IJTIHAD PARA SAHABAT RA PADA ZAMAN RASULULLAH SAW

TAJUK : IJTIHAD PARA SAHABAT RA PADA ZAMAN RASULULLAH SAW

Oleh : Mohd Saiba bin Yaacob

 

ABSTRAK :

Artikel ini bertujuan untuk membuktikan bahawa sejak zaman Rasulullah SAW lagi para Sahabat RA telah diberikan keizinan untuk berijtihad apabila mereka menghadapi sesuatu permasalahan baru yang tidak mempunyai nas yang terperinci. Manakala Rasulullah SAW pula berperanan dalam memberi perakuan kepada ijtihad Sahabat RA yang menepati fakta hukum atau prinsip-prinsip umum dan objektif syariah. Jika ijtihad mereka tersilap, baginda akan menjelaskan hukum syarak yang setepatnya. Sehubungan itu, perakuan Rasulullah dan ketetapan baginda itulah yang menjadi sumber hukum syarak, bukan ijtihad Sahabat itu sendiri. Justeru, tujuan artikel ini untuk menyokong pendapat sebilangan fuqaha yang mengatakan bahawa para Sahabat RA diharuskan berijtihad pada zaman Rasulullah SAW terutamanya ketika mereka berada berjauhan daripada bagindaSebagai pendedahan awal, penulis hanya mengemukakan ijtihad sebilangan Sahabat dalam mengerjakan ibadat solat[1] dan juga dalam menghakimi dua kes jenayah dan satu kes perebutan hak milik ke atas seorang anak yang baru dilahirkan.

 

[1] Artikel ini juga boleh dijadikan landasan awal untuk memahami kenapa fuqaha mujtahidin tidak berasa keberatan dalam memperincikan pelbagai hukum fekah termasuk hukum-hukum ibadat padahal terdapat hadis yang menegaskan bahawa seseorang yang mengerjakan sesuatu amalan yang bercanggah dengan sunnah Rasulullah SAW maka amalan tersebut akan ditolak bahkan dianggap sebagai perbuatan bid‘ah yang mesti ditinggalkan.

 

PENDAHULUAN

 

Artikel ini bukan bertujuan untuk mengatakan bahawa ijtihad para Sahabat RA boleh diterima sebagai sumber hukum Islam pada zaman penurunan wahyu. Anggapan sedemikian adalah tidak benar sama sekali kerana ijtihad Rasulullah SAW sendiri pun[1] tidak boleh dianggap sebagai sumber hukum kecuali apabila ia diperakui oleh Allah SWT. Objektif sebenar artikel ini ialah untuk membuktikan bahawa sejak zaman penurunan wahyu lagi Rasulullah SAW telah memberikan keizinan kepada para Sahabat RA untuk berijtihad apabila mereka menghadapi sesuatu permasalahan yang tidak diketahui terdapat nas yang terperinci mengenainya.

 

Perkara yang akan disentuh di awal tulisan ini ialah berkenaan pengertian Sahabat Rasulullah SAW dan berkenaan pendapat fuqaha muktabar tentang sejauh manakah para Sahabat diharuskan berijtihad pada zaman Rasulullah SAW. Tulisan ini seterusnya akan membuktikan bahawa ijtihad para Sahabat RA pada zaman Rasulullah SAW hanya direalisasikan apabila mereka menghadapi sesuatu permasalahan baru yang tidak dinaskan secara terperinci mengenainya dan juga apabila mereka tidak mengetahui bahawa permasalahan yang dihadapi itu sudah mempunyai fakta hukum yang tertentu berkaitan dengannya.

 

PENGERTIAN SAHABAT RASULULLAH SAW

 

Antara takrif yang paling komprehensif untuk menjelaskan siapakah yang dikatakan sebagai Sahabat Rasulullah SAW ialah takrif yang dikemukakan oleh ulama hadis yang boleh disimpulkan sebagaimana berikut:[2]

 

مَنْ لَقِيَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقَظَةً بَعْدَ بِعْثَتِهِ حَالَ حَيَاتِهِ مُؤْمِنًا بِهِ وَمَاتَ عَلَى الْإِيْمَانِ.

 

Maksudnya: “Seseorang yang telah berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW secara jaga (bukan melalui mimpi) selepas baginda menerima wahyu, semasa baginda masih hidup, dalam keadaan dia beriman kepada kerasulan baginda dan dia mati dalam iman”.

 

Takrif di atas mengandungi lima ciri penting yang menjadi syarat utama untuk menentukan siapakah yang layak mendapat gelaran Sahabat Rasulullah SAW. Lima ciri yang dimaksudkan boleh diringkaskan sebagaimana berikut:[3]

 

Pertama, hanya orang yang berjumpa dengan Rasulullah SAW sahaja yang dinamakan sebagai Sahabat sekalipun dia adalah seorang buta yang tidak dapat melihat baginda seperti Ibn Ummi Maktum (‘Amr @ Abdullah bin Qays bin Za’idah) RA.

 

Kedua, perjumpaan dengan baginda hendaklah berlaku selepas penerimaan wahyu yang menandakan bermulanya zaman kenabian baginda. Sehubungan itu, maka Waraqah bin Nawfal yang beriman kepada kerasulan baginda selepas penerimaan wahyu yang pertama adalah tergolong sebagai Sahabat Rasulullah SAW. Manakala Zayd bin ‘Amr bin Nufayl dan Jarjis bin ‘Abd al-Qays (yang digelarkan sebagai paderi Bahira) tidak termasuk dalam kategori Sahabat kerana perjumpaan itu berlaku sebelum baginda menerima wahyu.

 

Ketiga, perjumpaan itu hendaklah berlaku semasa baginda masih hidup. Justeru itu, orang yang beriman semasa hayat baginda tetapi hanya melihat baginda selepas kewafatan seperti Abu Zu’ayb al-Huzali (Khuwaylid bin Khalid) adalah tidak termasuk dalam kategori Sahabat.

 

Keempat, orang yang berjumpa baginda selepas perlantikan sebagai rasul itu hendaklah beriman kepada kerasulan baginda semasa perjumpaan tersebut. Jika orang yang berjumpa itu mengingkari kerasulan baginda, mereka tidak tergolong sebagai Sahabat Rasulullah SAW sekalipun mereka akhirnya memeluk Islam selepas kewafatan baginda.

 

Kelima, selepas memenuhi empat ciri di atas, hanya orang yang mati sebagai orang yang beriman sahaja diiktiraf sebagai Sahabat Rasulullah SAW. Manakala orang memenuhi empat ciri di atas tetapi dia kemudiannya menjadi murtad dan mati dalam kemurtadannya adalah terkeluar daripada kategori Sahabat Rasulullah SAW.

 

PENDAPAT FUQAHA BERKENAAN KEHARUSAN PARA SAHABAT RA BERIJTIHAD PADA ZAMAN RASULULLAH SAW

 

Berkenaan persoalan sama ada para Sahabat RA diharuskan berijtihad pada zaman Rasulullah SAW atau pun tidak, para fuqaha telah berbeza pendapat mengenainya. Sehubungan itu, Imam al-Ghazali (505 H) menjelaskan sebagaimana berikut:[4]

 

مسألة الاجتهاد في حياة النبي صلى الله عليه وسلم: اختلفوا في جواز التعبد بالقياس والاجتهاد في زمن الرسول عليه السلام، فمنعه قوم، وأجازه قوم، وقال قوم: يجوز للقضاة والولاة في غيبته لا في حضور النبي صلى الله عليه وسلم، والذين جوزوا منهم من قال يجوز بالإذن؛ ومنهم من قال: يكفي سكوت رسول الله صلى الله عليه وسلم. ثم اختلف المجوزون في وقوعه.

 

Maksudnya: Masalah (Keharusan Para Sahabat) Berijtihad Pada Zaman Rasulullah SAW: Para fuqaha telah berselisih pendapat tentang keharusan (para Sahabat) berta‘abbud (kepada Allah) dengan merealisasikan qiyas dan berijtihad pada zaman Rasulullah SAW. Sebahagian fuqaha mengingkarinya, manakala sebahagian yang lain mengharuskannya. Sebahagian yang lain pula berkata: harus (berijtihad) bagi kadi-kadi dan ketua-ketua (yang dilantik oleh Rasulullah SAW sahaja) semasa ketiadaan baginda, bukannya semasa kehadiran baginda. Dan para fuqaha yang mengharuskan itu sendiri ada yang mengatakan (para Sahabat) harus berijtihad dengan keizinan baginda, dan ada pula yang mengatakan (keharusan berijtihad itu) sudah memadai dengan cara baginda berdiam diri (tanpa memberikan keizinan). Kemudian, para fuqaha yang mengharuskannya telah berbeza pendapat tentang berlakunya pelaksanaan ijtihad para Sahabat RA pada zaman Rasulullah SAW.”

 

Imam al-Ghazali seterusnya menjelaskan pendapat yang dipilih oleh beliau sebagaimana berikut:[5]

 

والمختار أن ذلك جائز في حضرته وغيبته، وأن يدل عليه بالإذن أو السكوت … . فأما وقوعه فالصحيح أنه قام الدليل على وقوعه في غيبته بدليل قصة معاذ. فأما في حضرته فلم يقم فيه دليل.

 

Maksudnya: “Menurut pendapat yang terpilih, bahawa ta‘abbud (dengan berijtihad) itu adalah harus berlaku semasa kehadiran Rasulullah SAW dan juga semasa ketiadaan baginda, dan bahawa baginda telah menunjukkan keharusan tersebut dengan memberi keizinan dan juga dengan berdiam diri … . Adapun tentang berlakunya pelaksanaan ijtihad, maka yang sahihnya ialah terdapat dalil yang menunjukkan ia berlaku ketika ketiadaan baginda; dengan dalil (terdapat) kisah Mu‘az. Adapun berkenaan berlakunya ijtihad Sahabat semasa kehadiran baginda, maka tidak terdapat satu dalil pun yang membuktikan ia benar-benar telah berlaku.”

 

            Imam al-Ghazali seterusnya berhujah untuk memperkukuhkan pendapat di atas dengan mengatakan:[6]

 

فإن قيل: فقد قال لعمرو بن العاص: )احكم( في بعض القضايا، فقال: اجتهد وأنت حاضر؟ فقال: (نعم، إن أصبت فلك أجران، وإن أخطأت فلك أجر). وقال لعقبة بن عامر ولرجل من الصحابة: (اجتهدوا، فإن أصبتما فلكما عشر حسنات، وإن أخطأكما فلكما حسنة)؛ قلنا: حديث معاذ مشهور قبلته الأمة، وهذه أخبار آحاد لا تثبت، وإن ثبت احتمل أن يكون مخصوصا بهما، أو في واقعة معينة، وإنما الكلام في جواز الاجتهاد مطلقا في زمانه.

