Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the updraftplus domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/kiasedum/public_html/wp-includes/functions.php on line 6114
BIOGRAFI HASAN AL-BANNA DAN SUMBANGANNYA TERHADAP PEMURNIAN AKIDAH UMAT ISLAM – KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SULTAN ISMAIL PETRA – KIAS

BIOGRAFI HASAN AL-BANNA DAN SUMBANGANNYA TERHADAP PEMURNIAN AKIDAH UMAT ISLAM

TAJUK : BIOGRAFI HASAN AL-BANNA DAN SUMBANGANNYA TERHADAP PEMURNIAN AKIDAH UMAT ISLAM.

Oleh : Muhammad Nasron bin Yaacob

 

ABSTRAK :

Hasan al-Banna adalah seorang tokoh pendakwah, pengasas dan pemimpin gerakan Ikhwan al-Muslimin yang terkenal di Mesir. Aspek akidah pula adalah satu aspek yang sangat penting dan lebih utama berbanding aspek-aspek lain dalam agama Islam. Justeru itu artikel ini membuat kupasan tentang biografi Hasan al-Banna dan sumbangan yang diberikan oleh beliau dalam memurnikan nilai-nilai akidah yang menjadi pegangan umat Islam pada zamannya. Dapatan kajian mendapati Hasan al-Banna telah menggunakan profil dakwahnya, karya-karya dan organisasi Ikhwan al-Muslimin sebagai wadah untuk menyatakan keutamaan manhaj akidah al-Salaf berbanding manhaj lain, seterusnya mengajak umat Islam meletakkan ciri-ciri akidah mereka selari dengan akidah yang diajarkan al-Quran dan al-Sunnah.

 

PENDAHULUAN

 

Hasan al-Banna adalah seorang tokoh dakwah Islam yang tersohor di Mesir khususnya pada pertengahan abad ke-20. Beliau adalah seorang ilmuan Islam yang gigih berusaha meniup semangat kesedaran Islam kepada umat Islam seluruh dunia. Jasa dan sumbangan Hasan al-Banna ini telah menjadi panduan umat Islam seluruh dunia sehinggalah ke hari ini.

 

PENGENALAN TOKOH

 

Hasan al-Banna dilahirkan pada 14 Oktober 1906 (1324H) di al-Mahmudiyyah, iaitu satu daerah yang terletak dalam jajahan al-Buhairah, salah satu jajahan di Mesir[1]. Bapanya Ahmad Abd al-Rahman al-Banna amat mementingkan pendidikan agama terhadap anak-anaknya, kerana itu Hasan al-Banna membesar dengan didikan agama yang sempurna[2]. Latarbelakang bapa Hasan al-Banna iaitu Ahmad Abd al-Rahman al-Banna sendiri menunjukkan yang beliau amat memberikan tumpuan pada pengajian agama, dan beliau sanggup meninggalkan kerja pertanian di kampung asalnya Shamshirah dan berpindah ke al-Mahmudiyyah semata-mata untuk belajar. Jadi, kesungguhan Ahmad Abd al-Rahman al-Banna di dalam bidang pengajian ilmu Islam ini telah diwarisi oleh anak sulungnya Hasan al-Banna[3].

 

Kegigihan Ahmad Abd al-Rahman al-Banna mendalami ilmu agama diterjemahkan melalui pengajiannya terhadap Kutub al-SittahMusnad Imam al-Syafe’iMuwatta’ Imam Malik dan Musnad Imam Ahmad. Beliau kemudiannya telah menghasilkan karya-karyanya sendiri seperti Bada’i al-Musnad fi Jam’i wa Tartib Musnad al-Syafe’i, dan menyusun Musnad al-Imam Ahmad dan menamakannya dengan al-Fath al-Rabbaniy fi Tartib Musnad al-Imam al-Syaybaniy, diikuti syarahnya Bulugh al-Amaniy min Asrar al-Fath al-Rabbaniy[4].

 

Hasan al-Banna mendapat pendidikan formal peringkat rendah di sekolah al-Rashad al-Diniyyah. Beliau menimba ilmu di sekolah tersebut sejak berumur 8 tahun sehinggalah beliau bertukar ke sekolah al-I’dadiyyah semasa berusia 12 tahun. Hasan al-Banna mengakui pengajian yang diterimanya di sekolah tersebut amat meninggalkan kesan, sehinggakan sebahagian besar pengajian subjek-subjek yang pernah dihafaznya, masih diingati walaupun sekolah tersebut telah lama ditinggalkan[5].

 

            Beliau amat mengkagumi gurunya Syeikh Mohammad Zahran yang juga merupakan pengasas sekolah al-Rashad al-Diniyyah. Walaupun gurunya itu buta, namun keupayaan dan kebolehan mendidik murid-murid di bawah tarbiyahnya berjaya meninggalkan kesan mendalam kepada diri Hasan al-Banna[6]. Namun, perdampingan Hasan al-Banna dengan gurunya itu tidak lama. Ini kerana Syeikh Mohammad Zahran tidak dapat lagi memberikan tumpuan terhadap sekolah yang diasaskannya pada tahun 1915 disebabkan urusan yang banyak. Beliau menyerahkan urusan sekolahnya itu kepada orang lain yang menurut Hasan al-Banna, tidak menyamai karisma gurunya Syeikh Mohammad Zahran. Kerana itu Hasan al-Banna memohon kebenaran bapanya untuk berpindah ke sekolah al-I’dadiyyah[7].

 

            Permintaan Hasan al-Banna ini kurang disenangi oleh bapanya kerana di antara tujuan utama Hasan al-Banna diletakkan di sekolah al-Rashad al-Diniyyah ialah menamatkan hafazan al-Quran sehingga sempurna. Ketika itu Hasan al-Banna telah menghafaz al-Quran dari juzuk pertama sehingga ke surah al-Kahf. Walau bagaimanapun permintaan Hasan al-Banna itu direstui juga oleh bapanya selepas dia berjanji untuk menyempurnakan hafalan al-Quran secara individu di rumah[8].

