Tarikh : 1 – 6 April 2018

PUTRAJAYA: Qari Kelantan, Abdullah Fahmi Che Nor dan qariah Melaka, Suhailah Zulkifly muncul johan sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1439H/2018M yang berlangsung di Kompleks Islam Putrajaya (KIP), malam tadi.

Abdullah Fahmi yang mengumpul 87.50 peratus markah dan Suhailah (84.34 peratus), masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000; sebuah kereta PROTON Ertiga; piala iringan; tambahan wang tunai RM10,000 bagi menunaikan haji.

Kejayaan itu sekali gus melayakkan mereka mewakili Malaysia pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, 7 hingga 12 Mei depan.  Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis.  Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.  Dalam pada itu, tempat kedua Tilawah al-Quran dimenangi qari Melaka, Azraie Abd Hak (86.67 peratus) dan qariah Selangor, Nor Ruzana Natiah Jaafar (84 peratus).  Mereka membawa pulang RM10,000 dan tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan Haji; cenderamata dan sijil penyertaan.  Tempat ketiga dimenangi qari dari Perak Dr Anuar Hasin (86.66 peratus) dan qariah Terengganu Norhidayah Abd Rahman (83.66 peratus).  Mereka membawa pulang RM7,500; tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan Haji; cenderamata dan sijil penyertaan.