 

Maksudnya: “Sekiranya dikatakan: Sesungguhnya baginda telah bersabda kepada ‘Amr bin al-‘As: “Buatlah keputusan anda” berkaitan sesetengah kes yang dihadapi, lalu ‘Amr berkata: “Apakah saya akan berijtihad sedangkan tuan (Rasulullah SAW) hadir bersama?”. Baginda pun bersabda: “Ya, jika ijtihad anda tepat, maka anda akan mendapat dua pahala, dan jika tersilap, anda akan mendapat satu pahala”. Dan (jika dikatakan lagi) baginda juga telah bersabda kepada ‘Uqbah bin ‘Amir dan kepada salah seorang Sahabat yang lain: “Berijtihadlah kamu, kerana jika (ijtihad) kamu berdua tepat, kamu berdua akan memperolehi sepuluh kebaikan; dan jika (ijtihad) kamu berdua tersilap, kamu akan memperolehi satu kebaikan”; kami berkata: “Hadis Mu‘az adalah hadis masyhur yang telah diterima oleh sekalian umat Islam, manakala ini pula adalah hadis Ahad yang tidak sabit periwayatannya. Dan jika ia sabit (sekalipun), ada kemungkinan ia dikhususkan kepada mereka berdua sahaja, ataupun dikhususkan dalam kes yang tertentu sahaja. Sesungguhnya perbincangan (yang diperselisihkan) ini adalah berkaitan keharusan (para Sahabat) berijtihad secara mutlak pada zaman baginda”.”

 

Menghuraikan permasalahan yang sama, Imam al-Shawkani (1255 H) yang hidup sehingga ke pertengahan abad ke 13 hijriyyah dan berpeluang menganalisis pelbagai pendapat fuqaha mujtahidin sebelumnya menjelaskan:[7]

 

المسألة الخامسة: في جواز الاجتهاد في عصره صلى الله عليه وسلم، فذهب الأكثرون إلى جوازه ووقوعه، واختاره جماعة من المحققين منهم القاضي؛ ومنهم من منع ذلك كما روي عن أبي علي وأبي هاشم؛ ومنهم من فصل بين الغائب والحاضر، فأجازه لمن غاب عن حضرته صلى الله عليه وسلم كما وقع في حديث معاذ؛ دون من كان بحضرته الشريفة صلى الله عليه وسلم، واختاره الغزالي وابن الصباغ … . ومنهم من قال إنه يجوز للحاضر في مجلس النبي صلى الله عليه وسلم أن يجتهد إذا أمره بذلك كما وقع منه صلى الله عليه وسلم من أمره لسعد بن معاذ أن يحكم في بني قريظة، وإن لم يأمره النبي صلى الله عليه وسلم لم يجز له الاجتهاد؛ إلا أن يجتهد ويعلم به النبي صلى الله عليه وسلم فيقرر عليه … .

 

Maksudnya: “Masalah yang kelima berkenaan keharusan berijtihad pada zaman Rasulullah SAW; maka kebanyakan ulama berpendapat bahawa ia harus dan telah berlaku. Pendapat ini dipilih oleh sekumpulan ulama muhaqqiqin, di antara mereka ialah al-Qadi (Abdul Wahhab). Sebilangan fuqaha yang lain berpendapat para Sahabat tidak dibenarkan berijtihad (pada zaman Rasulullah SAW) sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Ali dan Abu Hashim. Sebilangan fuqaha yang lain pula membezakan di antara Sahabat yang ghaib (berjauhan) dan Sahabat yang hadir (bersama baginda), mereka mengharuskannya kepada Sahabat tidak hadir bersama baginda sebagaimana yang terkandung dalam hadis Mu‘az, dan tidak diharuskan kepada Sahabat yang berada di sisi Rasulullah SAW. Pendapat (yang ketiga) ini dipilih oleh al-Ghazali dan Ibn al-Sabbagh … . Dan di antara mereka ada yang berkata sesungguhnya Sahabat yang berada bersama Nabi SAW harus berijtihad apabila baginda memerintahkannya supaya berijtihad sebagaimana baginda telah memerintahkan Sa‘ad bin Mu‘az supaya menjatuhkan hukuman ke atas (Yahudi) Bani Qurayzah; dan sekiranya baginda tidak memerintahkannya (supaya berijtihad), (maka) tidak haruslah baginya untuk berijtihad; kecuali seseorang Sahabat berijtihad dan Nabi SAW mengetahui mengenainya lalu baginda pun memberikan perakuan kepada ijtihad tersebut … .”

 

Imam al-Shawkani seterusnya menegaskan:[8]

 

والحق ما تقدم من التفصيل بين من كان بحضرته صلى الله عليه وسلم فيما نابه من الأمر وبين من كان غائبا عنها فيجوز له الاجتهاد، وقد وقع من ذلك واقعات متعددة كما وقع من عمرو بن العاص من صلاته بأصحابه وكان جنبا ولم يغتسل بل تيمم وقال: سمعت الله تعالى يقول: (ولا تقتلوا أنفسكم) فقرره النبي صلى الله عليه وسلم على ذلك … .

 

Maksudnya: “Dan pendapat yang benar ialah pendapat yang membuat perbezaan di antara Sahabat yang hadir bersama Rasulullah SAW ketika menghadapi sesuatu permasalahan hukum (maka mereka tidak diharuskan berijtihad kecuali dengan keizinan atau pengiktirafan baginda); berbeza dengan Sahabat yang berada di tempat yang berjauhan daripada baginda, maka haruslah baginya untuk berijtihad. Dan sesungguhnya ijtihad para Sahabat (semasa ketiadaan Rasulullah SAW) telah berlaku dalam banyak kes sebagaimana ia dilakukan oleh ‘Amr bin al-‘As berkaitan kes beliau mengimami solat (fardu Subuh) kepada para Sahabatnya padahal ketika itu beliau berhadas besar (kerana bermimpi) dan beliau tidak mandi (janabah) pun bahkan hanya bertayammum (kerana cuaca pada hari tersebut adalah tersangat sejuk); dan beliau berkata (memberi alasan kepada Rasulullah SAW): Saya telah mendengar Allah SWT berfirman (yang bermaksud): “Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri”. Lalu Nabi SAW pun terus memberi perakuan kepada ijtihad tersebut … .”

 

Setelah membuat penelitian, penulis mendapati bahawa pendapat yang benar ialah pendapat fuqaha yang mengatakan bahawa para Sahabat RA diharuskan berijtihad pada zaman Rasulullah SAW ketika mereka berada berjauhan daripada baginda bahkan sebilangan Sahabat yang menjadi ma’mum masbuq telah berijtihad dalam mengenalpasti cara untuk mencukupkan bilangan rakaat solat berjamaah di belakang Rasulullah SAW sehingga akhirnya baginda menetapkan bahawa cara yang setepatnya ialah sebagaimana yang dilakukan oleh Mu‘az bin Jabal RA.[9]

 

Sebenarnya terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa sebilangan Sahabat RA telah berijtihad dalam pelbagai kes pada zaman Rasulullah SAW sebagaimana yang akan diperjelaskan nanti. Tambahan lagi ia bersesuaian dengan penjelasan fuqaha yang mengatakan bahawa setiap mujtahid – dan tentunya termasuk juga para Sahabat yang hidup pada zaman Rasulullah SAW – adalah diharuskan berijtihad apabila mereka tidak berupaya untuk menemui nas syarak yang terperinci berhubung sesuatu permasalahan hukum yang dihadapi, bukannya apabila benar-benar tidak wujud sebarang nas syarak yang terperinci berkaitan dengan masalah yang dihadapi itu.[10]

 

Berkenaan peranan Rasulullah SAW berkaitan ijtihad yang direalisasikan oleh para Sahabat, baginda akan memberikan perakuan kepada setiap ijtihad yang bertepatan dengan sesuatu fakta hukum yang terkandung di dalam al-Quran dan juga apabila ia menepati prinsip-prinsip umum dan objektif syariah. Sebaliknya apabila seseorang Sahabat tersilap dalam ijtihadnya, baginda pastinya akan menjelaskan hukum syarak yang setepatnya.

 

Sehubungan itu, Imam al-Shawkani menjelaskan bahawa apabila ijtihad seseorang Sahabat RA diperakui oleh Rasulullah SAW, ia menjadi hujah dan menjadi hukum syarak dengan sebab perakuan yang diberikan oleh baginda, bukannya kerana ijtihad Sahabat (itu sendiri). Dan sekiranya baginda mengingkari mana-mana ijtihad Sahabat atau mengatakan sesuatu yang menyalahinya, maka ijtihad itu sudah tidak berfaedah lagi kerana ia menjadi terbatal dengan adanya ketetapan syarak iaitu sabda Rasulullah SAW yang menyalahi ijtihad berkenaan. [11]

 

FAKTOR YANG MENDORONG PARA SAHABAT RA BERIJTIHAD

 

Terdapat dua faktor utama yang mendorong sebilangan Sahabat RA berijtihad pada zaman Rasulullah SAW. Faktor pertama ialah kerana hukum-hukum ibadat khasnya[12] dan hukum-hukum muamalat amnya[13] telah disyariatkan pada zaman Rasulullah SAW secara berperingkat, di mana sebahagian daripadanya mempunyai latar belakang yang tertentu.[14]

 

Nas-nas al-Quran yang memperincikan hukum-hukum yang tertentu pula biasanya mempunyai beberapa fakta hukum tambahan yang bersifat tersembunyi, di mana ia sedia dikembangkan menjadi beberapa pecahan dan cabang hukum yang baru. Sehubungan itu, Imam al-Suyuti (849-911 H) contohnya menjelaskan:[15]

 

إِنَّ آيَاتِ الْقَصَصِ وَالْأَمْثَالِ وَغَيْرَهَا يُسْتَنْبَطُ مِنْهَا كَثِيْرٌ مِنَ الْأَحْكامِ.

 

Maksudnya: “Sesungguhnya ayat-ayat (al-Quran yang membicarakan tentang) kisah-kisah, perumpamaan dan perbandingan, dan sebagainya boleh dikeluarkan pelbagai hukum syarak daripadanya.”

 

Pada mulanya, fakta-fakta hukum yang tersembunyi dan wujud secara bertaburan di dalam al-Quran itu hanya difahami oleh Rasulullah SAW sahaja sesuai dengan kedudukan baginda sebagai orang yang paling memahami berkenaan pelbagai fakta hukum dan pecahan ilmu pengetahuan yang terkandung di dalam al-Quran. Manakala para Sahabat RA pula tidak dapat memahami perkara sedemikian melainkan selepas diperjelaskan oleh Rasulullah SAW.[16]

 

Antara nas hukum yang dimaksudkan ialah berkenaan cara bertayammum kerana ketiadaan air bagi menggantikan mandi janabah sebagaimana yang terkandung di dalam firman Allah SWT:

 

bÎ)ur öNçGZä. $Y6ãZã_ (#r㍣g©Û$$sù 4 bÎ)ur NçGYä. #ÓyÌó£D ÷rr& 4’n?tã @xÿy™ ÷rr& uä!%y` Ӊtnr& Nä3YÏiB z`ÏiB ÅÝͬ!$tóø9$# ÷rr& ãMçGó¡yJ»s9 uä!$|¡ÏiY9$# öNn=sù (#r߉ÅgrB [ä!$tB (#qßJ£Ju‹tFsù #Y‰‹Ïè|¹ $Y6ÍhŠsÛ (#qßs|¡øB$$sù öNà6Ïdqã_âqÎ/ Nä3ƒÏ‰÷ƒr&ur çm÷YÏiB 4

 

Maksudnya: “Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam bermusafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwudhu’ dan mandi), maka hendaklah kamu bertayammum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu – itu … .”

