IBN KATHIR DAN KETOKOHANNYA DALAM BIDANG TAFSIR

TAJUK : IBN KATHIR DAN KETOKOHANNYA DALAM BIDANG TAFSIR

Oleh : Mohd Zawawi bin Abdullah

 

ABSTRAK :

Tafsir al-Qur’an al-‘Azim atau lebih dikenali dengan Tafsir Ibn Kathir, adalah di antara kitab tafsir al-Qur’an yang terbaik pernah dihasilkan sepanjang zaman. Metode penulisan tafsir ini adalah berdasarkan tafsir bi al-ma’thur, yang juga menjadi salah satu faktor kitab tafsir ini masih menjadi rujukan utama umat Islam sehingga ke hari ini. Artikel ini akan mengupas secara ringkas tentang ketokohan Ibn Kathir di dalam bidang tafsir, dan metode penulisan yang digunakannya sepanjang penulisannya itu. Artikel ini juga cuba menilai perspektif Ibn Kathir terhadap beberapa isu yang berkait dengan ilmu tafsir al-Qur’an seperti ilmu hadith, ilmu kalam, ilmu fikah, termasuklah kisah-kisah isra’iliyyat yang menjadi rujukan tafsir bagi sesetengah ulama tafsir yang sezaman dengannya, selepasnya atau yang telah mendahului zamannya.

PENDAHULUAN

Mentafsir al-Qur’an adalah suatu tugas yang hendaklah dilakukan oleh para ulama dengan teliti dan bertanggungjawab. Dalam sejarah penulisan tafsir, kita dapati banyak buku tafsir yang ditulis oleh para ulama yang berwibawa dan bertanggungjawab. Antara mereka yang dikenali dan dihormati ialah al-Hafiz Ibn Kathir.

Nama sebenar beliau ialah Ismail ibn ’Amr ibn Kathir ibn Daw ibn Kathir, terkenal dengan nama Ibn Kathir. Beliau digelar dengan Imad al-Din Abu al-Fida’, dan ulama’ telah memperakui keilmuannya. Beliau dilahirkan di Basrah lebih kurang pada tahun 700H. Selepas ayahnya meninggal dunia, beliau telah berpindah ke Damsyik bersama abangnya ketika berusia tujuh tahun lagi. Beliau belajar berbagai ilmu pengetahuan. Antara gurunya ialah Abd al-Wahhab, Ibn al-Suhnah, al-Amidi, Ibn ‘Asakir, Ibn al-Muzzi dan Ibn Taymiyyah[1].

Ibn Taymiyyah adalah seorang guru yang paling kuat mempengaruhi Ibn Kathir dari sudut ilmu, peribadi serta sikap. Kerana itu kasihnya terhadap Ibn Taymiyyah melebihi kasihnya terhadap guru-gurunya yang lain. Ibn Qadi Shuhbah telah menyebut di dalam kitab Tabaqatnya bahawa Ibn Kathir mempunyai hubungan yang istimewa dengan Ibn Taimiyyah. Beliau sering mempertahankannya dan mengikuti sebahagian besar pendapatnya[2].

Ketokohan Ibn Kathir telah terbukti di dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan, sehingga beliau dihitung sebagai tergolong daripada golongan ulama yang terkenal pada masanya. Beliau meninggal dunia di Damsyik pada tahun 774H. Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau telah mewasiatkan supaya jenazahnya dikebumikan di perkuburan Sufiyyah di sisi gurunya Ibn Taymiyyah[3].

KARYA IBN KATHIR

Ibn Kathir telah meninggalkan banyak karya dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan terutama di dalam bidang tafsir, hadith, ulum hadith, sejarah Islam dan fiqh. Sebahagian daripada karyanya ini telah mendapat sambutan semasa hayatnya lagi. Antara karyanya ialah[4]:

  1. Tafsir al-Qur’an al-‘Azim
  2. Al-Bidayah wa al-Nihayah
  3. Al-Fusul fi Ikhtisar Sirah al-Rasul
  4. Ikhtisar ‘Ulum al-Hadith
  5. Jami’ al-Masanid wa al-Sunan
  6. Al-Takmil fi Ma’rifah al-Thiqat wa al-Du’afa’
  7. Musnad al-Syaykhayn Abi Bakr wa ‘Umar
  8. Risalah fi al-Jihad
  9. Tabaqat al-Shafi’iyyah
  10. Kitab al-Ahkam
  11. Kitab al-Muqaddimah
  12. Takhrij Ahadith Mukhtasar Ibn al-Hajib
  13. Sharh Sahih al-Bukhariy.