 

Apabila Pihak Berkuasa Buhairah memansuhkan sistem sekolah al-I’dadiyyah dan menggantikannya dengan sistem sekolah al-Ibtida’iyyah, Hasan al-Banna terpaksa memilih sama ada ke al-Ma’ahad al-Diniy di Iskandariah atau ke sekolah al-Mu’allimin al-Awwaliyyah di Damanhur bagi meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Jika ke al-Ma’ahad al-Diniy, Hasan al-Banna akan berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti al-Azhar. Manakala sekolah al-Mu’allimin al-Awwaliyyah pula adalah sebuah sekolah perguruan yang akan mempersiapkan Hasan al-Banna menjadi seorang guru yang berkelayakan dalam tempoh masa tiga tahun sahaja. Akhirnya Hasan al-Banna memilih melanjutkan pengajian ke sekolah al-Mu’allimin al-Awwaliyyah kerana minatnya pada bidang pendidikan dan dakwah[9].

           

Walau bagaimanapun Hasan al-Banna perlu memenuhi dua syarat utama sebelum berpeluang memasuki sekolah tersebut, iaitu pertamanya; perlu menghafaz al-Quran keseluruhannya, dan kedua; umur kelayakan kemasukan ialah 14 tahun. Kedua-dua syarat ini di peringkat awalnya telah menghalang kemasukan Hasan al-Banna ke sekolah tersebut. Ini kerana semenjak Hasan al-Banna keluar dari sekolah al-Rashad al-Diniyyah, al-Quran yang dihafaznya hanya setakat surah Yasin sahaja (juzuk 22), dan umurnya di waktu itu belum mencecah empat belas tahun. Walau bagaimanapun kedua-dua syarat itu telah diberikan kelonggaran oleh nazir sekolah tersebut iaitu ustaz Bashir al-Dusuqiy Musa, dimana Hasan al-Banna dibenarkan melepasi syarat umur walaupun belum lagi mencecah kepada umur tersebut, dan menerima janji beliau menghabiskan hafazan satu perempat al-Quran yang berbaki. Hasan al-Banna juga telah berjaya melepasi ujian shafahiy dan tahririy al-Quran dengan baik. Bermula dari itu maka secara rasminya Hasan al-Banna telah menjadi seorang pelajar di sekolah tersebut[10].

 

Ketika berada di sekolah inilah Hasan al-Banna mula berjinak-jinak dengan tarikat al-Hasafiyyah[11]. Malah Hasan al-Banna menganggap bahawa tempoh masa di sekolah al-Mu’allimin al-Awwaliyyah selama tiga tahun adalah tempoh penghayatan dalam tasawuf dan ibadat. Namun kesibukan mengikuti tarikat al-Hasafiyyah itu tidak menyebabkan beliau mengabaikan pengajiannya di sekolah, malah lebih menaikkan semangat beliau untuk banyak belajar kerana dua faktor utama. Pertamanya kemudahan perpustakaan milik bapanya serta dorongan bapanya yang mahukan Hasan al-Banna sentiasa membaca buku-buku dalam pelbagai disiplin ilmu. Faktor kedua pula kerana barisan guru dan pendidik yang ada di sekolah al-Mu’allimin pada waktu itu memberikan beliau dorongan dan semangat yang tinggi untuk menguasai pengajiannya[12]. Selepas Hasan al-Banna menamatkan pengajian di sekolah al-Mu’allimin al-Awwaliyyah, beliau terus memohon untuk memasuki Dar al-‘Ulum yang merupakan salah sebuah institusi pengajian tinggi di Mesir pada waktu itu.

 

Hasan al-Banna di peringkat awalnya tidak mahu melanjutkan pengajian ke Dar al-‘Ulum. Ini kerana belajar di Dar al-‘Ulum bagi beliau adalah sekadar untuk mendapatkan sijil, sedangkan peluang menambahkan ilmu sebenarnya adalah di luar kampus dan tidak semestinya di dalam kampus. Justeru itu Hasan al-Banna melihat bahawa sijil adalah fitnah dan haram bagi penuntut ilmu menjadikannya sebagai matlamat akhir pengajian. Hasan al-Banna berpandangan bahawa ilmu adalah untuk dimanfaatkan kepada diri dan masyarakat, tidak untuk mendapat pengiktirafan dan pujian serta gandaan gaji yang lebih mahal berbanding kelulusan pengajian rendah. Pemahaman ini pernah mendorong beliau untuk berazam menerbitkan majalah bulanan dengan nama ‘al-Shams’ sehingga telahpun menyiapkan dua keluaran awal bagi tujuan tersebut. Beliau cuba mengikuti jejak langkah gurunya Mohammad Zahran yang pernah menerbitkan majalah bulanan ‘al-Is’ad’ dan juga majalah ‘al-Manar’ yang diterbitkan oleh Rasyid Redha[13].

 

Walau bagaimanapun seorang gurunya di sekolah al-Mu’allimin al-Awwaliyyah iaitu Syaykh Farahat Salim menasihatinya agar beliau memohon kemasukan ke Dar al-‘Ulum terlebih dahulu, kemudian apabila keputusan permohonan diterima maka barulah Hasan al-Banna boleh membuat keputusan akhir sama ada mahu memasuki kampus tersebut atau menolaknya. Akhirnya Hasan al-Banna menerima cadangan dan nasihat gurunya itu[14].

 

            Setelah tamat pengajian di sekolah al-Mu’allimin al-Awwaliyyah dengan mendapat tempat pertama di Damanhur, dan tempat kelima di seluruh Mesir, Hasan al-Banna menyambung pengajian tingginya ke Dar al-‘Ulum pada tahun 1924. Dalam masa yang sama juga beliau telah menerima tawaran kerja sebagai guru daripada pejabat pendidikan Buhaira. Di antara pilihan menyambung pengajian ke Dar al-‘Ulum atau kerjaya guru, akhirnya Hasan al-Banna memilih Dar al-‘Ulum untuk meneruskan lagi usaha menuntut ilmu[15].