Al-Ma’idah (5): 6

 

Berhubung ayat di atas, para Sahabat RA pada mulanya tidak mengetahui sama ada cara bertayammum untuk menggantikan mandi janabah perlu dilakukan dengan cara yang sama ataupun berbeza dengan cara tayammum untuk menggantikan wuduk. Mereka hanya mengetahui hukum berkenaan setelah Rasulullah SAW sendiri menjelaskan bahawa cara bertayammum hanya terhad kepada dua anggota sahaja iaitu muka dan dua tangan.[17]

 

Antara faktor yang menyebabkan para Sahabat RA tidak bertanyakan kepada Rasulullah SAW berkenaan perincian sesuatu hukum syarak sejak dari awal ialah kerana perkara tersebut telah dilarang oleh Allah SWT sendiri.[18] Sehubungan itu, Allah SWT telah berfirman:

 

$pkš‰r’¯»tƒ šúïÏ%©!$# (#qãZtB#uä Ÿw (#qè=t«ó¡n@ ô`tã uä!$u‹ô©r& bÎ) y‰ö6è? öNä3s9 öNä.÷sÝ¡n@ bÎ)ur (#qè=t«ó¡n@ $pk÷]tã tûüÏm ãA¨”t\ムãb#uäöà)ø9$# y‰ö7è? öNä3s9

 

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu …. Sesungguhnya perkara-perkara seumpama itu pernah ditanyakan (kepada Nabi mereka) oleh suatu kaum dahulu sebelum kamu, kemudian mereka menjadi kafir dengan sebab pertanyaan itu (kerana setelah diterangkan, mereka tidak menerimanya)”.

Al-Ma’idah (5): 101

 

Terdapat banyak contoh yang membuktikan bahawa para Sahabat RA tidak bertanyakan kepada Rasulullah SAW berkenaan perincian sesuatu hukum kecuali selepas mereka menghadapi sesuatu permasalahan yang menuntut mereka berijtihad terutamanya berkaitan hukum-hukum solat yang bersifat cabang dan ranting.[19]

 

Sehubungan itu, apabila seseorang Sahabat menghadapi sesuatu permasalahan baru yang berkaitan dengan kewajipan mengerjakan ibadat solat ketika mereka berada berjauhan daripada Rasulullah SAW, terpaksalah Sahabat berkenaan berijtihad dan beramal menurut pertimbangan dan kebijaksanaan masing-masing. Selepas berjumpa semula dengan Rasulullah SAW barulah mereka bertanyakan tentang kedudukan ijtihad tersebut dan ketika itulah baginda akan menjelaskan sama ada ijtihad mereka itu tepat ataupun tersilap.[20]

 

Faktor kedua ialah kerana Rasulullah SAW sendiri telah memberikan peluang kepada para Sahabat RA untuk berijtihad termasuk pada ketika mereka berada di dalam satu majlis bersama baginda. Sebagai contoh, baginda telah memberikan peluang kepada para Sahabat RA yang menjadi ma’mum masbuq untuk berijtihad dalam menentukan cara mencukupkan bilangan rakaat solat fardu berjamaah apabila mereka ketinggalan satu rakaat atau beberapa rakaat di belakang solat Rasulullah SAW.[21]

 

Selain itu, Rasulullah SAW juga telah melantik Sa‘ad bin Mu‘az RA (5 H) sebagai orang yang diberi mandat untuk menjatuhkan hukuman ke atas Yahudi Bani Qurayzah[22] yang terbukti telah bersiap sedia dan hampir-hampir akan melancarkan serangan ke atas umat Islam dari dalam Kota Madinah bagi membolehkan seramai 10,000 orang tentera musyrikin dalam peperangan Ahzab berjaya memasuki Kota Madinah dan seterusnya dapat membunuh Rasulullah SAW dan semua umat Islam.

 

Bertolak daripada dua faktor di atas, sebilangan Sahabat RA telah berijtihad secara praktikal dalam mengenalpasti hukum-hukum syarak bagi sesuatu permasalahan baru yang belum diperincikan hukumnya oleh Rasulullah SAW. Di bawah ini ialah penjelasan lanjut berkenaan ijtihad para Sahabat RA pada zaman Rasulullah SAW yang berkaitan dengan cara mengerjakan ibadat solat dan juga dalam memutuskan tiga kes yang tergolong dalam bidang kehakiman Islam.

 

IJTIHAD PARA SAHABAT RA DALAM MENGERJAKAN IBADAT SOLAT

 

Kebanyakan ijtihad yang dilakukan oleh para Sahabat RA pada zaman Rasulullah SAW adalah berkaitan dengan cara mengerjakan ibadat solat. Ini kerana solat adalah wajib dikerjakan oleh setiap orang mukallaf dalam waktu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT tanpa mengira tempat dan keadaan yang di hadapi sama ada semasa bermukim, sihat dan dalam suasana yang aman mahupun semasa bermusafir, sakit dan juga ketika sedang menghadapi peperangan.

 

Penjelasan lanjut berkenaan beberapa ijtihad para Sahabat RA yang berkaitan dengan cara mengerjakan ibadat solat adalah sebagaimana berikut:

 

  1. Cara Ma’mum Masbuq Mencukupkan Bilangan Rakaat Solat Fardu Berjamaah

 

Berkenaan cara ma’mum masbuq mencukupkan bilangan rakaat solat fardu berjamaah pada permulaan hijrah ke Kota Madinah, Imam Ahmad bin Muhammad bin Hambal (164-241 H) telah meriwayatkan hadis berikut:[23]

 

كَانَ النَّاسُ عَلَى عَهْدِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا سُبِقَ الرُّجُلُ بِبَعْضِ صَلاتِهِ سَأَلَهُمْ فَأَوْمَئُوْا إِلَيْهِ بِالَّذِيْ سُبِقَ مِنَ الصَّلَاةِ، فَيَبْدَأُ فَيَقْضِيَ مَا سُبِقَ، ثُمَّ يَدْخُلُ مَعَ الْقَوْمِ فِي صَلاتِهِمْ، فَجَاءَ مُعَاذُ بْنُ جَبَل وَالْقَوْمُ قُعُوْدٌ فِيْ صَلَاتِهِمْ فَقَعَدَ، فَلَمَّا فَرغَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ فَقَضَى مَا كَانَ سَبَقَهُ. فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (اصْنَعُوْا كَمَا صَنَعَ مُعَاذُ).

 

Maksudnya: “Adalah para Sahabat pada zaman Rasulullah SAW (pada permulaan ketibaan baginda ke Kota Madinah), apabila terdapat seseorang Sahabat yang terlepas sebahagian rakaat solat berjemaah (kerana lewat datang ke masjid untuk mengerjakan solat berjamaah di belakang baginda), dia akan bertanyakan kepada Sahabat yang sedang bersolat, maka Sahabat yang ditanya itu mengisyaratkan (dengan jari tangan) kepadanya berkenaan bilangan rakaat solat yang telah dikerjakan (oleh Rasulullah SAW). Maka mulailah Sahabat (yang terlewat) itu mengerjakan rakaat yang telah dikerjakan itu (secara bersendirian), kemudian barulah dia mengerjakan solat bersama para Sahabat lain (mengikut pergerakan Rasulullah SAW sebagai imam solat). Tiba-tiba (pada suatu hari), datanglah Mu‘az bin Jabal RA (18 H) ketika para Sahabat sedang berada dalam posisi duduk semasa mengerjakan solat berjamaah, lalu beliau pun (bertakbir dan) terus duduk. Selepas Rasulullah SAW selesai mengerjakan solat, barulah beliau (Mu‘az RA) berdiri lalu mengerjakan bilangan rakaat yang telah dikerjakan (oleh Rasulullah SAW sebelum ketibaan beliau ke masjid). (Melihat tindakan sedemikian), maka Rasulullah SAW pun bersabda: “Hendaklah kamu melakukan sebagaimana cara yang telah dilakukan oleh Mu‘az”.”

 

Hadis di atas menjelaskan bahawa pada permulaan hijrah ke Kota Madinah, apabila terdapat seseorang Sahabat yang terlewat datang ke masjid yang menyebabkan dia terlepas sebahagian rakaat solat berjemaah bersama Rasulullah SAW, Sahabat yang terlewat itu akan bertanyakan kepada Sahabat yang sedang bersolat untuk mengetahui berapa rakaat kah solat berjamaah yang telah dikerjakan oleh mereka. Setelah mendapat jawapan melalui bahasa isyarat, Sahabat yang terlewat itu akan bertakbir lalu mengerjakan bilangan rakaat solat yang mereka ketinggalan itu secara bersendirian. Selepas itu barulah mereka mengikuti perbuatan solat Rasulullah SAW satu persatu sehingga apabila baginda menyelesaikan solat dengan ucapan salam, mereka juga akan turut menyelesaikan solat dengan cara yang sama.

 

            Hadis di atas seterusnya menjelaskan bahawa Mu‘az RA telah berijtihad dalam mencukupkan bilangan rakaat solat sebagai ma’mum masbuq. Tidak sebagaimana ijtihad para Sahabat yang lain, apabila Mu‘az bin Jabal RA yang datang lewat ke masjid mendapati semua ahli jamaah berada dalam posisi duduk, beliau pun memulakan solat dengan bertakbiratul ihram dan selepas itu beliau terus duduk untuk menyamakan solat beliau dengan posisi solat Rasulullah SAW. Selepas baginda selesai mengerjakan solat, barulah Mu‘az RA bangkit berdiri dan mencukupkan bilangan rakaat yang ketinggalan itu secara bersendirian. Selepas menyaksikan cara tersebut, Rasulullah SAW terus memberikan pengiktirafan yang sepenuhnya dan menetapkannya sebagai cara yang perlu diikuti oleh semua ma’mum yang ketinggalan rakaat di belakang imam.[24]

 

Setakat kajian ini, penulis mendapati inilah contoh terbaik bagi membuktikan bahawa para Sahabat RA telah berijtihad ketika mereka berada dalam satu majlis bersama dengan Rasulullah SAW, di mana mereka mengaplikasikan ijtihad tersebut secara berulang kali iaitu ketika mengerjakan solat berjamaah di belakang baginda. Manakala lain-lain ijtihad para Sahabat RA dalam mengerjakan ibadat solat adalah berlaku ketika mereka berada di tempat yang berjauhan daripada Rasulullah SAW.