METODENYA DALAM MENTAFSIR AL-QUR’AN

Tafsir Ibn Kathir antara tafsir bi al-ma’thur yang sangat masyhur, kedudukannya pada pandangan ulama’ ialah di tempat kedua selepas Tafsir al-Tabari. Beliau telah menulis di dalam tafsirnya[5]:

Maksudnya: “Kalau ada orang bertanya apakah metode yang paling baik di dalam mentafsir al-Qur’an? Maka jawapannya metode yang paling baik ialah mentafsir al-Qur’an dengan al-Qur’an, apa yang ringkas (ijmal) di satu tempat diperincikan di tempat yang lain, jika engkau tidak mendapati (tafsir ayat) daripada al-Qur’an, maka hendaklah engkau merujuk kepada sunnah Rasulullah s.a.w. kerana ia adalah syarah dan penjelas al-Qur’an. Bahkan al-Imam al-Shafe’iy telah berkata: Semua yang dihukumkan oleh Rasulullah s.a.w. adalah daripada fahamannya terhadap al-Qur’an”.

Firman Allah s.w.t:

إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ ۚ وَلَا تَكُن لِّلْخَائِنِينَ خَصِيمًا

Maksudnya: Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Kitab (al-Qur’an) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum manusia menurut apa yang Allah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya), dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.

Al-Nisa’ (4): 105

Firman Allah Ta’ala:

وَمَا أَنزَلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ إِلَّا لِتُبَيِّنَ لَهُمُ الَّذِي اخْتَلَفُوا فِيهِ ۙ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Dan tiadalah Kami menurunkan al-Kitab (al-Quran) kepadamu (wahai Muhammad) melainkan supaya engkau menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka berselisihan padanya, dan supaya menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.

Al-Nahl (16): 64

            Firman Allah Ta’ala:

وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: …, dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Dhikr (al-Quran) supaya engkau menerangkan kepada manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.

Al-Nahl (16): 44

Lantaran itu Rasulullah s.a.w bersabda[6]:

أَلاَ إِنِّى أُوتِيتُ الْكِتَابَ وَمِثْلَهُ مَعَهُ أَلاَ يُوشِكُ رَجُلٌ شَبْعَانُ عَلَى أَرِيكَتِهِ يَقُولُ عَلَيْكُمْ بِهَذَا الْقُرْآنِ فَمَا وَجَدْتُمْ فِيهِ مِنْ حَلاَلٍ فَأَحِلُّوهُ وَمَا وَجَدْتُمْ فِيهِ مِنْ حَرَامٍ فَحَرِّمُوهُ ، ألا وأنَّ ما حَرَّمَ رسولُ الله صلى الله عليه وسلم كما حَرَّمَ اللهُ .

Maksudnya: Sedarlah bahawasanya telah diberikan kepadaku al-Qur’an dan bersamanya ialah yang seumpamanya. Sedarlah bahawa sudah hampir berlaku seorang yang kekenyangan di atas kerusinya akan berkata: “Hendaklah kamu berpegang dengan al-Qur’an ini sahaja, apa yang kamu dapati padanya halal maka halalkan. Apa yang kamu dapati padanya haram maka haramkan”. Sedarlah bahawasanya apa yang diharamkan oleh Rasulullah adalah sama dengan yang diharamkan oleh Allah.

Dimaksudkan dengan (ومثله معه) – seumpamanya – di dalam hadith di atas ialah sunnah Rasulullah. Oleh itu, sunnah Rasulullah mentafsirkan al-Qur’an. Sekiranya kita tidak mendapati tafsiran daripada al-Qur’an dan Sunnah, hendaklah kita merujuk kepada pendapat para Sahabat. Sekiranya tidak ada maka kebanyakan ulama merujuk kepada pendapat-pendapat ulama Tabi’in khususnya para Tabi’in yang terkenal seperti Mujahid, Sa’id bin Jubayr, al-Hasan al-Basri dan Sa’id ibn al-Musayyab[7].

Mungkin juga ada orang mempersoalkan mengapakah pendapat-pendapat Sahabat dan Tabi’in diambil kira dalam mentafsirkan al-Qur’an? Mengapa kita tidak terus berijtihad sahaja apabila tidak ada tafsiran dari Rasulullah?

