‘Majlis Sireh Pulang Ke Gagang’ merupakan satu program yang julung kalinya diadakan khusus untuk meraikan para Alumni KIAS telah berlangsung dengan jayanya pada 21 September 2019 bertempat di PCB Resort, Kota Bharu Kelantan anjuran Unit Alumni HEP KIAS. Program ini telah disempurnakan perasmiannya oleh YBrs Dr Mohd Ramizu bin Abdullah, Timbalan Ketua Eksekutif (Hal Ehwal Akademik) KIAS. Program ‘homecoming’ ini telah dihadiri oleh seramai 54 orang Alumni KIAS. Program Sireh Pulang Ke Gagang ini melibatkan kerjasama yang erat antara Unit Alumni KIAS dengan Persatuan Alumni KIAS (Al KIAS).
Timbalan Ketua Eksekutif (HEP), Dr Linamalini bt Mat Nafi dalam ucapan beliau menyatakan harapannya agar para alumni boleh berperanan sebagai duta KIAS dan bertindak sebagai agen promosi KIAS untuk menarik lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian di KIAS dalam pelbagai bidang. Tambahnya lagi, sememangnya peranan alumni adalah penting dalam pembangunan sesebuah institusi pengajian tinggi. Alumni KIAS tidak terkecuali dalam hal ini malah merupakan aset penting yang mempunyai peranan besar kepada kemajuan dan kelestarian KIAS sebagai sebuah institusi pengajian tinggi Islam.
Menurut ucapan Timbalan Ketua Eksekutif HEA KIAS, dalam konteks sumbangan alumni KIAS kepada alma mater atau institusi pengajian tempat mereka belajar dahulu, tidak dapat dinafikan mereka boleh memainkan peranan dalam menyokong dan memberi sumbangan secara sukarela kepada KIAS bagi mengekalkan dan memperkembangkan pembangunan dan kelestariannya. Setiap alumni boleh memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk di atas kapasiti dan berdasarkan kepakaran masing-masing yang dapat memberi manfaat kepada pelajar, graduan, KIAS dan masyarakat. Bak kata pepatah, ‘Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menuntut ilmu’.
Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai objektifnya. Ia akan dijadikan sebagai majlis tradisi KIAS menyambut alumninya yang bertujuan memupuk semangat ‘self of belonging’ dalam kalangan alumni terhadap KIAS, menemukan rakan lama bagi mengeratkan hubungan di antara alumni dan alma mater. Ia juga merupakan landasan untuk alumni kembali menyumbang kepada KIAS dalam pelbagai bentuk.
Disediakan oleh :
AHMAD SHAHRIMAN ISMAIL Penolong Pendaftar Unit Alumni, Bahagian Hal Ehwal Pelajar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Tarikh : 22 Muharram 1441H / 22 September 2019