 

Dar al-‘Ulum sebenarnya merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang terkemuka di Mesir pada waktu itu setanding dengan Universiti al-Azhar. Dar al-‘Ulum telah ditubuhkan oleh Ali Mubarak Pasha pada masa pemerintahan al-Khadiwi Ismail (1863-1879) sebagai mengimbangi pengajian di Universiti al-Azhar yang terikat dengan rujukan-rujukan dan syarahan kitab-kitab lama. Penubuhan Dar al-‘Ulum adalah untuk membawa sistem pengajian yang bebas dan tidak terikat dengan hashiyah-hashiyah sebagaimana pengajian di Universiti al-Azhar waktu itu. Penubuhan Dar al-‘Ulum juga bertujuan mengembalikan kegemilangan yang pernah dicapai oleh Dar al-Hikmah di Mesir pada tahun 395 H, di zaman pemerintahan al-Hakim bi Amrillah yang juga berdekatan dengan Universiti al-Azhar yang menjadi pusat pengajian mazhab Syi’ah di waktu itu[16].

 

            Dar al-‘Ulum mempunyai ciri-ciri istimewa yang membuktikan kekuatan dan nilai akademik yang ada padanya berbanding institusi pengajian lain terutama Universiti al-Azhar. Ahmad Shalabiy di dalam kitabnya Mawsu’ah al-Tarikh al-Islamiy menyenaraikan ciri-ciri utama institusi tersebut[17]:

 

  1. Semasa penjajahan Britain, Dar al-‘Ulum dianggap sebagai sebuah institusi pengajian yang boleh memberikan impak negatif kepada kolonial British melalui dasar pengajiannya. Pernyataan ini dikutip dari laporan pegawai British kepada orang atasannya mengenai dasar pendidikan di Mesir di waktu itu.
  2. Ketika Dar al-‘Ulum mengalami konflik akademik dengan universiti al-Azhar dan jabatan-jabatan bahasa Arab di kuliah-kuliah sastera, Muhammad Abduh sebagai seorang tokoh akademik tersohor di waktu itu mengeluarkan pernyataannya tentang keistimewaan Dar al-‘Ulum:

 

تَمُوْتُ اللُّغَةُ الْعَرَبِيَّةُ فِيْ كُلِّ مَكَانٍ وَتَحْيَا فِيْ دَارِ الْعُلُوْمِ

 

Maksudnya: Bahasa Arab mati di semua tempat dan ia hidup di Dar al-‘Ulum

 

  1. Beberapa pihak bertanggungjawab telah berusaha menjenamakan semula Dar al-‘Ulum dengan nama baru yang sesuai dengan pengajiannya seperti nama Kulliyyah al-Dirasat al-Islamiyyah wa al-‘Arabiyyah. Walau bagaimanapun ia masih lagi dikenali dengan nama Dar al-‘Ulum dan pengaruhnya terpahat di empat belas (14) buah kolej pengajian Islam seluruh dunia seperti di Nigeria, India, Malaysia dan lain-lain lagi.
  2. Menurut perangkaan rasmi yang dikeluarkan pada tahun 1911 dalam kitab “al-Ta’lim fi Misr“, Dar al-‘Ulum telah berjaya melahirkan para graduan yang telah menjawati banyak jawatan-jawatan penting dalam kerajaan dan juga menjadi pensyarah di universiti-universiti luar negara.

 

            Pada bulan Jun 1927 semasa berumur 21 tahun, Hasan al-Banna telah lulus dalam peperiksaan akhir dan berjaya menamatkan pengajiannya di Dar al-‘Ulum di peringkat diploma. Pada kebiasaan, para pelajar lepasan Dar al-‘Ulum akan diberi peluang melanjutkan pengajian ke luar negara dengan biasiswa yang disediakan. Tetapi tahun itu Dar al-‘Ulum membuat keputusan untuk tidak menghantar pelajar lepasannya menyambung pengajian ke luar negara atas sebab-sebab tertentu. Justeru itu Hasan al-Banna membuat keputusan memohon jawatan guru bagi memenuhi cita-citanya sejak dulu iaitu berdakwah dan mengajak masyarakat kepada pengamalan ajaran Islam sebenar[18].

 

REALITI AKIDAH ISLAM DI MESIR PADA ZAMAN HASAN AL-BANNA

 

Sebagai sebuah negara umat Islam yang tidak terkecuali dari serangan pengaruh imperialisme, Mesir juga dihujani dengan ancaman pemikiran daripada penjajah Barat yang cuba mencacatkan pegangan rakyat Mesir terhadap akidah Islam. Ancaman ini disambut dengan penuh kesedaran oleh alim ulama Mesir di waktu itu, dan mereka mempertahankan akidah Islam dengan cara mereka sendiri berdasarkan pendekatan masing-masing.

 

            Faktor utama yang menggugat pegangan masyarakat Mesir terhadap akidah Islam ialah pengaruh yang berjaya ditiup oleh dasar imparialisme barat. Apabila penjajah Inggeris mula bertapak di Mesir, maka tentunya akan ada pengaruh yang ditiup sama ada ia disedari oleh umat Islam Mesir ataupun tidak. Justeru itu kesan dari ancaman ini terbukti telah berlaku kepada sosiobudaya masyarakat Mesir yang kemudiannya menyebabkan mereka sedikit demi sedikit meninggalkan ajaran agama Islam yang sebenar. Kesan-kesan dasar imperialisme tersebut jelas disaksikan pada perkara berikut:

 

  1. Pengaruh Zionis

 

Zionis berjaya menyuntik ideologi darwinisme dan mempengaruhi segelintir rakyat Mesir, hingga ia mula mendapat tempat di beberapa halaman akhbar tempatan yang juga hakikatnya akhbar-akhbar tersebut sebenarnya hasil tangan zionis sendiri[19]. Ruang yang ada pada mereka ini dipergunakan sebaiknya bagi menanam idea logikal di dalam pemikiran umat Islam dan menolak sikap percaya secara mutlak terhadap ajaran agama.