Untuk menjawabnya, pendapat-pendapat para Sahabat dan Tabi’in diambil kira di dalam mentafsir al-Qur’an adalah berdasarkan kepada perkara-perkara berikut:

Sahabat-sahabat Rasulullah pewaris ilmu Rasulullah, kerana mereka sentiasa berdampingan dengan baginda khususnya Kibar al-Sahabah (Para Sahabat Besar) seperti khalifah yang empat, Ibn ‘Abbas, Ibn Mas’ud, Ubay bin Ka’b, Ibn ‘Umar, Abu Musa al-Ash’ariy dan lain-lain lagi. Adapun Ibn ‘Abbas telah mendapat penghormatan yang khusus dengan dikurniakan pemahaman takwil (tafsir al-Qur’an) yang mana Rasulullah telah mendoakan untuknya dengan sabdanya:

اللّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي اْلدِيْنِ وَعَلِّمْهُ الْتَأْوِيْلِ

Maksudnya: Wahai Tuhanku, berikanlah kepadanya kefahaman di dalam agama dan ajarkanlah kepadanya takwil (tafsir al-Qur’an)[8].

Adapun tentang pengambilan tafsiran al-Qur’an daripada Tabi’in adalah berdasarkan kepada ulama-ulama Tabi’in, khususnya yang terkenal seperti Mujahid, Hasan al-Basri, Sa’id bin Jubayr dan lain-lain lagi, telah mempusakai ilmu-ilmu daripada para Sahabat yang terkenal yang telah mewarisi dan menghayati pengajaran Rasulullah sama ada dari sudut ilmu atau pun amal.

CARA MEMBENTANG SURAH

Ibn Kathir tidak mengikut sistem tertentu dalam membentang surah-surah yang hendak ditafsirkan. Secara umumnya, beliau memulakan tafsir setiap surah dengan menyebut kelebihan dan sebab nuzulnya. Kemudian beliau menerangkan bilangan ayat dan kadangkala bilangan huruf, surah dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan surah yang ditafsirkan untuk membuktikan keistimewaan kitab suci al-Qur’an.

Sebagai contoh, beliau telah menyatakan bahawa surah al-Baqarah mengandungi seribu khabar, seribu perintah dan seribu larangan[9]. Tidak syak lagi perhitungan seumpama ini menunjukkan kesungguhannya dalam memberi khidmat kepada al-Qur’an, sekalipun perkara-perkara yang disentuh itu tidak termasuk dalam bidang tafsir.

Ibn Kathir membahagikan ayat-ayat surah yang hendak ditafsir kepada beberapa kumpulan mengikut kesesuaian dengan kandungan atau cerita yang dibentang oleh ayat-ayat tersebut. Oleh itu, jumlah ayat yang ditafsirkan di dalam satu-satu kumpulan itu berbeza, kadangkala satu ayat, dua, tiga, empat dan seterusnya.

Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa kecenderungan Ibn Kathir ialah mentafsir al-Qur’an dengan al-Qur’an. Oleh itu kita dapati beliau sering memetik ayat-ayat al-Qur’an sama ada dari surah yang sama atau daripada surah-surah lain untuk menjelaskan maksud ayat atau ayat-ayat yang ditafsirkan. Selepas itu beliau memaparkan hadith-hadith atau athar-athar yang berkaitan dengan terperinci, di samping itu kadangkala beliau membawa pendapat-pendapat ahli tafsir, kemudian beliau bertindak sebagai pembincang atau pengkritik apabila beliau merasakan perlu berbuat demikian.

Tafsir Ibn Jarir al-Tabari merupakan rujukan yang paling utama bagi Ibn Kathir dalam penulisannya. Suatu kemungkinan mengapa tafsir ini menjadi rujukan utama ialah keistimewaan al-Tabari membawa pendapat-pendapat ahli tafsir dengan sanadnya. Hal ini boleh membantu seseorang pentafsir untuk menilai sanad tersebut sama ada sahih, da’if atau sebagainya.

Ibn Kathir tidak begitu mengambil perhatian terhadap perbahasan i’jaz al-Qur’an dan rahsia-rahsia di sebalik susunan ayat yang berkaitan dengan ilmu balaghah (keindahan gaya bahasa). Daripada sudut ini tafsir al-Kashshaf karangan al-Zamakhshariy dapat mengatasi tafsirnya.

Beliau memberikan perhatian serius kepada kisah-kisah nabi dan rasul serta kisah-kisah berkaitan yang terdapat di dalam al-Qur’an. Kita dapat melihat penelitiannya di dalam membentang kisah-kisah Adam, Nuh, Ibrahim, Musa, Yusuf, Lut dan juga kisah kaum-kaum seperti ‘Ad, Thamud, Madyan, Ashab al-Jannatayn, Ashab al-Kahf, Dhu al-Qarnayn dan lain-lain lagi.

