Pengurusan
Program Pengajian Akademik Pentadbiran Galeri Unit-Unit Pertanyaan

 







 


Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) adalah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang dikendalikan oleh KIAS Darulnaim Sdn Bhd (KDSB) anak syarikat Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN).

Idea Penubuhan KIAS adalah merupakan salah satu inspirasi Kerajaan Negeri yang bercita-cita memusatkan Kelantan sebagai serambi perkembangan ilmu Islam terkenal di rantau ini khususnya menerusi penyediaan institusi-institusi pengajian dalam pelbagai jurusan.

Penubuhan KIAS merupakan kesinambungan dari Pusat Pengajian Tinggi Islam (PPTIK) Nilam Puri yang telah ditubuhkan pada tahun 1965. Pusat ini kemudiannya dikenali dengan nama Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) sehinggalah pada 1 April 1981 YPTIK telah diambil alih oleh Universiti Malaya dan ditukar nama kepada Akademi Islam Universiti Malaya. Usaha dan kesedaran peri pentingnya pengajian Islam tidak pernah luntur apabila sekali lagi Kerajaan Negeri melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK) tlah menubuhkan Maahad Ad-Dakwah Wal Imamah pada 1994 di mana idea penubuhannya dicetuskan oleh YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Menyahut perkembangan pendidikan kontemporari yang kian pesat, Maahad Ad-Dakwah Wal Imamah dirangka semula dalam kombinasi yang lebih dinamik dengan penubuhan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) pada tanggal 24 Ogos 1999 yang dirasmikan oleh KDYMM Al-sultan Kelantan.

KIAS diawal operasinya menawarkan tiga program pengajian peringkat Diploma iaitu Diploma Al-syariah, Diploma Usuluddin dan Diploma Al-Dakwah Wal Qiadah. Walau bagaimanapun, mulai sesi 2002/2003 KIAS telah menambah program pengajiannya kepada dua peringkat Ijazah Sarjana Muda iaitu Sarjana Muda Al-Syariah dan Sarjana Muda Usuluddin (2+2) dengan Universiti al-Azhar, Mesir.

Sejak ditubuhkan sehingga kini, KIAS terus-menerus mengorak maju dengan kemasukan pelajar dari seluruh Malaysia khususnya dan dipayungi oleh staf akademik seramai 32 orang pendidik dan staf pentadbiran seramai 21 orang. Seramai 7 orang daripada barisan pendidik adalah berkelulusan Doktor Falsafah, 11 orang berkelulusan Sarjana dan bakinya Sarjana Muda dalam pelbagai jurusan yang giat mendidik para pelajar KIAS yang seramai 573 orang.

 

 

 

 

 

 

hakcipta terpelihara© 2005-2008 - Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS)
[ IPTS070-KP (JPS) 5195 / IPTS / 1007 ]