Sehubungan ini juga penulis ingin menyokong penjelasan Imam al-Ghazali yang mengatakan bahawa menurut pendapat yang terpilih, para Sahabat diharuskan berijtihad semasa kehadiran Rasulullah SAW dan juga semasa ketiadaan baginda, dan bahawa baginda telah menunjukkan keharusan tersebut dengan memberi keizinan dan juga dengan berdiam diri.[25] Ia sekali gus dapat memperbetulkan penjelasan Imam al-Ghazali yang mengatakan bahawa tidak terdapat satu pun dalil yang menunjukkan berlakunya ijtihad Sahabat semasa kehadiran Rasulullah SAW bersama mereka.[26]

 

 

  1. ‘Ammar RA Berguling Di Atas Muka Bumi (Padang Pasir) Untuk Bertayammum

 

Keharusan bertayammum untuk mengerjakan solat telah disyariatkan oleh Allah SWT melalui firmanNya:

 

bÎ)ur öNçGZä. $Y6ãZã_ (#r㍣g©Û$$sù 4 bÎ)ur NçGYä. #ÓyÌó£D ÷rr& 4’n?tã @xÿy™ ÷rr& uä!%y` Ӊtnr& Nä3YÏiB z`ÏiB ÅÝͬ!$tóø9$# ÷rr& ãMçGó¡yJ»s9 uä!$|¡ÏiY9$# öNn=sù (#r߉ÅgrB [ä!$tB (#qßJ£Ju‹tFsù #Y‰‹Ïè|¹ $Y6ÍhŠsÛ (#qßs|¡øB$$sù öNà6Ïdqã_âqÎ/ Nä3ƒÏ‰÷ƒr&ur çm÷YÏiB 4

 

Maksudnya: “Dan jika kamu berjunub (berhadas besar), maka bersucilah dengan mandi wajib. Dan jika kamu sakit (tidak boleh terkena air), atau bermusafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air (berhadas kecil), atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapati air (untuk berwudhu’ dan mandi wajib), maka hendaklah kamu bertayammum dengan muka bumi[27] yang suci iaitu sapulah muka-muka kamu dan tangan-tangan kamu dengannya … .”

Al-Ma’idah (5): 6

 

Selepas penurunan ayat di atas, telah diriwayatkan bahawa dalam suatu perjalanan bermusafir, ‘Ammar bin Yasir RA (37H) telah berjunub (berhadas besar) dan beliau mengalami masalah ketiadaan air untuk mandi wajib. Sehubungan itu, ‘Ammar RA telah berijtihad lalu beliau pun bertayammum menurut cara yang beliau fikirkan logik dan munasabah. Berkenaan peristiwa berkenaan, ‘Ammar RA telah meriwayatkan:[28]

 

“أجْنَبْتُ فَلَمْ أُصب الْمَاءَ فَتَمَعكْتُ فى الصعيْد وَصَليْتُ، فَذَكَرْتُ ذَلكَ للنَبي صَلى اللهُ عَلَيه وَسَلّمْ فَقالَ: (إنمَا كَانَ يَكْفيْكَ هكَذَا) وَضَرَبَ النَبيُ صَلَى الله عَلَيْه وَسَلَّمَ بكَفَّيْه الْأَرْضَ وَنَفَخَ فيْهمَا ثُم مَسَحَ بـهمَا وَجْهَهُ وَكَفَّيْه.”

         

Maksudnya: “Saya telah berjunub dan saya tidak mendapati air (untuk mandi janabah) lalu saya pun berguling di atas muka bumi (dalam debu pasir) dan (kemudiannya) mengerjakan solat. Lalu saya melaporkan tindakan tersebut kepada Rasulullah SAW lantas baginda bersabda: “Sesungguhnya cukuplah bagi anda bertayammum dengan melakukan begini” sambil Nabi SAW meletakkan kedua tangan baginda ke bumi kemudian meniup pada kedua telapak tangan baginda (supaya debu tanah yang terlekat padanya menjadi lebih sedikit) kemudian menyapukan keduanya pada muka dan pada dua (belakang) telapak tangan baginda.”

 

Tindakan ‘Ammar RA bertayammum dengan cara berguling di atas muka bumi (padang pasir) bagi menggantikan mandi janabah adalah kerana beliau telah mengqiyaskan (membandingkan) cara bertayammum untuk bersuci daripada hadas besar dengan perbuatan mandi janabah. Sehubungan itu, beliau berpendapat bahawa sebagaimana orang yang berjunub perlu mandi dengan meratakan air pada seluruh badan, maka orang yang bertayammum kerana berhadas besar juga perlu meratakan debu pada seluruh badan.

 

Setelah pulang daripada bermusafir, beliau telah bertanyakan kepada Rasulullah SAW berkenaan kedudukan ijtihad beliau berkaitan kes yang telah dilaluinya itu. Mendengar laporan berkenaan, baginda menjelaskan bahawa cara bertayammum untuk menggantikan mandi janabah adalah sama sahaja dengan cara bertayammum untuk menggantikan wuduk, di mana ia hanya melibatkan dua anggota iaitu muka dan dua belah tangan sahaja.[29]

 

  1. ‘Amr Bin al-‘As Menggantikan Mandi Wajib Dengan Bertayammum Kerana Mengalami Cuaca Yang Terlalu Sejuk Pada Waktu Subuh

 

Ayat keenam dari surah al-Ma’idah menjelaskan bahawa orang sakit yang tidak boleh terkena air dibenarkan bertayammum untuk bersuci daripada hadas sekalipun di masa kewujudan air. Kemudahan yang diperuntukkan oleh syarak ini telah diketahui dengan mudah oleh para Sahabat RA.

 

Sehubungan ini, telah diriwayatkan bahawa pada bulan Rabi‘ul Awal tahun ke-8 hijriyyah, Rasulullah SAW telah mendapat tahu bahawa Bani Qudha‘ah (بني قضاعة) telah mengadakan pakatan untuk mencerobohi sempadan Kota Madinah. Justeru itu, baginda telah melantik ‘Amr bin al-‘As RA sebagai panglima kepada 300 orang tentera Islam, di mana mereka telah diperintahkan supaya pergi ke satu tempat bernama Zat al-Salasil (ذات السلاسل) yang jarak kedudukannya memakan masa selama sepuluh hari perjalanan dari Kota Madinah dengan tujuan supaya mereka mengawal kawasan sempadan daripada pencerobohan pihak musuh.[30]

 

Ketika sedang menjalankan tugas berkenaan, ‘Amr RA telah berjunub (berhadas besar) akibat mimpi yang dialaminya pada suatu malam yang terlampau sejuk yang menyebabkan beliau berasa sangat keberatan untuk melakukan mandi janabah kerana bimbang akan berlaku kemudaratan ke atas kesihatannya bahkan mungkin juga ke atas nyawanya sendiri.

 

Berhadapan dengan kes yang tidak diperincikan hukum mengenainya itu, ‘Amr bin al-‘As RA telah berijtihad lalu bertayammum supaya beliau dapat mengerjakan solat fardu Subuh dengan lebih selesa tanpa perlu menggadaikan nyawanya dengan melakukan mandi janabah dalam cuaca yang tersangat sejuk. Berkenaan perkara tersebut, ‘Amr RA meriwayatkan:[31]

 

“احتلمت فى ليلة باردة في غزوة ذات السلاسل، فأشفقت أن أغتسل فأهلك فتيممت ثم صليت بأصحابي الصبح. فذكروا ذلك لرسول الله صلى الله عليه وسلم. فقال: (يا عمرو! صليت بأصحابك وأنت جنب؟) فأخبرته بالذي منعني من الاغتسال وقلت إني سمعت الله يقول: (ولا تقتلوا أنفسكم، إن الله كان بكم رحيما). فضحك رسول الله صلى الله عليه وسلم ولم يقل شيئا.”

 

Maksudnya: “Saya telah bermimpi (yang menyebabkan saya berhadas besar) pada suatu malam yang sangat sejuk semasa perang Zat al-Salasil. Lantaran berasa bimbang akan mati sekiranya saya mandi, saya pun bertayammum kemudian mengimamkan solat fardu Subuh kepada para Sahabat (yang ditugaskan mengawal keselamatan sempadan kota Madinah bersama) saya. Lalu (selepas kami kembali ke Kota Madinah) mereka menceritakan tindakan saya kepada Rasulullah SAW. Maka baginda bersabda kepada saya: “Wahai ‘Amr! Engkau menjadi imam solat kepada para Sahabatmu sedangkan engkau berjunub (dengan hanya bertayammum semasa kewujudan air)?”. Saya pun menceritakan kepada baginda berkenaan sebab yang menghalang saya untuk mandi dan saya berkata: “Sesungguhnya saya telah mendengar Allah berfirman:[32] (yang bermaksud): “Dan janganlah kamu membunuh diri kamu kerana Allah Maha Mengasihani akan kamu”. Maka tersenyumlah Rasulullah SAW dan baginda tidak mengatakan apa-apa”.

           

Hadis di atas menjelaskan bahawa ‘Amr bin al-‘As RA telah bertayammum bukan kerana ketiadaan air, bahkan kerana beliau bimbang keselamatan nyawanya akan terancam sekiranya beliau melakukan mandi janabah ketika menghadapi cuaca yang sangat sejuk.[33]

 

Dalam suasana berkenaan, ‘Amr RA telah berijtihad berpandukan nas al-Quran yang mengharamkan seseorang membunuh diri atau melakukan sesuatu tindakan yang membawa kemudaratan kepada nyawa sendiri. Lalu beliau pun bertayammum bagi menggantikan kewajipan mandi janabah. Sebagai seorang ketua, beliau kemudiannya telah mengimami solat fardu Subuh kepada para Sahabat lain yang bertugas di medan jihad bersama beliau.

 

Sikap Rasulullah SAW yang tidak memberikan sebarang kritikan terhadap ijtihad berkenaan, bahkan baginda telah tersenyum ketawa apabila mendengar alasan yang dikemukakan oleh ‘Amr RA adalah membuktikan bahawa baginda telah memberikan pengiktirafan dan perakuan kepada ijtihad tersebut.

 

Pada pandangan penulis, ijtihad ‘Amr RA di atas boleh dikategorikan sebagai ijtihad berasaskan kaedah qiyas iaitu dengan mengqiyaskan kes yang beliau hadapi itu dengan pensyariatan hukum tayammum untuk orang sakit yang tidak boleh terkena air sebagaimana firman Allah SWT:

 

bÎ)ur öNçGZä. $Y6ãZã_ (#r㍣g©Û$$sù 4 bÎ)ur NçGYä. … #ÓyÌó£D (#qßJ£Ju‹tFsù …

 

Maksudnya: “… jika kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib. Dan jika kamu sakit (tidak boleh terkena air), … maka hendaklah kamu bertayammum … .”