Ketika membentangkan kisah-kisah ini, sering kali Ibn Kathir menyedarkan pembaca bahawa kisah-kisah isra’iliyyat telah banyak menyusup masuk ke dalam buku-buku tafsir al-Qur’an dan perlu kepada usaha untuk menjelaskan yang benar daripada yang batil.

SIKAPNYA YANG TEGAS TERHADAP HADITH

Ibn Kathir juga sentiasa menjelaskan kedudukan hadith-hadith yang terdapat dalam tafsirannya sama ada sahih, hasanda’ifgharibmunkar dan sebagainya. Hal ini merupakan satu lagi keistimewaan yang dimiliki oleh tafsir ini dan seterusnya membuktikan kemampuan pengarangnya di dalam kritikan sama ada daripada sudut ilmiah atau metode. Sebagai contoh, dalam membentangkan peristiwa isra’, kita dapati Ibn Kathir telah membawa hadith-hadith isra’ Nabi s.a.w. Kemudian beliau menjelaskan kedudukan hadith tersebut satu persatu. Dengan penjelasan tersebut, ternyata bahawa sebahagian daripada hadith-hadith isra’ tidak sahih, sama ada gharibmunkar atau idtirab[10].

Untuk menjelaskan hal ini, dibawa kata-kata al-Dhahabi, seorang tokoh yang terkenal dalam bidang tafsir al-Qur’an, dengan katanya[11]:

“Keistimewaan Ibn Kathir ialah beliau menyebut ayat dan mentafsirkannya dengan ibarat yang mudah difahami, kalau perlu beliau akan menjelaskan maksud ayat dengan membawa ayat yang lain yang berkaitan, kemudian beliau akan membuat perbandingan antara ayat-ayat yang dibawa supaya maksudnya jelas (kepada pembaca). Tafsir ini (Ibn Kathir) adalah tafsir yang paling banyak membawa ayat-ayat yang bersesuaian yang berkaitan dengan ayat yang ditafsirkan”.[12]

Di tempat lain beliau menyebut[13]:

“Selepas selesai dari penjelasan ayat-ayat beliau akan membawa hadith-hadith marfu’ yang berkaitan dengan ayat, kemudian beliau menjelaskan tentang hadith yang boleh dijadikan hujah dan sebaliknya beliau juga menjelaskan hadith-hadith yang tidak boleh dijadikan hujah. Kemudian beliau akan diiringi dengan pendapat para sahabat Tabiin dan ulama’ Salaf. Ini dilakukannya berasaskan kemahiran beliau yang tinggi dalam berbagai bidang ilmu hadith, ilmu al-rijal yang dimilikinya. Ibn Kathir banyak menukilkan daripada Ibn Jarir al Tabari, Ibn Abi Hatim, Ibn Taymiyyah dan ulama’-ulama’ terkenal sebelumnya”.

Apabila mentafsir sesuatu ayat, Ibn Kathir sering meninggalkan kisah-kisah yang disebut oleh ahli-ahli tafsir sebelumnya apabila kisah-kisah tersebut tidak sesuai untuk dikemukakan[14]. Beliau juga menyedarkan para pembaca bahawa terdapat ahli-ahli tafsir telah tersalah menyebut kisah-kisah tertentu yang boleh menyentuh kesucian akidah. Dalam komentarnya terhadap tafsiran kepada firman Allah:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ وَلَا نَبِيٍّ إِلَّا إِذَا تَمَنَّىٰ أَلْقَى الشَّيْطَانُ فِي أُمْنِيَّتِهِ فَيَنسَخُ اللَّهُ مَا يُلْقِي الشَّيْطَانُ ثُمَّ يُحْكِمُ اللَّهُ آيَاتِهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: Dan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu seorang rasul atau seorang nabi melainkan apabila ia bercita-cita (supaya kaumnya beriman kepada agama Allah yang dibawanya), maka syaitan pun melemparkan hasutannya mengenai usaha rasul atau nabi itu mencapai cita-citanya. Oleh itu, Allah segera menghapuskan apa yang telah diganggu oleh syaitan, …

                        Al-Hajj (22): 52

Berhubung dengan ayat di atas Ibn Kathir berkata[15]:

Ramai ahli tafsir menyebut kisah berhala-berhala sedangkan hadith-hadith mengenainya semuanya hadith mursal dan tidak ada satu pun hadith yang musnad dan sahih.