 

Zionisme juga berjaya mempengaruhi umat Islam Mesir dan menerapkan mereka dengan hiburan tanpa batas hinggakan budaya hedonisme ini berjaya diiklankan secara terang-terangan di media massa tanpa sebarang sekatan atau tindakan[20]. Apabila budaya ini sudah diiklankan secara terang-terangan, ini menandakan budaya hedonisme sudah menjadi sebahagian daripada sosiobudaya yang utama bagi masyarakat Mesir. Malah di antara senjata utama zionis untuk melemahkan umat Islam adalah melalui penyaluran budaya hedonisme tanpa batasan sehingga umat Islam akhirnya jauh dari ajaran Islam yang sebenar.

 

  1. Ideologi Moden

 

Mesir juga di waktu itu diancam oleh penyebaran ideologi-ideologi moden yang dibawa oleh imperialisme-zionisme seperti sekularisme, liberalisme, sosialisme dan feminisme[21]. Tindakan segelintir wanita Mesir yang berpengaruh dalam beberapa perarakan besar yang menuntut kemerdekaan Mesir dengan mencabut tudung-tudung kepala mereka menimbulkan tanda tanya tujuan sebenar mereka melakukan tindakan seumpama itu. Sedangkan konsep pemakaian tudung itu sendiri tidak pernah dilihat bercanggah dengan tuntutan memerdekakan Mesir daripada cengkaman penjajah. Boleh jadi kemerdekaan yang diinginkan oleh mereka bukan hanya merdeka daripada penjajah, tetapi juga daripada ajaran agama Islam, yang sebenarnya tindakan sebegitu adalah hasil didikan feminisme. Sekularisme sendiri berjaya menjadikan pengamalan agama sebagai urusan peribadi yang tiada kaitan dengan masyarakat[22].

 

  1. Institusi Barat

 

Imperialisme Inggeris sebenarnya tidak bersendirian dalam usaha-usaha di atas. Mereka juga dibantu oleh anak jati Mesir sendiri melalui graduan-graduan Mesir lepasan pendidikan Barat dan juga sekolah-sekolah Inggeris yang ditubuhkan di Mesir di waktu itu, yang sedikit-sebanyak berjaya meninggalkan pengaruh mereka terhadap corak pemikiran rakyat Mesir[23]. Anak-anak bangsa Mesir yang berperanan menggerakkan usaha penyebaran sosiobudaya dan pemikiran barat ini ialah Salamah Musa, ’Ali ’Abd al-Raziq, Taha Hussein, Muhammad Hussein Haykal, Ahmad Lutfi, Mahmud ’Azmiy dan lain-lain lagi[24].

 

Walau bagaimanapun kesemua ancaman di atas tidak didiamkan oleh alim ulama Mesir begitu sahaja. Masih ada tindakan-tindakan agresif yang diambil bagi menangani anasir bahaya tersebut. Ada di kalangan mereka yang menggunakan pendekatan pemikiran barat untuk menghadapi serangan pemikiran Barat seperti yang dilakukan oleh Tantawi Jawhariy, Ridwan Shafi’iy al-Muta’afiy dan Muhammad Farid Wajdiy. Ada juga yang menggunakan pendekatan Islam bagi menolak serangan pemikiran Barat itu. Mereka yang mempelopori gerakan ini ialah Mustafa Sabriy, Muhammad al-Khudar Husayn, Dr. Muhammad Ahmad al-Ghumrawiy dan lain-lain lagi[25]. Demikian juga tindakan yang diambil oleh alim ulama yang lebih terdahulu seperti Muhammad Abduh, Rashid Reda, Muhib al-Din al-Khatib yang mengishtiharkan perang terhadap anasir-anasir negatif ini melalui karya-karya mereka[26]. Hasan al-Banna sendiri merasai bertanggungjawab dengan fenomena ini dan berusaha memperbaiki cara hidup rakyat Mesir khususnya melalui penubuhan gerakan Ikhwan al-Muslimin.

 

SUMBANGAN AKIDAH HASAN AL-BANNA

 

Sebagai seorang pendakwah, Hasan al-Banna sentiasa mencari jalan terbaik untuk menyampaikan dakwah Islam kepada semua lapisan masyarakat, dan memastikan kemurnian akidah Islam sentiasa terpelihara dari pengaruh asing. Justeru, sumbangan beliau itu dapat dilihat mengikut pembahagian berikut:

 

  1. SUMBANGAN KERJAYA

 

Hasan al-Banna memiliki dua kerjaya, pertamanya kerjaya guru yang terikat dengan sistem gaji dan akta perguruan, dan keduanya kerjaya sebagai seorang pendakwah. Kerjaya kedua ini lebih umum dan ia dilihat lebih memberikan kesan kepada masyarakat yang menjadi sasaran dakwahnya.

 

            Apabila Hasan al-Banna ditugaskan sebagai guru di sebuah sekolah di Isma‘iliyyah, beliau segera mencari-cari tugasan yang perlu dilaksanakan olehnya sebagai seorang pendakwah. Di peringkat awal ini beliau menumpukan dakwahnya kepada masyarakat Isma‘iliyyah yang menghuni kelab-kelab malam, kafteria dan tempat tumpuan awam, bukannya di masjid atau surau yang dihadiri oleh orang yang sudah tahu tentang tuntutan agama. Di dalam skop dakwah yang seumpama ini, Hasan al-Banna cuba mengambil peluang menyampaikan isi-isi utama dakwahnya dengan sebaik mungkin di dalam masa yang terbatas. Akhirnya pendekatan ini mendapat sambutan ramai daripada segenap lapisan masyarakat.