Al-Ma’idah (5): 6

 

Penulis berpendapat sedemikian kerana hukum bertayammum yang telah dinyatakan secara jelas di dalam al-Quran dan kes yang dihadapi oleh ‘Amr bin al-‘As di atas adalah mempunyai persamaan ‘illah hukum iaitu keperluan untuk menghindarkan diri daripada ditimpa kemudaratan sama ada pada nyawa mahupun pada kesihatan fizikal. Justeru itu, sebagaimana orang sakit yang tidak boleh menggunakan air pada bahagian badannya yang tertentu telah diberikan kelonggaran untuk bertayammum, maka seseorang yang mengalami kesejukan yang melampau juga harus menggunakan kelonggaran yang sama berasaskan kaedah qiyas.

 

  1. Seorang Sahabat Mengqadha Solat Sunat Subuh Selepas Mengerjakan Solat Fardu Subuh

 

Terdapat hadis yang menjelaskan bahawa Rasulullah SAW telah melarang umat Islam daripada mengerjakan solat sunat selepas mereka mengerjakan solat fardu Subuh sehinggalah matahari muncul sepenuhnya. Begitu juga pada ketika matahari sedang berada tegak di tengah langit pada waktu tengahari sehingga ia gelincir, dan juga selepas mereka mengerjakan solat fardu Asar sehinggalah matahari teggelam sepenuhnya.[34]

 

Namun begitu, telah diriwayatkan bahawa ada seorang Sahabat pada zaman Rasulullah SAW yang telah berijtihad, di mana selepas mengerjakan solat fardu Subuh bersama dengan Rasulullah SAW, beliau telah mengerjakan solat sebanyak dua rakaat . Sehubungan itu, Imam Abu Dawud (275H) meriwayatkan hadis yang berikut:[35]

 

“رأى رسول الله صلى الله عليه وسلم رجلا يصلى بعد صلاة الصبح ركعتين. فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (صلاة الصبح ركعتان). فقال الرجل: إني لم أكن صليت الركعتين اللتين قبلهما، فصليتهما الآن. فسكت رسول الله صلى الله عليه وسلم.”

 

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melihat seorang lelaki mengerjakan solat sebanyak dua rakaat selepas mengerjakan solat fardu Subuh. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Solat Subuh hanya dua rakaat sahaja”. Lelaki tersebut berkata: “Sesungguhnya saya belum mengerjakan (solat sunat) dua rakaat sebelumnya, maka (dengan alasan itulah) saya mengerjakannya sekarang”. Lalu diamlah Rasulullah SAW.”

 

Hadis di atas menjelaskan bahawa selepas mengerjakan solat fardu Subuh bersama Rasulullah SAW, seorang Sahabat telah berijtihad lalu mengqadha solat sunat Subuh yang tidak sempat dikerjakannya sebelum beliau mengerjakan solat fardu Subuh. Walaupun pada mulanya tindakan beliau itu mendapat teguran daripada Rasulullah SAW, namun setelah mendapat penjelasan daripada lelaki berkenaan, Rasulullah SAW terus berdiam diri.

 

Memandangkan Rasulullah SAW tidak akan berdiam diri daripada sebarang kesalahan yang berlaku dalam masalah agama, maka ia secara langsung membuktikan bahawa tindakan baginda berdiam diri itu bertujuan untuk memberikan pengiktirafan (perakuan) terhadap ijtihad Sahabat berkenaan.

 

Malahan Rasulullah SAW sendiri pernah mengerjakan solat sunat selepas baginda mengerjakan solat fardu Asar padahal baginda telah pun melarang umat Islam mengerjakan solat sunat dalam waktu berkenaan. Sehubungan itu, telah diriwayatkan bahawa pada suatu hari, selepas mengimami solat fardu Asar di masjid, Rasulullah SAW pulang ke rumah Ummu Salamah RA (isteri baginda) lalu mengerjakan solat sebanyak dua rakaat . Memandangkan amalan tersebut tidak pernah dilakukan oleh baginda sebelum itu, bahkan ia juga bertentangan dengan larangan baginda supaya umat Islam tidak mengerjakan solat sunat selepas mereka mengerjakan solat fardu Asar, Ummu Salamah RA terus meminta penjelasan daripada Rasulullah SAW lalu baginda pun bersabda:[36]

 

(يا بنت أبي أمية، سألت عن الركعتين بعد العصر، إنه أتاني ناس من عبد القيس بالإسلام من قومهم، فشغلوني عن الركعتين اللتين بعد الظهر، فهما هاتان).

 

Maksudnya: “Wahai anak perempuan Abi Umayyah! Anda bertanyakan kepada saya tentang (sembahyang yang saya kerjakan) dua rakaat selepas fardu Asar, sesungguhnya saya telah didatangi oleh satu rombongan dari kalangan Bani Abdil Qays yang mahu memeluk Islam. Mereka telah menyibukkan saya sehingga tidak sempat untuk mengerjakan solat sunat dua rakaat selepas fardu Zohor. Maka dua rakaat tersebut saya kerjakan sekarang.”

 

            Merujuk kepada hadis di atas, para fuqaha’ telah merumuskan bahawa sebagaimana seseorang diharuskan mengqadha solat sunat dalam waktu yang dilarang oleh syarak, seseorang diharuskan juga untuk mengqadha solat fardu selepas mengerjakan solat fardu Subuh dan solat fardu Asar. Menurut fuqaha’ Syafi‘iyyah, solat yang tidak boleh dikerjakan selepas menunaikan solat fardu Subuh dan fardu Asar dan juga di dalam tiga waktu lain yang terlarang ialah solat sunat mutlak, solat hajat dan solat sebelum bermusafir.[37]

 

  1. Membaca Surah al-Ikhlas Selepas Membaca Satu Surah Yang Lain Pada Setiap Kali Mengerjakan Solat

           

Telah diriwayatkan bahawa seorang Sahabat yang dilantik oleh Rasulullah SAW sebagai ketua kepada sekumpulan tentera Islam telah menjadi imam solat untuk pasukan tentera yang beliau pimpin, di mana setiap kali mengerjakan solat, beliau telah membacakan satu surah yang tertentu dan kemudiannya beliau mengakhiri bacaannya dengan surah al-Ikhlas.

 

Imam al-Bukhari (196-256H)[38] dan Imam Muslim (204-261H)[39] contohnya telah meriwayatkan hadis berikut yang bersumber daripada Aishah RA:

 

“أن رسول الله صلى الله عليه وسلم بعث رجلا على سرية، وكان يقرأ لأصحابه فى صلاتـهم فيختم بـ (قل هو الله أحد)؛ فلما رجعوا ذكر ذلك لرسول الله صلى الله عليه وسلم فقال: (سلوه، لأي شيء يصنع ذلك) فسألوه، فقال: لأنـها صفة الرحمن، فأنا أحب أن أقرأ بـها. فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (أخبروه أن الله يحبه)”.

 

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW telah mengutuskan seorang lelaki sebagai pemimpin kepada satu pasukan tentera. Dalam mengerjakan solat berjemaah, beliau (menjadi imam dan) selalu membacakan al-Quran untuk (dihayati oleh) para Sahabatnya lalu mengakhirinya dengan bacaan surah al-Ikhlas (pada setiap kali mengerjakan solat). Apabila mereka kembali, perkara tersebut telah dilaporkan kepada Rasulullah SAW, lalu baginda bersabda: “Mintalah penjelasan daripadanya kenapa beliau berbuat demikian?”. Mereka pun bertanyalah kepada Sahabat berkenaan lalu beliau menjawab: “Kerana surah tersebut (mengandungi penjelasan berkenaan) sifat Allah, sebab itulah saya berasa kasih untuk sentiasa membacanya”. Lantas Rasulullah SAW pun bersabda: “Beritahukanlah kepada beliau bahawa Allah mengasihinya”.”

 

Hadis di atas menjelaskan bahawa seorang Sahabat yang mengimami solat berjamaah telah mengamalkan suatu bentuk bacaan dalam solat yang tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah SAW, di mana pada setiap kali beliau mengimami solat berjamaah, beliau telah membacakan surah al-Ikhlas sebagai penutup kepada bacaan surah atau ayat-ayat al-Quran yang dibacakannya dalam rakaat pertama dan rakaat kedua.

 

Menurut riwayat yang lain, terdapat seorang Sahabat dari golongan Anshar yang selalu mengimami solat berjemaah di masjid Quba’ pada zaman Rasulullah SAW, di mana setiap kali beliau mahu membaca sesuatu surah daripada al-Quran (selepas membaca surah al-Fatihah), beliau terlebih dahulu membacakan surah al-Ikhlas untuk didengari oleh para ma’mum. Selepas itu beliau akan membacakan pula satu surah yang lain. Demikianlah amalan beliau pada setiap rakaat (pertama dan kedua). Tindakan di atas menyebabkan para Sahabat RA yang menjadi ma’mum di belakang Sahabat yang menjadi imam solat itu mencadangkan supaya beliau hanya membaca satu surah sahaja selepas bacaan surah al-Fatihah iaitu sama ada surah al-Ikhlas sahaja ataupun mana-mana surah yang lain. Namun Sahabat berkenaan tetap juga bertegas mahu meneruskan cara bacaan yang biasa diamalkannya itu. Beliau menegaskan lagi bahawa sekiranya mereka mahu beliau terus menjadi imam, beliau akan meneruskan cara sedemikian dan sekiranya mereka tidak menyukainya, beliau akan berhenti daripada terus menjadi imam. Bagaimanapun para Sahabat yang lain menganggap beliau adalah orang yang paling utama dalam kalangan mereka dan tidak menyukai ada orang lain yang mengimami mereka selain beliau. Sebaik sahaja Rasulullah SAW datang menziarahi para Sahabat di Quba’, mereka pun menceritakan perkara tersebut kepada baginda. Mendengar aduan tersebut, baginda pun bersabda kepada lelaki berkenaan:[40]

 

(يا فلان! ما يمنعك مما يأمر به أصحابك، وما يحملك أن تقرأ هذه السورة في كل ركعة؟)

 

Maksudnya: “Wahai fulan! Apa yang menghalang anda daripada menerima pandangan yang telah dikemukakan oleh para Sahabatmu dan apa yang mendorong anda untuk membaca surah ini pada setiap rakaat?”

 

Menjawab pertanyaan baginda, Sahabat itu berkata: (يا رسول الله! إني أحبها) “Wahai Rasulullah (SAW)! Sesungguhnya saya sangat mengasihinya (surah al-Ikhlas)”. Lantas Rasulullah SAW pun bersabda:[41]

 

(إن حبها أدخلك الجنة)

 

Maksudnya: “Sesungguhnya perasaan kasih (engkau) terhadapnya (surah al-Ikhlas itu) akan memasukkan engkau ke dalam syurga”.

 

Hadis di atas membuktikan bahawa amalan membaca surah al-Ikhlas bersama dengan surah yang lain dalam setiap rakaat solat fardu tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW sehingga ia dianggap pelik oleh para Sahabat yang mengerjakan solat bersamanya. Namun, setelah mendapat laporan berhubung perkara tersebut, Rasulullah SAW tidak melemparkan sebarang kritikan terhadap amalan Sahabat berkenaan bahkan selepas baginda mendapat jawapan daripada Sahabat berkenaan tentang alasan beliau bertindak sedemikian, baginda terus memberikan perakuan (pengiktirafan) dengan bersabda: “Khabarkanlah kepada beliau bahawa Allah mengasihinya”. Dalam riwayat yang lain, baginda bersabda: “Sesungguhnya perasaan kasih engkau terhadapnya (surah al-Ikhlas itu) akan memasukkan engkau ke dalam syurga (di akhirat nanti)”.