Sebenarnya kisah ini menyentuh kesucian akidah kerana terkandung di dalamnya dakwaan bahawa syaitan telah menguasai Nabi, sehingga dikatakan ia mengucapkan kalimah:

تلك الغَرَانِيْقُ العُلَا وعَنْ شَفَاعَتِهِنَّ لَتُرْتجَى

Maksudnya: Itulah berhala-berhala yang agung dan syafaat daripadanya diharapkan.

SIKAPNYA TERHADAP PERBAHASAN ILMU KALAM

Tafsir Ibn Kathir merupakan tafsir bi al-ma’thur, oleh itu beliau tidak menyentuh dengan panjang lebar perbahasan-perbahasan ilmu kalam seperti yang dilakukan oleh Fakhr al-Raziy dan al-Zamakhshariy di dalam tafsir mereka. Bahkan Ibn Kathir menjauhkan diri daripada membincangkan masalah-masalah akidah seperti qada’ dan qadar, kebaikan dan kejahatan, manzilah bayn manzilatayn, masalah keadilan ilahi, pemberian pahala ke atas amalan baik, wajib atau harus[16]. Sikapnya ini boleh dilihat ketika beliau mentafsir ayat-ayat berikut:

مَّنِ اهْتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهْتَدِي لِنَفْسِهِ ۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ …

Maksudnya: Sesiapa yang berbuat sesuai dengan hidayat (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk dirinya, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi dirinya sendiri …

Al-Isra’ (17): 15

وَمَا بِكُم مِّن نِّعْمَةٍ فَمِنَ اللَّهِ…

Maksudnya: Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allahlah datangnya …

Al-Nahl (16): 53

وَمَن يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ ۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُمْ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِهِ…

Maksudnya: Dan sesiapa yang ditunjuki Allah, dialah yang mendapat petunjuk, dan sesiapa yang Dia sesatkan maka sekali-kali kamu tidak akan mendapat penolong bagi mereka selain Allah …

Al-Isra’ (17): 97

Sekiranya beliau merasakan perlu menyentuh perbahasan ilmu kalam, beliau akan menyentuhnya secara ringkas untuk menyokong pendapat ahli hadith berdasarkan hadith-hadith yang sahih[17]. Contohnya tentang melihat Allah (al-ru’yah) dalam firmanNya:

وَلَمَّا جَاءَ مُوسَىٰ لِمِيقَاتِنَا وَكَلَّمَهُ رَبُّهُ قَالَ رَبِّ أَرِنِي أَنظُرْ إِلَيْكَ ۚ قَالَ لَن تَرَانِي…

Maksudnya: Dan tatkala Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaKu (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu”. Allah berfirman: “Engkau tidak sekali-kali sanggup melihatKu, …

Al-A’raf (7): 143

Ibn Kathir telah memberikan ulasan mengenai ayat di atas, bahawa ramai ulama yang terkeliru dengan pengertian kalimah (لن تراني) kerana ia menafikan berlaku sesuatu selama-lamanya. Maka golongan Mu’tazilah telah berdalilkan dengan kalimah (لن تراني) bahawa Allah tidak akan dapat dilihat di dunia dan di akhirat. Pendapat ini sangat lemah kerana telah sabit di dalam hadith-hadith mutawatir daripada Rasulullah bahawa orang-orang mukmin akan melihat Allah di akhirat[18].

Ketika mentafsir firman Allah:

  • NèO $tRyŠ 4’¯<y‰tFsù ÇÑÈ tb%s3sù z>$s% Èû÷üy™öqs% ÷rr& 4’oT÷Šr& ÇÒÈ

Maksudnya: Kemudian dia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad), lalu dia berjuntai sedikit demi sedikit. Sehingga jadilah jarak (di antaranya dengan Nabi Muhammad) sekadar dua hujung busaran panah, atau lebih dekat lagi.

Ibn Kathir telah menyokong pendapat yang menyatakan bahawa yang mendekatkan dirinya kepada Rasulullah itu ialah Jibril dan bukannya Allah[19].

Ibn Kathir berpegang dengan metode al-Salaf, iaitu perbahasan ilmu kalam adalah sesuatu yang asing bagi tafsiran al-Qur’an. Al-Qur’an boleh difahami dengan baik tanpa adanya perbahasan-perbahasan ilmu kalam.