 

            Di antara agenda utama dakwah Hasan al-Banna ialah memfokuskan pembinaan akidah Islam yang sebenar. Perkara pertama yang ditekankan oleh beliau ialah mengenai sumber rujukan akidah, iaitu dengan merujuk kepada al-Quran, al-Sunnah, manhaj orang-orang salih dan manhaj orang-orang mukmin yang terbukti keyakinan mereka dengan akidah Islam. Perkara kedua pula ialah tidak menggunakan pendekatan falsafah dan kiasan mantik dalam pengajaran akidah. Bahkan beliau hanya menggunakan pendekatan penghayatan terhadap keagungan Allah Ta’ala melalui ciptaan kejadianNya, merasai keagungan sifat-sifatNya melalui pengamatan terhadap kejadian makhlukNya, dan memperingatkan tentang akhirat melalui pendekatan al-Quran. Hasan al-Banna percaya bahawa untuk memperbaiki akidah dan kepercayaan yang rosak mestilah didahulukan dengan pembinaan akidah yang sahih[27]. Kaedah pembinaan akidah Islam ini telah dijelaskan oleh beliau dengan lebih lanjut melalui risalah akidah terakhirnya iaitu “Allah fi al-‘Aqidah al-Islamiyyah”.

 

  1. SUMBANGAN KARYA

 

Hasan al-Banna banyak menulis karya-karya khususnya berbentuk risalah bagi memberikan sumbangannya dalam penyebaran dakwah Islam. Risalah-risalah tersebut telah dimuatkan di dalam akhbar dan majalah terbitan Ikhwan al-Muslimin sendiri dan juga terbitan syarikat persendirian. Di antaranya ialah akhbar Jaridah al-Ikhwan al-Muslimin al-Usbu’iyyah, Majalah al-Nazir, Majalah al-Manar, Majalah al-Ta’aruf, Majalah al-Ikhwan al-Muslimin al-Nisf ShahriyyahJaridah al-Ikhwan al-Muslimin al-Yawmiyyah, Majalah al-Shihab dan Majalah al-Fath.

 

            Karya-karya Hasan al-Banna yang membincangkan secara spesifik tentang akidah Islam ialah Risalah al-‘Aqa’id‘Aqidatuna dan Allah fi al-‘Aqidah al-Islamiyyah. Selain itu Hasan al-Banna juga menyebutkan tentang kepentingan kemurnian akidah Islam ini di dalam risalah-risalah lain seperti Risalah al-Ta‘lim dan Risalah al-Mu‘tamar al-Khamis, tetapi tidak secara spesifik sepertimana di dalam risalah-risalah akidah tadi.

 

  1. Risalah al-‘Aqa’id

 

Risalah al-‘Aqa’id merupakan risalah akidah pertama Hasan al-Banna yang diterbitkan pada 28 Safar 1352 bersamaan 22 Jun 1933[28] ketika beliau berumur 27 tahun. Risalah ini mengandungi perbincangan tentang dhat Allah, asma’ al-husna dan sifat-sifatNya, dan topik-topik tersebut menjadi kandungan bahagian al-Ilahiyyat dalam ilmu akidah Islam. Walaupun di awal risalah ini ada disebut tentang pembahagian akidah Islam kepada al-Ilahiyyatal-Nubuwwatal-Ruhaniyyat dan al-Sam‘iyyat, namun hanya kategori al-Ilahiyyat sahaja yang dihuraikan di dalam risalah ini dengan skop seperti yang disebutkan tadi. Hasan al-Banna membicarakan secara ringkas tentang dhat Allah, diikuti topik mengenai nama-nama Allah yang dibincangkan dengan agak panjang lebar. Dan perbincangan beliau adalah lebih panjang di dalam topik sifat-sifat Allah kerana topik tersebut sememangnya menjadi isu hangat di antara umat Islam daripada pelbagai manhaj dan aliran akidah umat Islam[29].

 

Berdasarkan penelitian terhadap risalah ini, dapatlah dicerapi sumbangan Hasan al-Banna terhadap kepentingan akidah Islam, sebagaimana berikut:

 

  1. Konsep akidah yang dibentangkan oleh Hasan al-Banna adalah selari dengan konsep akidah Islam menurut majoriti ulama Islam Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah sepanjang zaman. Konsep inilah yang menjadi panduan bagi hampir setengah juta pengikut jemaah Ikhwan al-Muslimin yang dipimpin oleh Hasan al-Banna sendiri pada waktu itu.

 

  1. Risalah al-‘Aqa’id membawakan konsep keterbukaan manhaj dalam berakidah, iaitu yang melibatkan manhaj al-Salaf dan al-Khalaf sahaja, tidak termasuk aliran-aliran akidah yang bukan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah seperti Syi’ah dan seumpamanya. Isu utama yang membangkitkan kontroversi di antara al-Salaf dan al-Khalaf ialah mengenai ayat al-sifat wa ahadithuha (ayat dan hadith mengenai sifat mutashabihat). Dalam hal ini, Hasan al-Banna telah memilih manhaj al-Salaf sebagai manhaj akidahnya, tetapi masih terbuka dengan manhaj al-Khalaf, dalam erti kata tidak menyalah atau menghukum metode al-Khalaf itu dengan hukuman fasik dan kufur. Manhaj al-Salaf menurut Hasan al-Banna ialah mengisbatkan makna zahir bagi sifat yad‘ayna‘yunistiwadahikta‘ajjub dan seumpamanya, dengan hakikat makna yang tidak dapat ditanggapi oleh akal. Manakala manhaj al-Khalaf pula melihat sifat mutashabihat itu mengandungi makna majaz yang tiada halangan untuk ditakwilkan. Contohnya sifat “al-wajh” ditakwil dengan makna zat, “al-yad” dengan makna kuasa kerana bertujuan lari dari penyerupaan dengan makhluk.

 

  • Konsep keterbukaan ini telah menghasilkan impak yang besar dalam skop perhubungan awam, dimana matlamat kesatuan ummah sebagai agenda utama gerakan dakwah Ikhwan al-Muslimin amat memerlukan konsep yang seumpama ini bagi tujuan penyatuan tersebut. Hasan al-Banna berjaya mencapai matlamat penyatuan ini dengan mengurangkan jarak perselisihan pendapat yang ada kepada had yang paling minima. Metode ini juga telah menjadi panduan dakwah bagi kebanyakan gerakan Islam lain di seluruh dunia.

