
Dewan Johor KIAS | Telah berlangsung Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024 dan Majlis Persaraan Staf KIAS pada hari Selasa, 23 Syawal 1446H bersamaan 22 April 2025. Majlis bermula dengan ucapan aluan oleh YABrs. Prof. Dr. Mazlan bin Ibrahim, Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).
Majlis APC dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada warga kerja KIAS dan menjadi simbolik ucapan terima kasih atas segala sumbangan dan khidmat bakti warga kerja KIAS yang melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan cemerlang pada tahun 2024.
Tahniah diucapkan kepada 8 orang penerima APC 2024 dalam kalangan staf akademik dan 8 orang staf pengurusan. Penerima-penerima APC dianugerahkan Sijil APC beserta Wafer Gold. Juga turut dianugerahkan Sijil Pekerja Terbaik kepada dua orang Pekerja Am dan dua orang Pengawal Keselamatan.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian cenderahati persaraan kepada 2 orang staf KIAS yang telah lama berkhidmat semenjak tahun 1999 iaitu Puan Norma bt Jusoff dan Puan Norizan binti Ismail. Turut diraikan ialah seorang Penolong Pendaftar yang akan bersara pada Mei nanti.
Semoga penganugerahan ini dapat menyuntik semangat dan menjadi inspirasi kepada semua warga kerja KIAS untuk lebih beriltizam serta memberikan perkhidmatan terbaik dalam tugasan masing-masing bagi mencapai matlamat menjadi sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Rabbani.
Sempena masih berada dalam bulan Syawal, Majlis diakhiri dengan jamuan raya untuk semua warga kerja KIAS dan turut diserikan dengan kehadiran beberapa orang Ahli Lembaga Pengarah KIAS Darulnaim Sdn Bhd dan Lembaga Pengelola KIAS.
“DI SINI LAHIRNYA GENERASI RABBANI”