 

Pada pandangan penulis, hadis di atas secara langsung memberikan ruangan yang cukup selesa kepada fuqaha’ Sahabat RA untuk berijtihad dalam pelbagai bidang ibadat berpandukan kaedah dan prinsip-prinsip ijtihad yang tertentu. Sehubungan ini, maka kita tidak perlu berasa pelik apabila khalifah Umar bin al-Khattab RA (23H) telah berijtihad lalu melantik Ubay bin Kaab RA (22H) menjadi imam solat terawih dalam satu jemaah yang besar di sepanjang bulan Ramadan[42] dan umat Islam sedunia telah berijmak menerima ijtihad tersebut.[43]

 

Latar belakang ijtihad yang telah direalisasikan oleh para Sahabat RA di atas secara langsung membuka peluang kepada fuqaha mujtahidin untuk berijtihad dalam memperincikan pelbagai cabang dan ranting ibadat seperti ijtihad yang berkaitan dengan syarat-syarat sah solat, rukun-rukun solat, perkara yang membatalkan solat dan lain-lain, termasuk juga hukum imam solat berjamaah berwirid dengan mengeluarkan suara selepas mengerjakan solat fardu[44] seperti beristighfar, membaca ayat al-Kursi, bertasbih, bertahmid dan bertakbir.[45]

 

IJTIHAD PARA SAHABAT DALAM BIDANG KEHAKIMAN

 

Selain daripada berijtihad dalam bidang ibadat, terdapat sebilangan Sahabat yang telah berijtihad dalam bidang kehakiman setelah mendapat kebenaran atau selepas dilantik oleh Rasulullah SAW sebagai hakim yang dipertanggungjawabkan supaya mengadili sesuatu kes yang dipertikaikan oleh dua pihak atau beberapa pihak tertentu.

 

Sa‘ad bin Mu‘az RA (5H) contohnya telah dilantik oleh Rasulullah SAW sebagai hakim untuk menjatuhkan hukuman ke atas Yahudi Bani Qurayzah yang telah berpaling tadah dan bersiap sedia untuk menyerang tentera Islam dari dalam Kota Madinah bagi membolehkan tentera Ahzab memasuki Kota Madinah bagi membunuh Rasulullah SAW dan menghancurkan Islam sehingga ke akar umbinya. Ini menunjukkan bahawa Saad bin Muaz RA telah dilantik sebagai hakim untuk mengadili suatu kes yang melibatkan jenayah perang.

 

Di antara para pemuka Sahabat yang telah dilantik secara rasmi oleh Rasulullah SAW sebagai kadi (hakim mahkamah) ialah Mu‘az bin Jabal RA (18H) dan sayidina Ali RA (40H). Sayidina Ali RA contohnya telah berijtihad dalam mengadili beberapa kes yang telah diajukan kepadanya ketika bertugas sebagai hakim di negeri Yaman seperti penghakiman beliau berhubung kes empat orang yang mati kerana terjatuh ke dalam lubang yang digali untuk memerangkap binatang buas.[46]

 

Di bawah ini ialah huraian berkenaan metodologi ijtihad fuqaha’ Sahabat dan beberapa contoh penghakiman fuqaha’ Sahabat pada zaman Rasulullah SAW.

 

Metodologi Ijtihad Fuqaha’ Sahabat RA Dalam Bidang Kehakiman

 

Berhubung metodologi ijtihad yang digunakan oleh fuqaha’ Sahabat RA dalam bidang kehakiman, telah diriwayatkan bahawa apabila Rasulullah SAW mahu mengutuskan Mu‘az bin Jabal RA (18H) sebagai kadi (hakim mahkamah) ke negeri Yaman, baginda telah menemuduga Mu‘az RA berhubung metodologi ijtihad yang akan digunakannya dalam memutuskan sesuatu kes dan pertikaian yang bakal dihadapkan kepada beliau di Yaman nanti.

 

Menjawab pertanyaan baginda, Mu‘az RA menjelaskan bahawa pada mulanya beliau akan merujuk al-Quran. Jika tidak menemui sebarang nas dan fakta hukum di dalam al-Quran, beliau akan merujuk al-Sunnah dan jika beliau tidak mendapati sebarang hukuman yang telah ditetapkan di dalam al-Sunnah, beliau akan berijtihad dengan penuh teliti tanpa sebarang kecuaian. Mendengar penjelasan berkenaan, Rasulullah SAW terus memberikan pengiktirafan yang sepenuhnya kepada beliau dengan bersabda:[47]

 

الحمدُ لِلّهِ الّذِيْ وَفَّقَ رَسُوْلَ رَسُوْلِ اللهِ لِمَا يُرْضِي رَسُوْلَ اللهِ.

 

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan taufik kepada utusan Rasulullah SAW kepada apa yang mendatangkan keredaan Rasulullah”.

 

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa metodologi ijtihad yang digunakan oleh fuqaha’ Sahabat dalam memutuskan sesuatu hukum syarak sejak pada zaman Rasulullah SAW ialah dengan merujuk al-Quran dan al-Sunnah, dan jika tidak didapati sebarang nas yang terperinci di dalam dua sumber asasi hukum berkenaan, barulah mereka akan berijtihad dengan cara yang sangat teliti dan berhati-hati. Ijtihad yang mereka lakukan itu pastinya dengan mengambilkira pelbagai fakta hukum, prinsip-prinsip umum dan objektif syariat Islam yang terkandung di dalam al-Quran dan juga al-Sunnah.

 

 

CONTOH PENGHAKIMAN FUQAHA SAHABAT RA

 

Di antara contoh penghakiman para Sahabat RA yang telah direalisasikan pada zaman Rasulullah SAW adalah sebagaimana berikut:

 

  1. Penghakiman Sa‘ad bin Mu‘az RA Ke Atas Bani Qurayzah

 

Kes ini bermula dengan tindakan Yahudi Bani Qurayzah mengapi-apikan orang Quraysh supaya menyerang orang Islam dalam peperangan Ahzab (pada tahun ke 5H) dan mereka juga mencabuli perjanjian yang telah diadakan dengan Rasulullah SAW. Sesudah tentera Ahzab dikalahkan, kubu Bani Qurayzah telah dikepung oleh tentera Islam selama lebih kurang 25 hari dan akhirnya mereka telah menyerah diri dan menerima hukuman daripada Rasulullah SAW.

 

Pemimpin Yahudi Bani Qurayzah kemudiannya meminta izin kepada Rasulullah SAW supaya mentahkimkan kes tersebut kepada Sa‘ad bin Mu‘az RA.[48] Setelah mendapat persetujuan daripada Rasulullah SAW, Sa‘ad RA menjatuhkan hukuman bahawa semua orang lelaki Bani Qurayzah yang cukup umur hendaklah dibunuh, manakala golongan perempuan dan kanak-kanak pula dijadikan hamba, sementara semua harta-benda mereka hendaklah dibahagikan kepada tentera Islam sebagai rampasan perang. Rasulullah SAW telah memberikan persetujuan yang sepenuhnya kepada penghakiman tersebut dan menjelaskan bahawa ia amat bertepatan dengan kehendak Allah.[49]

 

Berhubung ijtihad di atas, ada fuqaha’ yang menjelaskan bahawa kemungkinan Sa‘ad RA mengqiyaskan Bani Qurayzah yang menjadi tawanan perang pada tahun kelima hijriyyah itu dengan tawanan perang Badar,[50] di mana Rasulullah SAW telah ditegur oleh Allah SWT kerana tidak menjatuhkan hukuman bunuh ke atas tawanan perang Badar. Memandangkan tindakan Bani Qurayzah yang telah melanggar perjanjian dan berpaling tadah itu boleh menimbulkan kemudaratan yang sangat besar terhadap nyawa para Sahabat dan jiwa Rasulullah SAW sendiri, maka sewajarnyalah Bani Qurayzah dijatuhkan hukuman bunuh secara beramai-ramai dan tidak layak untuk diberikan kemaafan sama sekali.

 

Ada juga kemungkinan Sa‘ad RA mengqiyaskan kes Bani Qurayzah di atas dengan golongan bughah[51] iaitu golongan pemberontak yang memerangi kerajaan Islam yang adil sebagaimana firman Allah SWT:

 

$yJ¯RÎ) (#ätÂt“y_ tûïÏ%©!$# tbqç/͑$ptä† ©!$# ¼ã&s!qߙu‘ur tböqyèó¡tƒur ’Îû ÇÚö‘F{$# #·Š$|¡sù br& (#þqè=­Gs)ム÷rr& (#þqç6¯=|Áム÷rr& yì©Üs)è? óOÎgƒÏ‰÷ƒr& Nßgè=ã_ö‘r&ur ô`ÏiB A#»n=Åz ÷rr& (#öqxÿYムšÆÏB ÇÚö‘F{$# 4 šÏ9ºsŒ óOßgs9 ӓ÷“Åz ’Îû $u‹÷R‘‰9$# ( óOßgs9ur ’Îû ÍotÅzFy$# ë>#x‹tã íOŠÏàtã ÇÌÌÈ

 

Maksudnya: “Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi (dengan melakukan keganasan merampas dan membunuh orang di jalan) ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja tanpa merampas), atau disalib (kalau mereka membunuh dan merampas) atau dipotong tangan dan kaki mereka secara berselang (kalau mereka merampas sahaja) atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman awam). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia; dan di akhirat kelak mereka akan beroleh azab seksa yang amat besar”.

Al-Ma’idah (5): 33

 

            Penjelasan di atas menunjukkan bahawa Sa‘ad bin Mu‘az RA telah berijtihad dalam memutuskan hukuman ke atas para penjenayah perang, di mana ijtihad beliau telah mendapat sokongan penuh daripada Rasulullah SAW sendiri kerana ia sangat bertepatan dengan objektif syariah dan beberapa fakta hukum yang terkandung di dalam al-Quran.

 

  1. Penghakiman Sayidina Ali RA Berhubung Peristiwa Al-Zubyah

 

Terdapat beberapa kes mahkamah yang diputuskan oleh sayidina Ali RA selepas Rasulullah SAW mengutuskan beliau ke Yaman sebagai kadi (hakim mahkamah). Di antaranya ialah berkenaan peristiwa al-Zubyah iaitu suatu lubang yang sengaja digali untuk memerangkap singa.[52] Setelah seekor singa jatuh ke dalam lubang tersebut, orang ramai pun mulai berkumpul di sekelilingnya. Akibat daripada berlakunya perbuatan tolak menolak di kalangan orang ramai yang hadir, tiba-tiba terdapat seorang lelaki yang terjatuh ke dalam lubang itu dan beliau telah berpaut kepada seorang yang lain menyebabkan orang yang kedua terjatuh juga. Orang yang kedua pula telah berpaut kepada orang ketiga dan orang yang ketiga turut berpaut kepada orang yang keempat. Akhirnya keempat-empat orang yang terjatuh itu terkorban di dalam lubang berkenaan.