 

  1. Risalah Aqidatuna

 

Risalah akidah kedua Hasan al-Banna ialah risalah ringkas bertajuk; ‘Aqidatuna, telah diterbitkan dalam akhbar Jaridah al-Ikhwan al-Muslimin al-Usbu‘iyyah, bilangan 2 bertarikh 26 Muharram 1353H bersamaan 11 Mei 1934[30] ketika usia beliau 28 tahun. Risalah ‘Aqidatuna ini menyenaraikan tujuh prinsip berikut:

 

  1. Saya percaya bahawa semua urusan milik Allah Ta’ala, Nabi Muhammad SAW adalah rasul terakhir untuk semua manusia, yakin dengan hari pembalasan, dan al-Quran adalah kitab Allah, dan Islam adalah perundangan menyeluruh bagi peraturan di dunia dan akhirat.

Saya berjanji menjadi golongan al-Quran, berpegang dengan al-Sunnah, dan mempelajari sirah nabawiyyah dan sejarah para Sahabah RA.

  1. Saya percaya bahawa istiqamah (konsistensi), kemuliaan dan ilmu adalah daripada prinsip-prinsip Islam.

Saya berjanji menjadi orang yang telus, melaksanakan ibadat dan menjauhi kemungkaran dengan penambahan pada berakhlak baik dan mengikis akhlak buruk, mengamalkan adat Islam sehingga termampu, mengutamakan kasih sayang dalam menentukan sesuatu keputusan, tidak merujuk kepada badan kehakiman kecuali terpaksa, bermegah dengan syiar-syiar Islam dan bahasanya, berkerja untuk mencetuskan ilmu-ilmu dan maklumat yang bermanfaat dalam lapisan masyarakat.

  • Saya percaya bahawa setiap muslim dituntut berkerja dan berusaha, dan dalam hartanya yang diusahakan ada hak wajib untuk orang yang meminta-minta dan yang enggan meminta-minta.

Saya berjanji untuk berkerja untuk usaha hidup dan mengambil kira keperluan masa depan, menunaikan zakat harta dan memperuntukkan sejumlah hasil pendapatan untuk kebajikan dan kebaikan, menyokong semua sistem ekonomi Islam yang bermanfaat, mengutamakan keluaran-keluaran negara, agama dan tanah air, tidak berurusan dengan riba dalam semua urusan, dan tidak melampaui batas dalam aspek tambahan kesempurnaan hidup yang melebihi kemampuan saya.

  1. Saya percaya bahawa setiap muslim dipersoalkan tentang keluarganya, dan menjadi kewajipannya menjaga kesejahteraan, kepercayaan dan akhlaknya.

Saya berjanji berusaha bersungguh-sungguh untuk itu, dan membangkitkan ajaran-ajaran Islam ke dalam diri setiap individu keluarga saya, tidak menghantar anak-anak ke sekolah yang tidak terjaga kepercayaan dan akhlak mereka, memutuskan pertalian dengan semua majalah, media massa, buku-buku, realiti persekitaran, fahaman-fahaman dan kelab-kelab persatuan yang bercanggahan dengan ajaran Islam.

  1. Saya percaya bahawa menjadi kewajipan setiap muslim menghidupkan kemuliaan Islam dengan menggerakkan kesedaran masyarakatnya dan mengembalikan syariat perundangannya, dan percaya bahawa panji Islam mesti memimpin masyarakat, dan bahawa menjadi tugas setiap muslim mendidik alam dengan kaedah Islam.

Saya berjanji untuk bersungguh-sungguh pada jalan menunaikan tanggungjawab risalah ini selama mana saya hidup, dan saya berkorban pada jalannya dengan segala yang saya miliki.

  1. Saya percaya bahawa semua orang Islam adalah satu umat yang terikat dengan akidah Islam. Dan sesungguhnya Islam memerintahkan para penganutnya berbuat baik terhadap semua manusia.

Saya berjanji untuk mengerah kesungguhan bagi mengeratkan hubungan persaudaraan di antara semua orang Islam, dan membuang yang sia-sia dan perselisihan di antara golongan-golongan dan aliran-aliran mereka.

  • Saya percaya bahawa rahsia kemunduran umat Islam ialah jauhnya mereka daripada ajaran agama mereka, dan bahawa asas pembaikian ialah kembali semula kepada ajaran dan hukum hakam Islam. Yang demikian itu (kemajuan) tidak mustahil jika umat Islam kembali mengamalkannya, dan sesungguhnya pemahaman Ikhwan al-Muslimin ialah merealisasikan matlamat ini.

Saya berjanji untuk konsisten di atas prinsip-prinsip ini dan ikhlas dalam setiap kerja untuknya, dan saya menjadi askar memberi khidmat kepadanya, atau saya mati di atas jalannya.

 

Fungsi risalah ini adalah cuba membentuk akidah yang lengkap dan tepat dengan akidah Islam yang mesti dianuti dan dipercayai oleh para penyokong gerakan Ikhwan al-Muslimin khususnya. Akidah ini bertunjangkan dua asas, pertama ialah kepercayaan, dan kedua ialah praktikal bagi kepercayaan itu. Justeru Hasan al-Banna telah mempergunakan pengaruhnya sebagai seorang pemimpin bagi gerakan Ikhwan al-Muslimin yang ahlinya sangat ramai, juga sebagai seorang pendakwah agama Islam, untuk mengajak umat Islam segenap lapisan untuk menganuti prinsip-prinsip akidah dan akhlak Islam sebagaimana yang dinyatakannya melalui risalah Aqidatuna ini. Demikianlah sumbangan Hasan al-Banna terhadap kerja-kerja memperkuatkan umat Islam dengan akidah Islam.