SEBAB-SEBAB NUZUL AL-QUR’AN

Sebagai seorang tokoh tafsir bi al-ma’thur yang berpegang dengan metode al-Salaf, Ibn Kathir mengambil berat tentang sebab-sebab nuzul ayat-ayat al-Qur’an, kerana sebab-sebab nuzul dapat menjelaskan kisah-kisah dan suasana masyarakat atau peristiwa semasa penurunan ayat atau sebelumnya. Sebagai contoh, firman Allah:

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ…

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya, katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik-baik …

Al-Ma’idah (5): 4

Ibn Kathir menyebutkan riwayat daripada Sa’id bin Jubayr bahawa ayat ini telah diturunkan selepas Adiy Ibn Hatim dan Zayd ibn Muhalhal daripada suku Tay bertanya kepada Rasulullah. Mereka bertanya kepada baginda: ”Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah mengharamkan bangkai. Apakah dihalalkan kepada mereka?”. Maka turunlah ayat di atas.

HUKUM-HUKUM FIQH

Ibn Kathir sering juga menyentuh dan membincang pendapat-pendapat ahli fiqh ketika mentafsirkan ayat-ayat hukum. Contohnya ketika membincangkan hukuman had muharib (hukuman bagi pemberontak) dan pencuri, waktu penyembelihan korban di Mina, hukum membasuh kedua belah kaki ketika berwuduk. Beliau menunjukkan pendiriannya dan tidak lupa menolak pendapat-pendapat golongan bid’ah seperti Syi’ah dan menyalahkan mereka di dalam beberapa masalah seperti nikah mut’ah, menyapu kedua belah kaki ketika berwuduk dan lain-lain lagi[20].

Beliau berkata bahawa Rasulullah telah melarang seseorang daripada melakukan nikah mut’ah (sedangkan Rafidah mengharuskannya). Demikianlah ayat (yang ditafsirkan) itu menunjukkan wajib membasuh kedua belah kaki ketika wuduk, kerana ia disokong oleh riwayat yang mutawatir daripada amalan Rasulullah. Mereka (Rafidah) menyalahi kesemuanya tanpa bersandarkan kepada dalil yang sahih[21]. Ibn Kathir juga telah membincangkan masalah al-Mahdi al-Muntazar dan membanteras hujah-hujah kaum Syi’ah mengenainya[22].

ISRA’ILIYYAT

Ibn Kathir telah membahagikan isra’iliyyat kepada tiga bahagian[23]:

  1. Isra’iliyyat yang diharuskan meriwayatnya.
  2. Isra’iliyyat yang tidak diharuskan meriwayatkannya.
  3. Isra’iliyyat yang mana orang-orang Islam dituntut supaya mengambil sikap berdiam diri terhadapnya.

Adapun yang diharuskan meriwayatnya ialah kisah-kisah isra’iliyyat yang telah ternyata kebenarannya daripada hadith-hadith sahih atau dalil syarak yang muktabar, di antara yang termasuk di dalam kumpulan ini ialah menentukan bahawa sahabat Nabi Musa di dalam surah al-Kahfi ialah Khidr. Kebenarannya dapat diketahui daripada hadith Nabi yang diriwayatkan oleh al-Bukhariy[24].

Isra’iliyyat yang tidak diharuskan meriwayatkannya pula ialah kisah-kisah yang jelas bertentangan dengan syarak atau akal yang waras. Yusof al-Qaradawi memperingatkan bahawa antara kesalahan ahli tafsir ialah mempercayai isra’iliyyat yang terdapat dalam kitab-kitab tafsir, terutama perihal para nabi dan orang-orang beriman. Kisah-kisah batil dan khurafat tersebut telah mencemarkan keindahan tafsir al-Qur’an, yang kemudiannya menjadi laris dalam kalangan golongan Yahudi dan Nasara, seterusnya dilariskan pula oleh orang Islam sendiri. Kisah-kisah ini kebanyakannya tidak wujud dalam kitab-kitab kaum Yahudi dan Nasara, tetapi ianya berpindah dari mulut ke mulut dalam kalangan orang awam mereka, kemudian kisah tersebut secara jahil, tidak sedar atau dengan niat jahat telah disebarkan kepada umat Islam. Tindakan ini seolah-olah menggambarkan orang Yahudi yang kalah di Madinah, Khaibar dan tempat-tempat lain ingin memerangi Islam dengan cara serangan melalui ilmu iaitu dengan memasukkan ilmu-ilmu isra’iliyyat yang munkar ketika orang Islam lalai. Tidak lama kemudian isra’iliyyat tersebut memenuhi kitab-kitab umat Islam.[25]

Di antara kata-kata yang menggambarkan keingkaran ulama terhadap isra’iliyyat ialah kata-kata mufassir agong iaitu Ibn Abbas:

”Wahai umat Islam, mengapakah kamu bertanya kepada Ahli Kitab tentang sesuatu, sedangkan Kitab kamu (al-Quran) yang diturunkan oleh Allah kepada Nabinya merupakan perkhabaran Allah yang paling baru, kamu selalu membacanya, kebenaran yang tidak bercampur dengan kebatilan, sesungguhnya Allah telah memberitahu kepada kamu bahawa Ahli al-Kitab telah mengubah Kitab Allah, dan menulisnya dengan tangan mereka sendiri. Mereka mengatakan ini adalah daripada Allah, dengan cara menjualnya dengan harga yang murah. Mengapa ilmu (yang benar) yang ada pada kamu itu tidak menghalang kamu daripada bertanya kepada mereka? Demi Allah aku tidak mendapati seorang pun di kalangan mereka yang bertanya kepada kamu tentang apa yang diturunkan oleh Tuhan kamu”

Manakala isra’iliyyat yang digolongkan di dalam bahagian terakhir pula ialah kisah-kisah yang diperingatkan oleh Rasulullah dalam sabdanya[26]:

لا تُصَدِّقُوْا أهْلَ اْلكِتَابِ ولا تُكَذذِبُوْهُمْ وقُوْلُوْا ءَامَنَّا بالذي أُنْزِلَ إلَيْنَا وأُنْزِلَ إلَيْكُمْ وإلَهُنَا وإلَهُكُمْ وَاحِدٌ

Maksudnya: Janganlah engkau mempercayai (perkhabaran) Ahl al-Kitab dan jangan pula mendustainya, dan katakanlah (kepada mereka) kami beriman dengan (al-Qur’an) yang diturunkan kepada kami, dan dengan (kitab Tawrat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu. Tuhan kami dan Tuhan kamu hanya satu (Allah).

Sebagai contoh bagi isra’iliyyat yang telah dibentang dan dibincangkan oleh Ibn Kathir ialah kisah pembunuhan yang berlaku dalam kalangan Bani Isra’il yang tidak diketahui pembunuhnya. Untuk mengetahui pembunuh misteri itu, Allah telah memerintahkan supaya disembelih seekor lembu betina dan mengambil bahagian-bahagian tertentu daripada anggotanya untuk digunakan bagi memukul jasad simati. Perintah tersebut telah dirakamkan dalam surah al-Baqarah ayat 67.

Ibn Kathir telah membawa kisah tersebut dengan agak terperinci dan beliau telah menyebut usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Bani Isra’il untuk mendapat lembu yang sempurna sifatnya bagi menunaikan perintah Allah. Akhirnya hasrat mereka tercapai. Lembu yang dicari-cari itu ditemui berada pada seorang pemuda yang sangat taat kepada bapanya. Seterusnya Ibn Kathir menjelaskan kepada pembaca tafsirnya bahawa terdapat beberapa pendapat ulama yang berbeza mengenai kisah ini iaitu pendapat Abu al-’Aliyah, al-Suddiy, ’Ubaydah dan lain-lain lagi. Kemudian beliau menjelaskan bahawa pada zahirnya kisah ini dipetik daripada kitab-kitab Bani Isra’il yang mana harus bagi kita menukilkannya, tetapi tidak harus kita merasa yakin kebenarannya dan tidak harus pula kita mendustakannya. Kebenaran yang hakiki ialah pada kisah-kisah yang ada pada kita yang terdapat dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

Ketika mentafsirkan awal surah Qaf, beliau telah membentangkan makna huruf Qaf dengan menyatakan bahawa ada riwayat oleh sesetengah ulama al-Salaf bahawa Qaf ialah sebuah bukit yang mengelilingi bumi ini. Kemudian beliau memberi komentar dengan menyatakan bahawa ia adalah satu kisah khurafat yang diambil oleh ahli tafsir daripada Bani Isra’il yang tidak perlu dipercayai atau didustakannya. Ibn Kathir berpendapat bahawa kisah ini dicipta oleh gologan zindiq daripada kalangan Bani Isra’il dengan tujuan mengelirukan umat Islam tentang hakikat agama mereka. Andainya pendustaan berlaku terhadap hadith-hadith Rasulullah saw sedangkan para ulama yang menghafal hadith masih ramai pada waktu itu, bagaimana pula umat Bani Isra’il yang begitu lama jarak masa antara kita dengan mereka, sudah tentu pendustaan dan penyelewengan lebih ketara lagi, tambahan pula sangat sedikit di kalangan mereka yang bertaraf huffaz. Lebih-lebih lagi perkara yang diketahui semua bahawa Bani Isra’il melakukan penyelewengan terhadap kitab Allah dengan mengubahnya dari maksud yang sebenar.