 

            Apabila kes tersebut dihadapkan kepada sayidina Ali RA, beliau memutuskan bahawa mangsa pertama hanya berhak mendapat ¼ bayaran diyat sahaja kerana kematiannya disebabkan oleh tolakan orang ramai manakala dia sendiri telah menyebabkan kematian tiga orang mangsa yang lain dan justeru itu, maka ¾ daripada diyatnya perlu dipotong. Mangsa kedua pula diputuskan berhak mendapat 1/3 diyat kerana kematiannya disebabkan oleh orang pertama manakala dia sendiri telah menyebabkan kematian dua orang mangsa yang lain dan justeru itu, 2/3 daripada diyatnya perlu dihapuskan. Mangsa ketiga pula berhak mendapat ½ diyat kerana dia sendiri telah menyebabkan kematian seorang mangsa yang lain. Manakala mangsa keempat pula berhak mendapat diyat sepenuhnya kerana kematiannya disebabkan oleh mangsa ketiga sedang dia sendiri tidak melakukan sebarang tindakan yang menyebabkan kematian orang lain. Berhubung pihak yang diwajibkan membayar diyat, sayidina Ali RA memutuskan bahawa ia dikenakan ke atas semua kabilah yang berkumpul di tempat kejadian berkenaan.

 

Memandangkan semua pihak yang terlibat enggan menerima keputusan di atas, mereka telah pergi ke Kota Madinah lalu membuat aduan kepada Rasulullah SAW. Bagaimanapun Rasulullah SAW menegaskan bahawa keputusan ke atas kes tersebut adalah sama dengan penghakiman yang telah diputuskan oleh sayidina Ali RA. Berikutan penegasan tersebut, barulah semua orang yang terlibat membayar diyat kepada para pewaris kempat-empat mangsa berkenaan.[53]

 

Antara isu menarik berhubung keputusan Rasulullah SAW memberikan pengiktirafan kepada pengadilan yang diputuskan oleh sayidina Ali RA di atas ialah hakim Mahkamah Rayuan Syariah telah mengekalkan keputusan hakim Mahkamah Bicara Syariah setelah mendapati keputusan penghakiman tersebut menepati fakta-fakta hukum, prinsip-prinsip umum dan objektif syariat Islam.

 

  1. Penghakiman Sayidina Ali RA Berkaitan Kes Tiga Orang Lelaki Yang Menuntut Seorang Anak Yang Baru Dilahirkan Oleh Seorang Perempuan Selepas Mereka Meniduri Perempuan Tersebut

 

Telah diriwayatkan bahawa antara kes mahkamah yang telah dihadapkan kepada sayidina Ali RA ketika beliau berada di Yaman ialah berkaitan kes tiga orang lelaki yang telah mengadakan hubungan kelamin dengan seorang hamba perempuan (yang mereka miliki secara berkongsi) dalam tempoh kesucian yang sama (في طهر واحد), di mana apabila perempuan berkenaan melahirkan seorang anak, ketiga-tiga lelaki itu saling menuntut hak untuk memiliki anak tersebut. Melalui penghakimannya, sayidina Ali RA pada mulanya bertanyakan kepada dua orang daripada tiga lelaki yang terlibat: “Adakah kamu berdua mahu memberikan anak berkenaan kepada lelaki (ketiga) ini?”. Kedua-duanya menjawab: “Tidak”. Setelah bertanyakan soalan yang sama kepada setiap dua orang lelaki yang berlainan dan mendapati mereka ingin menuntut hak masing-masing, sayidina Ali RA pun mengadakan pengundian di antara mereka. Anak itu akhirnya diberikan kepada lelaki yang memenangi proses pengundian tersebut dan sebagai imbalannya lelaki yang menang itu dikenakan bayaran dua pertiga diyat yang dibayar dan dibahagikan kepada dua orang saudaranya yang tidak bernasib baik.[54]

 

Apabila penghakiman ke atas kes berkenaan dilaporkan kepada Rasulullah SAW, baginda terus tersenyum lebar sehingga ternampak gigi gerahamnya. Senyuman yang sebegitu rupa menandakan betapa gembiranya baginda disebabkan Allah SWT telah mengurniakan taufiqNya kepada sayidina Ali RA dalam menghakimi kes tersebut.[55]

 

Perakuan dan pengiktirafan Rasulullah SAW kepada penghakiman yang telah diputuskan oleh sayidina Ali RA dalam kedua-dua kes mahkamah di atas sekali gus membuktikan bahawa beliau adalah seorang Sahabat yang sangat pakar dalam bidang kehakiman Islam.

 

PENUTUP

 

Penjelasan di atas membuktikan bahawa Rasulullah SAW telah memberikan keizinan kepada para Sahabat RA untuk berijtihad apabila menghadapi sesuatu permasalahan yang tidak mempunyai nas hukum yang terperinci terutamanya ketika mereka berada di tempat yang berjauhan daripada Rasulullah SAW. Sehubungan itu, apa yang menjadi peranan Rasulullah SAW ialah baginda akan memperakui mana-mana ijtihad Sahabat yang menepati sesuatu fakta hukum yang terkadung di dalam al-Quran dan juga apabila ia menepati prinsip-prinsip umum dan objektif syariah. Apabila seseorang Sahabat tersilap, baginda akan menjelaskan hukum yang setepatnya menurut ketentuan dan kehendak Allah SWT sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran.

 

Perlu ditegaskan bahawa sumber hukum Islam pada zaman Rasulullah SAW hanyalah al-Quran dan al-Sunnah. Ijtihad para Sahabat hanya menjadi sumber rujukan hukum apabila ia mendapat perakuan dan pengiktirafan daripada Rasulullah SAW. Apabila ijtihad Sahabat RA dibatalkan oleh Rasulullah SAW, maka ia dikira terbatal dengan sendirinya. Selepas kewafatan Rasulullah SAW barulah ijtihad diterima menjadi sumber hukum Islam menurut prinsip dan metodologinya yang tertentu.

 

 

[1] Sila rujuk artikel penulis yang bertajuk “Ijtihad Rasulullah SAW Dalam Penentuan Hukum” di dalam Jurnal KIAS, bilangan VII, Nov. 2012, h. 37-69.

[2] ‘Iyadah Ayyub al-Kubaysi (1986), Sahabat Rasul Allah SAW fi al-Kitab wa al-Sunnah. Damshiq: Dar al-Qalam, h. 39 (dengan sedikit pindaan).

[3] Ibid., h. 40-62.

[4] Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (1997), al-Mustasfa min ‘Ilm al-Usul. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, j. 2, h. 173.

[5] Ibid., j. 2, h. 173-174.

[6] Ibid., h. 174.

[7] Muhammad bin ‘Ali al-Shawkani (1997), Irshad al-Fuhul Ila Tahqiq al-Haqq min ‘Ilm al-Usul. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, h. 380.

[8] Ibid.

[9] Ijtihad berkenaan perkara di atas akan dihuraikan nanti.

[10] Muhammad bin Ibrahim al-Wazir (1985), al-‘Awasim wa al-Qawasim. Amman: Dar al-Bashir, j. 1, h. 284.

[11] Muhammad bin ‘Ali al-Shawkani (1997), op. cit., h. 381.

[12] Hanya ibadat solat sahaja yang difardukan oleh Allah SWT semasa Rasulullah SAW berada di Mekah. Manakala ibadat puasa, zakat dan haji pula hanya disyariatkan selepas Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Berkenaan pensyariatan ibadat solat yang telah disyariatkan di Mekah itu sendiri, ia bermula dengan perintah supaya mengerjakan solat pada waktu malam yang dikenali sebagai ibadat qiyamullail. Pensyariatan solat fardu lima waktu pula hanya bermula pada malam Isra’ dan Mikraj yang – menurut pendapat sebilangan ulama – berlaku setahun beberapa bulan sebelum hijrah. Memandangkan solat fardu lima waktu dikerjakan secara bersembunyi di Mekah, maka solat berjamaah secara terbuka dan solat fardu Jumaat yang menggantikan fardu Zohor belum disyariatkan lagi. Cara mengerjakan solat fardu itu sendiri telah mengalami beberapa perubahan. Antara perubahan yang dimaksudkan ialah bilangan rakaat , di mana solat fardu Zohor, Asar dan Isyak pada mulanya hanya berjumlah dua rakaat sahaja kemudian ditambah menjadi empat rakaat semasa bermukim dan dikekalkan dua rakaat semasa bermusafir. Antaranya lagi ialah berlakunya perubahan kiblat dari Baitul Maqdis ke Masjidil Haram (kaabah). Sila lihat: ‘Umar Sulayman al-Ashqar (1991), Tarikh al-Fiqh al-Islami (cet. ketiga). Beirut: Dar al-Nafa’is, h. 48-49.

[13] Hukum-hukum muamalat menurut pengertiannya yang luas adalah mencakupi hukum-hukum munakahatjinayat dan siyasah shar‘iyyah. Berkenaan pensyariatan hukum-hukum jinayat contohnya, hukuman zina dan qazaf telah disyariatkan pada tahun keempat hijriyyah. Pada tahun keenam hijriyyah, diharamkan arak dan judi manakala pada tahun kelapan disyariatkan hukuman potong tangan ke atas pencuri. Pada tahun kesembilan disyariatkan li‘an ke atas suami yang menuduh isteri sendiri berzina tanpa membawa empat orang saksi. Ibid.

[14] Para ulama menamakan latar belakang penurunan sesuatu ayat al-Quran sebagai Asbab Nuzul al-Quran. Manakala latar belakang yang berkaitan dengan sesuatu hadis pula dinamakan sebagai Asbab Wurud al-Hadith.

[15] ‘Abd al-Rahman bin Abi Bakr al-Suyuti (1996), al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an. Al-Fujalah: Maktabah Misr, h. 482.

[16] Huraian berkenaan perkara ini telah diperincikan secara mendalam dan tersusun oleh ramai ulama Usul al-Fiqh pelbagai mazhab melalui karya masing-masing bermula dengan kitab al-Risalah oleh Imam al-Shafi‘i dan seterusnya hingga ke hari ini.

[17] Permasalahan ini akan dihuraikan nanti melalui kisah ‘Ammar bin Yasir r.a yang sedang bermusafir telah bermimpi lalu mengalami hadas besar, di mana beliau telah bertayammum kerana ketiadaan air dengan cara berguling di atas muka bumi (padang pasir).