 

  1. Risalah Allah fi al-‘Aqidah al-Islamiyyah

 

Karya “Allah fi al-‘Aqidah al-Islamiyyah” merupakan risalah akidah Hasan al-Banna yang ketiga, dan telah dimuatkan di dalam majalah al-Shihab sebanyak tiga keluaran iaitu Disember 1947, Januari dan Februari 1948 ketika usianya 42 tahun. Karya ini merupakan karya akidah terakhir yang ditulisnya sebelum syahid pada 12 Februari 1949. Pada keluaran pertama, kandungan risalah ini menyenaraikan enam prinsip penting kepercayaan kepada Allah yang mesti ada di dalam akidah setiap muslim, iaitu[31]:

  1. Percaya dengan kewujudan Allah dan menyifatkanNya dengan sifat-sifat kesempurnaan hasil pemerhatian terhadap alam kejadian.
  2. Menafikan sifat-sifat keserupaan dan kekurangan daripada Allah Ta’ala.
  • Tidak memperincikan hakikat zat dan sifat-sifat Allah Ta’ala, di samping pengakuan bersalahan zat dan sifat-sifatNya daripada zat dan sifat-sifat makhlukNya.
  1. Menggunakan pemerhatian dan pemikiran akal yang betul terhadap alam kejadian bagi tujuan mengetahui tentang sifat-sifat Allah dan kesempurnaan uluhiyyahNya, ciri-ciriNya dan bukti-buktiNya.
  2. Memperkuatkan hubungan kerohanian di antara insan dengan Tuhannya.
  3. Menuntut orang-orang mukmin agar menzahirkan ciri-ciri manhaj akidah ini melalui perkataan dan perbuatan mereka.

 

Keluaran kedua pula adalah ulasan berkenaan akidah atheis (tidak mempercayai Tuhan) dan anggapan bahawa agama adalah candu masyarakat. Pemahaman tersebut ditolak oleh Hasan al-Banna melalui dalil fitrah, dalil badahah (dalil langsung), dan kenyataan beberapa saintis Barat berkenaan hal ini. Hasan al-Banna berbicara mengenai kelemahan akal bagi membuktikan kesalahan tanggapan golongan atheis, dan berbicara mengenai keperluan akidah manusia kepada akidah Islam bagi menolak dakwaan agama sebagai candu masyarakat[32].

 

Keluaran ketiga adalah berkaitan perbincangan konsep kekufuran dan kesyirikan yang menjadi teras akidah dan kepercayaan umat-umat dahulu kala termasuk kepercayaan Arab jahiliyah yang engkar dan syirik kepada Allah. Melalui risalah ini Hasan al-Banna membongkarkan kesalahan yang ada dalam akidah-akidah tersebut dan sanggahan al-Quran terhadap kesemua akidah salah itu[33].

 

  1. Risalah al-Ta’alim

 

Al-Usul al-‘Ishrun (Prinsip Dua Puluh) pula adalah himpunan prinsip bagi rukun al-Fahm, yang merupakan rukun pertama dari sepuluh rukun bay‘ah (ikrar setia) dakwah Hasan al-Banna. Kesemua rukun ini terkandung di dalam risalah al-Ta’alimAl-Usul al-‘Ishrun ini menekankan tentang isi-isi pemahaman yang perlu berlubuk di dalam pemikiran para pendokong gerakan islah Ikhwan al-Muslimin, agar matlamat perjuangan mereka dapat sampai ke titik yang sepadu. Namun tidak semua prinsip ini membicarakan tentang akidah, kerana hanya dua prinsip sahaja yang menyentuh secara jelas tentang aspek akidah. Prinsip kesepuluh menegaskan tentang pentingnya bermanhajkan akidah al-Salaf al-Salih, dan prinsip ketujuh belas mengenai keutamaan akidah sebagai asas amalan[34]. Jadi, melalui risalah ini Hasan al-Banna menekankan tentang keutamaan berpegang dengan manhaj akidah al-Salaf al-Salih berbanding dengan manhaj al-Khalaf. Beliau memberikan perhatian terhadap aspek akidah yang menjadi asas bagi amalan dan tindak tanduk setiap muslim.

 

  1. SUMBANGAN ORGANISASI

 

Melalui organisasi yang ditubuhkannya, Hasan al-Banna berpeluang mencorak manhaj akidah yang perlu menjadi panduan bagi para pengikut gerakan Ikhwan al-Muslimin. Benar pepatah yang mengatakan: “النَاسُ عَلَى دِيْنِ مُلُوْكِهِمْ”; iaitu manusia biasanya mengikut cara hidup para pemimpin mereka. Dengan slogan kembali kepada kesedaran Islam, maka Hasan al-Banna menyeru umat Islam khususnya para penyokong Ikhwan al-Muslimin agar mengembalikan manhaj akidah yang mereka anuti sepertimana yang menjadi anutan generasi al-Salaf al-Salih terdahulu. Walaupun tidak semua penyokongnya memberi perhatian tentang tuntutan ini, namun pendirian Hasan al-Banna dalam isu akidah al-Salaf ini adalah sangat jelas. Prinsip ukhuwwah (persaudaraan) yang menjadi urat nadi bagi Ikhwan al-Muslimin sendiri telah didasarkan kepada ikatan akidah[35]. Justeru Hasan al-Banna telah memberikan sumbangan akidahnya melalui gerakan organisasinya Ikhwan al-Muslimin dalam dua situasi:

 

  1. Mengekalkan akidah umat Islam sekurang-kurangnya di atas manhaj akidah yang berasaskan ajaran akidah Islam iaitu al-Salaf dan al-Khalaf.
  2. Mengajak umat Islam memilih manhaj akidah yang terbaik dan utama iaitu akidah al-Salaf. Walau bagaimanapun Hasan al-Banna bersikap terbuka dengan manhaj al-Khalaf.
  • Memastikan anggota jemaah Ikhwan al-Muslimin dan umat Islam di persekitaran dakwahnya tetap konsisten dengan akidah Islam dan menjauhi pengaruh kristianisasi, faham liberal, faham Darwin dan seumpamanya yang mengancam akidah dan pemikiran umat Islam di waktu itu.