Adapun tentang keharusan meriwayatkan kisah Bani Isra’il sebagaimana yang terdapat dalam hadith nabi s.a.w[27]:

وحَدِّثُوْا عَنْ بَنِيْ إسْرَائِيْلَ ولا حَرَجَ

Maksudnya: Ceritakanlah daripada Bani Isra’il dan tiada salahnya.

Keharusan tersebut hanya terbatas kepada riwayat-riwayat yang benar dan boleh diterima oleh akal yang waras sahaja tidak termasuk riwayat-riwayat yang jelas khurafat dan batil.

KESIMPULAN

Setelah selesai penjelasan ini, dapatlah dinyatakan bahawa Ibn Kathir merupakan seorang ulamak yang alim dalam berbagai disiplin ilmu Islam , manakala tafsir Ibn Kathir adalah sebuah tafsir yang sangat tinggi mutu ilmiahnya. Tidak hairanlah mengapa tafsir ini mendapat sanjungan dan pujian daripada ulama’-ulama’ terkenal seperti al-Sayutiy dalam kitabnya ”Zail Tazkirat al-Huffaz”, al-Zarqaniy dalam ”Sharh Mawahib”, dan Muhammad Husayn al-Dhahabiy dalam bukunya ”al-Tafsir wa al-Mufassirun”. Pada masa kini tafsir ini menjadi rujukan utama para ulama’. Sebagai bukti keprihatinan ulama terhadap tafsir ini ia telah diringkaskan oleh beberapa orang ulama dan bagi yang boleh berbahasa indonesia dan melayu tafsir ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia.

[1] Muhammad Husayn al-Dhahabiy (1973), Al-Tafsir wa al-Mufassirun, juz. 1, al-Qaherah: Dar al-Kutub al-Hadithah, h. 242. Lihat juga: Abdullah Mahmud Shahatah (1974), Al-Qur’an wa al-Tafsir, al-Qaherah: al-Hayah al-Misriyyah al-‘Ammah li al-Kitab, h. 199.

[2] Muhammad Husayn al-Dhahabiy (1973), op. cit.

[3] Ibid.

[4] Abdullah Mahmud Shahatah (1974), op. cit., h. 200.

[5] Ismail bn Kathir (1984), Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, juz. 1, Bayrut: Dar al-Ma’rifah, h. 3.

[6] Sulayman bin al-Ash’ath Abu Dawud al-Sajastaniy al-Azdiy (t.t), Sunan Abi Dawud, tahqiq: Muhammad Mahy al-Din ‘Abd al-Hamid, juz. 2, Bayrut: Dar al-Fikr, h. 610.

[7] Ahmad ‘Abd al-Halim ibn Taymiyyah (t.t), Muqaddimah Usul al-Tafsir, al-Qahirah: al-Salafiyyah, h. 42.

[8] Diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Ibn Abbas dengan sanad yang sahih. Asal hadith ini terdapat Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim dengan lafaz berbeza. Lihat: Yusuf al-Qaradawi (1999), Kayfa Nata’amal Ma’a al-Qur’an al-Karim, al-Qaherah: Dar al-Syuruq, h. 230.

[9] Abdullah Mahmud Shahatah (1974), op. cit., h. 202.

[10] Ismail ibn Kathir (1984), op. cit., h. 3, 7, 19, 21.

[11] Muhammad Husein al-Dhahabiy (1973), op. cit., h. 242.

[12] Ibid.

[13] Ibid., h. 245.

[14] Ismail ibn Kathir (1984), op. cit., h. 439.

[15] Ibid., h. 226.

[16] Abdullah Mahmud Shahatah (1974), op. cit., h. 205.

[17] Ismail ibn Kathir (1984), op. cit., h. 3.

[18] Ibid., h. 244.

[19] Ibid., h. 3, 213.

[20] Ibid., h. 26, 28, 50-51, 55, 233, 3: 288.

[21] Ibid., h. 5.

[22] Ibid., h. 61.

[23] Ibid., h. 4.

[24] Muhammad bin ‘Aliy ibn Hajar al-‘Asqalaniy (t.t), Fath al-Bariy bi Sharh al-Bukhariy, juz. 8, al-Qahirah: al-Maktabah al-Salafiyyah, h. 423.

[25] Yusuf al-Qaradawi (1999), op. cit., h. 345.

[26] Muhammad bin ‘Aliy ibn Hajar al-‘Asqalaniy (t.t), op. cit., h. 170.

[27] Muhammad bin Isma’il al-Bukhariy (1987), Al-Jami’ al-Sahih, Kitab Bad’I al-Wahy, juz. 4, al-Qahirah: Dar al-Sha’b, h. 207.