[18] Pada pandangan penulis, para sahabat r.a pada mulanya telah memahami larangan tersebut melalui nasihat yang diberikan oleh Rasulullah SAW, dan juga melalui isyarat daripada Allah SWT sendiri di dalam ayat 67 hingga 71 dari surah al-Baqarah yang menjelaskan bahawa selepas Allah SWT memerintahkan umat nabi Musa AS supaya menyembelih seekor lembu, mereka sebenarnya boleh memilih mana-mana lembu yang disukai. Namun, sikap Bani Isra’il yang banyak bertanya mengenai sifat-sifat lembu yang perlu dicari untuk disembelih, mereka akhirnya menghadapi kesukaran dalam mencari lembu yang memenuhi sifat-sifat yang telah diperincikan oleh Allah SWT akibat pertanyaan mereka sendiri yang telah dikemukakan kepada nabi Musa AS sebanyak tiga kali dalam tempoh yang berbeza. Pertanyaan pertama mereka telah dijawab oleh Allah SWT dengan menjelaskan bahawa lembu yang perlu mereka cari ialah seekor lembu yang pertengahan umurnya, tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda. Selepas mereka bertanya lagi buat kali yang kedua, Allah menjelaskan bahawa lembu itu hendaklah berwarna kuning tua lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya. Apabila mereka masih mengulangi pertanyaan buat kali yang ketiga, Allah menjelaskan bahawa lembu itu hendaklah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah bendang), dan tidak pula digunakan mengangkut air untuk menjirus tanaman; serta tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya. Lembu yang memenuhi ciri-ciri tersebut hanya dijumpai setelah mereka menghadapi pelbagai kesukaran dalam mencarinya dan itupun dengan berkat kalimah “in sha Allah” yang mereka ucapkan.

[19] Sebagai contoh, telah diriwayatkan bahawa dalam suatu perjalanan jauh, ‘Amr bin al-‘As r.a telah berhadas besar kerana bermimpi pada suatu malam yang cuacanya sangat sejuk. Walaupun terdapat air yang boleh digunakan untuk mandi janabah, namun akibat cuaca yang terlalu sejuk, ‘Amr bin al-‘As r.a telah berijtihad lalu bertayammum dan mengerjakan solat fardu Subuh dengan tayammum berkenaan.

[20] Nadiyah Sharif al-‘Umari (1985), Ijtihad al-Rasul SAW. (cet. ketiga). Beirut: Mu’assasah al-Risalah, h. 171-187.

[21] Ijtihad sahabat berkaitan persoalan di atas akan dihuraikan nanti.

[22] Ijtihad Sa‘ad bin Mu‘az r.a berkaitan kes di atas akan dihuraikan nanti.

[23] Ahmad bin Muhammad bin Hambal (2012), al-Musnad (syarah dan tahqiq oleh Hamzah Ahmad al-Zayn). Kaherah: Dar al-Hadith, j. 12, h. 395 (hadis 21,932).

[24] Muhammad bin Abi Bakr lbn al-Qayyim (1993), I‘lam al-Muwaqqi‘in. Kaherah: Dar al-Hadith, j. 2, h. 174.

[25] Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (1997), op. cit., j. 2, h. 173.

[26] Ibid., j. 2, h. 174.

[27] Terjemahan yang dinukilkan daripada Tafsir Pimpinan Ar-Rahman di atas adalah berasaskan kepada mazhab Imam al-Shafi‘i yang berpendapat bahawa tayammum mesti dilakukan dengan menggunakan debu tanah yang suci. Manakala menurut mazhab Imam Abu Hanifah, Malik, al-Thawri dan al-Tabari pula seseorang diharuskan bertayammum dengan mana-mana bahagian muka bumi sama ada tanah atau pasir atau batu atau logam mahupun tanah yang bergaram atau berair dan sebagainya (termasuk muka bumi yang dilutupi salji yang beku dan tidak dapat dicairkan kerana tiada alat yang boleh digunakan untuk tujuan berkenaan). Pendapat ini bersesuaian dengan penjelasan Imam al-Qurtubi bahawa semua ahli bahasa Arab seperti al-Khalil, Ibn al-A‘rabi dan al-Zajjaj berpendapat bahawa perkataan Sa‘id di dalam frasa al-Quran (فَتَيَمَّمُوْا صَعِيْدًا طَيِّبًا) adalah bermaksud “muka bumi” sama ada yang terdapat tanah di atasnya mahupun tidak. Sila lihat: Muhammad bin Ahmad al-Qurtubi (1996), al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an (cet. kelima). Beirut: Lubnan, j. 5, h. 153.

[28] Hadis ini terkandung di dalam enam buah kitab hadis. Sebagai contoh, sila lihat: Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari (1999), Sahih al-Bukhari. Riyad: Dar al-Salam, h. 59-61 (hadis 338 hingga 347); Muslim bin Hajjaj (2005), op. cit., h. 199-200 (hadis 816 hingga 819). Lafaz hadith di atas dipetik daripada: Muhammad bin ‘Ali al-Shawkani (1998), Nayl al-Awtar (ed. Khalil Ma’mun Shiha). Beirut: Dar al-Ma‘rifah, j.1, h. 341.

[29] Muhammad bin Ali al-Shawkani (1998), ibid., j. 1, h. 341-342.

[30] Salahuddin Mahmud (2004), Ghazawat al-Rasul SAW. Al-Mansurah: Dar al-Ghadd al-Jadid, h. 359-361.

[31] Sulayman bin al-Ash‘ath Abu Dawud (1999), Sunan Abi Dawud. Riyad: Dar al-Salam, h. 60 (hadis 334). Hadis ini telah diriwayatkan secara ta‘liq (tanpa dinyatakan sanadnya) oleh Imam al-Bukhari. Lihat: Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari (1999), op. cit., h. 60.

[32] Al-Quran, surah al-Nisa’ (4): 29.

[33] Pada zahirnya ketika menghadapi kes berkenaan, ‘Amr bin al-‘As r.a tidak mempunyai sebarang peralatan yang boleh digunakan untuk memanaskan air sebagaimana yang biasa digunakan ketika seseorang berada di rumah sendiri.

[34] Muslim bin Hajjaj (2005), op. cit., h. 377 (hadis 1927).

[35] Sulayman bin al-Ash‘ath Abu Dawud (1999), op. cit., h. 190 (hadis 1267).

[36] Muslim bin Hajjaj (2005), op. cit., h. 378 (hadis 1930). Lihat juga hadis bilangan 1931 hingga 1934.

[37] Muhy al-Din bin Sharaf al-Nawawi (1997), al-Minhaj Sharh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj (cet. keempat). Beirut: Dar al-Ma‘rifah, j. 6, h. 360.

[38] Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari (1999), op. cit., h. 1269 (hadis 7375).

[39] Muslim bin Hajjaj (2005), op. cit., h. 370 (hadis 1887).

[40] Hadis Sahih. Sila lihat: Muhammad bin ‘Isa al-Tirmizi (1999), Jami‘ al-Tirmizi. Riyad: Daral-Salam, h. 652 (hadis 2901). Lihat juga: Muhammad Nasir al-Din al-Albani (t.t), Sifat Salat al-Nabi SAW Min al-Takbir ila al-Taslim ka Annaka Taraha. Riyad: Maktabah al-Ma‘arif li al-Nashr wa al-Tawzi‘, h. 91.

[41] Ibid.

[42] Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari (1999), op. cit., h. 322 (hadis 2010).

[43] ‘Ali Nayif Biqa‘i (2009), al-Ijtihad fi ‘Ilm al-Hadith wa Atharuh fi al-Fiqh al-Islami (cet. kedua). Beirut: Dar al-Basha’ir al-Islamiyyah, h. 219.

[44] Muhammad bin Idris al-Shafi‘i (2000), Mawsu‘ah al-Imam al-Shafi‘i. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath, j. 1, h. 353-354.

[45] Muhammad ‘Abd al-Hayy al-Laknawi al-Hindi (2009), Sibahah al-Fikr fi al-Jahr bi al-Zikr, h. 22-68. Lihat juga pandangan fuqaha mengenai hukum “berdoa secara beramai-ramai” dan “berzikir secara bersuara” dalam: Wahbah al-Zuhayli (1999), al-Bida‘ al-Munkarah. Damshiq: Dar al-Maktabi, h. 46-49.

[46] Muhammad ‘Ali al-Sallabiy (2006), ‘Ali bin Abi Talib: Shakhsiyyatuh wa ‘Asruh. Kaherah: Dar al-Tawzi‘ wa al-Nashr al-Islamiyyah, h. 127-128.

[47] Sulayman bin al-Ash‘ath Abu Dawud (1999), op. cit., h. 516 (hadis 3592) dan Muhammad bin ‘Isa al-Tirmizi (1999), op. cit., h.321-322 (hadis 1327). Untuk mendapat penjelasan lanjut berhubung tahqiq hadis di atas, sila rujuk: Muhammad bin Ibrahim al-Wazir (1985), al-‘Awasim wa al-Qawasim. Oman: Dar al-Basha’ir, j. 1, h. 258-259 dan Wahbah al-Zuhayli (1986), Usul al-Fiqh al-Islami. Beirut: Daral-Fikr, j. 1, h. 625.

[48] Sa‘ad bin Mu‘az ialah ketua bagi kaum Aws yang pernah mengadakan kerjasama politik dengan Yahudi Bani Qurayzah sebelum kedatangan Rasulullah SAW ke Kota Madinah. Beliau meninggal dunia pada tahun kelima hijriyyah iaitu beberapa ketika selepas menjatuhkan hukuman ke atas Yahudi Bani Qurayzah sebagaimana yang terkandung di dalam kisah di atas.

[49] Safiyy al-Rahman al-Mubarakpuri (1996), al-Rahiq al-Makhtum. Beirut: Mu’assasah al-Tarikh al-‘Arabi, h. 304-306.

[50] ‘Abd al-Majid ‘Abd al-Hamid al-Dibani (1994), al-Madkhal Ila Dirasah al-Fiqh al-Islami. Benghazi: Jami‘ah Qaryunus, h. 33.

[51] Ibid.

[52] Majma‘ al-Lughah al-‘Arabiyyah (2011), al-Mu‘jam al-Wasit (cet. kelima). Kaherah: Maktabah al-Shuruq al-Dawliyyah, h. 404.

[53] Abdul Majid Abdul Hamid al-Dibani (1994), op. cit, h. 32-33 dan Muhammad ‘Ali al-Sallabi (2006), op. cit, h. 127.

[54] Hadis sahih sebagaimana yang terkandung di dalam: Sulayman bin al-Ash‘ath Abu Dawud (1999), op. cit., h. 329 (hadis 2270); Ahmad bin Shu‘ayb bin ‘Ali al-Nasa’i (2002), Sunan al-Nasa’i. Beirut: Daral-Kutub al-‘Ilmiyyah, h. 569-570 (hadis 3485) dan Muhammad bin Yazid al-Qazwini (2008), Sunan Ibn Majah (tahqiq oleh al-‘Allamah al-Muhaddith Muhammad Nasir al-Din al-Albani) (cet. kedua). Riyad: Maktabah al-Ma‘arif li al-Nashr wa al-Tawzi‘, h. 401 (hadis 2348).

[55] Muhammad ‘Ali al-Sallabi (2006), op. cit., h. 127-128.