 

RUMUSAN

 

Akidah adalah asas dan prinsip bagi tindak tanduk seseorang muslim dalam kehidupannya. Sebagai seorang pendakwah dan pemimpin gerakan Ikhwan al-Muslimin, Hasan al-Banna sangat memberikan perhatian terhadapp aspek akidah ini. Ini kerana insan yang hidup di atas muka bumi Allah sebenarnya dicorakkan oleh akidah yang mendasari hati dan pemikirannya. Kerana itu Hasan al-Banna menggunakan segala mekanisme yang ada untuk melahirkan insan mukmin yang betul akidahnya.

 

            Hasan al-Banna menggunakan tiga kaedah utama dalam usahanya memantapkan akidah umat Islam khususnya di Mesir. Pertamanya melalui kerjaya sebagai pendakwah, kedua melalui karya dan tulisannya, dan ketiga melalui pemahaman yang ditanam dalam hati dan pemikiran para penyokong gerakan Ikhwan al-Muslimin. Disebabkan Hasan al-Banna merupakan tokoh pendakwah dan pemimpin yang disegani, manhaj akidahnya telah menjadi panduan dan pilihan sebahagian umat Islam di Mesir dan luar Mesir, sama ada pada masanya dahulu mahupun dalam kalangan umat Islam pada hari ini. Justeru itulah Hasan al-Banna dapat memberikan sumbangannya dalam memurnikan akidah umat Islam, dengan mengutamakan manhaj al-Salaf yang diiktiraf sebagai manhaj yang sejahtera dan selari dengan ajaran asal akidah Islam.

 

[1] Anwar al-Jundiy (2000), Hasan al-Banna; al-Da’iyah al-Imam wa al-Mujaddid al-Shahid, Dimashq: Dar al-Qalam, h. 469. Tahun kelahiran Hasan al-Banna adalah berkebetulan dengan tahun kematian seorang tokoh pejuang agama dan akademik tersohor Mesir iaitu Syaykh Muhammad Abduh.

[2] Zainab Abu Ghanimah (t.t), Hasan al-Banna Min al-Milad li al-Istisyhad: Asrar Yarwiha Syaqiquhu Jamal al-Banna, T.T.P: al-Fath li al-I’lam al-‘Arabiy, h. 14.

[3] Ibid., h. 15.

[4] Anwar al-Jundiy (2000), op. cit., h. 9.

[5] Hasan al-Banna (1983), Muzakkirat al-Da’wah wa al-Da’iyah, c. 5, Bayrut: al-Maktab al-Islamiy, h. 10.

[6] Zainab Abu Ghanimah (t.t), op. cit., h. 14.

[7] Sekolah al-I’dadiyyah di waktu itu hampir sama dengan sekolah al-Ibtida’iyyah dengan pemansuhan subjek bahasa asing dan penambahan beberapa subjek al-Qawanin al-‘Aqariyyah wa al-Maliyyah (Akta Hartanah dan Kewangan), serta aspek pertanian di samping perluasan dalam pengajian ilmu-ilmu bahasa Arab dan agama Islam. Sila lihat: Hasan al-Banna (1983), op. cit., h. 11.

[8] Ibid.

[9] Ibid., h. 15.

[10] Shafahiy di atas bermaksud ujian lisan, dan tahririy pula ialah ujian penulisan. Lihat: Ibid..

[11] Ibid.

[12] Ibid., h. 30-31.

[13] Majalah al-Manar merupakan terbitan Mohammad Rashid Reda yang memiliki pengaruh yang meluas di Mesir di waktu itu. Lihat: Ibid., h. 32.

[14] Ibid., h. 33.

[15] Ibid., h. 39.

[16] Ahmad Shalabiy (1999), Mawsu’ah al-Tarikh al-Islamiy, c. 9, j. 5, Qaherah: Maktabah al-Nahdah al-Misriyyah, h. 423-424.

[17] Ahmad Shalabiy (1999), Mawsu’ah al-Tarikh al-Islamiy, c. 9, j. 5, Qaherah: Maktabah al-Nahdah al-Misriyyah, h. 426-428.

[18] Hasan al-Banna (1983), op.cit., h. 58.

[19] Anwar al-Jundiy (2000), op. cit., h. 476.

[20] Jum’ah Amin ‘Abd al-‘Aziz (2003), Zuruf al-Nash’ah wa Shakhsiyyah al-Imam al-Mu’assis: Awraq min Tarikh al-Ikhwan al-Muslimin, al-Qaherah: Dar al-Tawzi’ wa al-Nashr al-Islamiyyah, h. 71-84.

[21] Hasan al-Banna (1983), op. cit., h. 49. Lihat juga: Jum’ah Amin ‘Abd al-‘Aziz (2003), op. cit., h. 118-126.

[22] Ibid., h. 118-126.

[23] Ibid., h. 118.

[24] Ibid., h. 118-126.

[25] Ibid., h. 108-109.

[26] Ibid., h. 112.

[27] Hasan al-Banna (1983), op. cit., h. 64.

[28] Jumu‘ah Amin ‘Abd al-‘Aziz (2004), Silsilah min Turath al-Imam al-Banna: al-Kitab al-Awwal al-‘Aqidah wa al-Hadith, al-Iskandariyyah: Dar al-Da‘wah, h. 45.

[29] Ibid., h. 45-86.

[30] Ibid., h. 121-122.

[31] Hasan al-Banna (2000), Allah fi al-‘Aqidah al-Islamiyyah, susunan: Fath Allah Khalif, T.T.P: T.P, h. 9-13.

[32] Ibid., h. 15-26.

[33] Ibid., h. 27-39.

[34] Hasan al-Banna (1992), Risalah al-Ta’alim, dalam: Majmu’ah Rasa’il al-Imam al-Shahid Hasan al-Banna, T.T.P: Dar al-Shihab, h. 356-359.

[35] Ibid., h. 364.