dalam kitab beliau al-Qanun Fi al-Tibb semasa menyarankan kaedah rawatan terhadap penyakit gout contohnya, tidak hanya menghadkan kaedah rawatan kepada pengambilan ubat-ubatan sahaja. Malah beliau turut mencadangkan agar pesakit gout turut menjalani rawatan secara bekam, perdarahan, pencaharan, dan pemuntahan. Ini menunjukkan bahawa sesuatu penyakit itu hendaklah dirawat secara menyeluruh dengan menggabungkan lebih daripada satu kaedah rawatan yang bersesuaian. Kaedah rawatan secara bekam dan akupuntur contohnya, walaupun bukanlah kaedah rawatan yang utama bagi merawat penyakit kencing manis, namun kedua-dua kaedah rawatan tersebut telah terbukti mampu mempercepatkan proses penyembuhan penyakit, termasuk kencing manis. Begitu juga dengan kaedah rawatan alternatif dan komplimentari yang lain seperti perdarahan, refleksiologi, mandi wap, aroma terapi, urutan, dan sebagainya yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan-nya yang tersendiri. Namun, jika kita melihat kaedah perubatan yang diamalkan di negara ini, pesakit gout lazimnya hanya diberi ubatan-ubatan dadah seperti Indomethacin dan Allopreniol bagi meredakan kesakitan dan mengurangkan paras asid urik di dalam darah. Isunya, adakah pesakit tersebut akan sembuh melalui penggunaan ubat-ubatan tadi. Lazimnya penyakit yang dialami akan berulang kembali dan pesakit tersebut terpaksa menggunakan ubat-ubatan tersebut sepanjang hayat mereka. Akhirnya mereka terdedah kepada risiko mengalami masalah usus, buah pinggang, dan mungkin juga sakit jantung. Justeru itu, kita amat menyokong langkah kerajaan yang mula memperkenal-kan aliran perubatan alternatif dan komplimentari (pelengkap) atau yang disebut sebagai TCM di Hospital Kepala Batas sebagai percubaan. Namun, langkah tersebut tidak memadai jika hanya dibuat atas desakan para pelancong (khususnya dari negara China) yang inginkan perkhidmatan perubatan TCM ketika mereka berada di negara ini. Langkah tersebut seharusnya disusuli dengan penawaran kursus pengajian di peringkat sarjana muda dalam bidang berkenaan bagi melahirkan pengamal-pengamal perubatan TCM yang profesional dan berdedikasi. Jangan jadi katak di bawah tempurung dengan mengatakan bahawa perubatan TCM tidak relevan untuk dikembangkan di negara ini sehingga meliputi kesemua klinik dan hospital kerajaan di seluruh negara. Perubatan TCM sebenarnya sudah lama diamalkan dengan jayanya di negara-negara seperti India, Pakistan, China, dan Cuba, dan sedang berkembang dengan pesatnya di beberapa negara maju seperti Jerman dan Jepun. Malah, negara jiran kita Indonesia jauh lebih terkehadapan dalam hal ini berbanding Malaysia. Akhir sekali kita tidak ada pilihan kecuali kembali menghayati falsafah dan prinsip perubatan dalam Islam. Jangan letakkan tanggungjawab ini kepada pihak-pihak tertentu sahaja kerana kita semua perlu bertanggungjawab terhadap diri kita, termasuk memastikan rawatan perubatan yang kita terima adalah selamat, suci, mujarab, dan halal. Isunya sekarang, mampukah hasrat ini direalisasikan sedangkan Menteri Kesihatan kita sejak sebelum merdeka sehingga kini dipegang oleh mereka yang bukan beragama Islam? (Nota : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah adalah penulis buku Teori-Teori Asas Perubatan Ibnu Sina, Tatacara Penjagaan Kesihatan Menurut Ibnu Sina, Rawatan Umum Dalam Perubatan Ibnu Sina, dan Petua-Petua Ibnu Sina Untuk Kaum Wanita.) Maklumat Penulis: Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
4 February, 2008 8:13 PM
|
hakcipta terpelihara© 2005-2006 - Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) [ IPTS070-KP (JPS) 5195 / IPTS / 1007 ] |