NABI ISA ATAU JESUS CHRIST MENGIKUT KRISTIAN DAN PENJELASAN AL-QURAN MENGENAINYA
TAJUK : NABI ISA ATAU JESUS CHRIST MENGIKUT KRISTIAN DAN PENJELASAN AL-QURAN MENGENAINYA
Oleh : Zakaria @ Mahmod bin Daud
ABSTRAK :
Pandangan Kristian mengenai Nabi Isa tidak sama dengan pandangan Islam. Orang-orang Kristian memanggil Nabi Isa al-Masih dengan panggilan Jesus Christ dan baginda dianggap Anak Tuhan atau Tuhan Anak (Son of God atau God the Son). Mereka juga percaya dengan akidah ketuhanan trinity iaitu Tuhan tiga dalam satu dan satu dalam tiga, iaitu Tuhan Bapa (Allah), Tuhan Ruh al-Qudus (malaikat Jibril) dan Tuhan Anak (Nabi Isa). Tuhan Anak atau Anak Tuhan ini bagi penganut Kristian mempunyai berbagai-bagai keistimewaan dan keagungan yang tersendiri. Sedangkan Islam menegaskan bahawa Nabi Isa bukan Tuhan Anak tetapi baginda adalah seorang rasul Allah yang diutuskan kepada Bani Israil. Baginda adalah manusia yang mempunyai banyak mukjizatnya. Segala pegangan akidah Kristian terhadap Jesus Christ atau Nabi Isa dijawab panjang lebar oleh Allah di dalam al-QuranNya. Jawapan Allah itu sekali gus menempelak akidah mereka yang menyeleweng dan salah dari ajaran Nabi Isa yang asal.
PENDAHULUAN
Di antara akidah penting penganut Kristian ialah kepercayaan mereka kepada akidah trinity, iaitu Tuhan satu dalam tiga dan tiga dalam satu; Tuhan Bapa iaitu Allah, Tuhan Anak iaitu Isa al-Masih atau Jesus Christ, dan Tuhan Ruh al-Quds iaitu Malaikat Jibril. Penganut Kristian menganggap Isa al-Masih atau Jesus Christ adalah Tuhan Anak/Anak Tuhan yang dilahirkan oleh seorang dara sunti bernama Mary (Maryam). Setelah dewasa baginda dihukum bunuh dengan disalib bagi menebus dosa warisan (dosa Nabi Adam). Sedangkan mengikut akidah Islam, Nabi Isa al-Masih adalah seorang Nabi yang diutuskan oleh Allah kepada Bani Israil dengan membawa ajaran Allah melalui kitab Injil bagi menyempurna dan melengkapkan ajaran Nabi Musa[1]. Artikel ini akan menjelaskan sikap penganut Kristian terhadap Jesus Christ atau Nabi Isa al-Masih. dan penjelasan Allah mengenainya melalui al-Quran al-Karim. Semoga dengan penjelasan nanti pembaca dapat menilai yang mana benar dan yang mana salah.
JESUS CHRIST MENURUT KRISTIAN
Pandangan penganut Kristian terhadap Jesus Christ tidak sama dengan pandangan penganut Islam. Agama Kristian memanggil baginda dengan panggilan Jesus Christ atau Son of God/God the Son, iaitu salah satu Tuhan dalam kepercayaan akidah trinity mereka. Dalam konsep akidah trinity, mereka percaya bahawa Tuhan satu dalam tiga dan tiga dalam satu. Ertinya bagi mereka Tuhan Yang Satu itu ada tiga oknum atau tiga personaliti; iaitu pertamaTuhan Bapa/God of Father/Allah, kedua Tuhan Anak/Son of God/God the Son, iaitu Jesus Christ, dan ketiganya Tuhan Ruh al-Quds atau The Holy Ghost, iaitu Malaikat Jibril.[2] Untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai Jesus Christ menurut Kristian, ada empat aspek penting yang ada hubungan antara satu sama lain yang perlu dijelaskan di sini. Keempat-empat perkara itu ialah: [3]
- Kelahiran Jesus Christ tanpa bapa.
- Ketuhanan Jesus Christ.
- Penyaliban Jesus Christ sebagai penebus dan penyelamat dosa warisan manusia.
- Jesus Christ sebagai penghisab dan pemberi balasan kepada manusia.
Huraian bagi perkara-perkara tersebut adalah sebagaimana berikut:
- Kelahiran Jesus Christ Tanpa Bapa
Mengikut Kristian, kelahiran Jesus Christ tanpa bapa adalah suatu keistimewaan dan satu kurniaan Allah kepadanya. Mereka berpendapat bahawa ibunya Mary (Maryam) yang mengandung dan melahirkan anaknya Jesus Christ merupakan seorang ibu yang istimewa, kerana beliau telah terpilih untuk memikul tanggungjawab yang besar dan unik, tambahan pula Mary telah tersedia untuk Tuhan.
Penganut Kristian percaya bahawa Tuhan Ruh al-Quds atau Holy Ghost telah diutus oleh Allah kepada dara sunti Mary (Maryam) yang telah bertunang dengan Yusuff al-Najjar[4] di sebuah desa bernama Nazareth untuk membawa perkhabaran tentang peniupan roh ke dalam rahimnya dan dengan itu dia akan mengandung dan melahirkan anak lelaki yang diberi nama Jesus Christ. Jesus ini akan dimuliakan dan digelar Tuhan Anak (Son of God). Tuhan Bapa (God of Father) atau Allah juga akan mengurniakan kepada Jesus takhta kerajaan Nabi Daud a.s. dan akan terus kekal. Berita ini mengejutkan Mary (Maryam) kerana dia tidak pernah disentuh oleh mana-mana lelaki pun. Tuhan Ruh al-Quds menerangkan dan menjelaskan kepada Mary tentang kekuasaan Tuhan Bapa (Allah) dan Ruh al-Quds yang akan melindunginya. Oleh itu anak yang bakal dilahirkan nanti, akan disebut Anak Tuhan Yang Maha Tinggi atau (Son of God).[5]
Orang Kristian percaya bahawa Jesus Christ dilahirkan pada tanggal 25 Disember. Kelahiran baginda dikira sebagai awal tahun Masihi. Kelahiran baginda tanpa bapa ini menakjubkan dan istemewa sekali. Dengan keistimewaan inilah Jesus Christ dianggap sebagai Anak Tuhan yang dilahirkan untuk menyelamatkan manusia dan boleh menebus dosa warisan manusia keseluruhannya.
- Ketuhanan Jesus Christ
Oleh kerana kelahiran Jesus Christ tanpa bapa adalah suatu keistemewaan yang luar biasa, dan juga kerana dia sebagai penebus dosa warisan, maka orang-orang Kristian menganggap baginda adalah Anak Tuhan atau Tuhan Anak. Anggapan mereka itu dikuatkan lagi dengan kebolehan Isa menghidupkan orang yang telah mati, boleh megubati orang buta dan menyembuhkan orang-orang yang berpenyakit kusta dan lain-lain lagi, sedangkan Islam melihat semua itu adalah makjizat baginda.[6] Kenyataan Isa sebagai Anak Tuhan ini turut dikuatkan lagi oleh Bible-bible mereka. Umpamanya dalam Bible John ada menyebut, maksudnya:[7] “Aku (Jesus Christ) dan Bapa (Tuhan Bapa/Allah) adalah satu”. Dalam Bible Mathew pula menyebut dengan maksudnya; “Inilah AnakKu yang Ku kasihi, kepadanya Aku berkenan dan bergembira”. Dalam Bible Luke juga menyebut, maksudnya:[8] “ Kamu (Jesus Christ) adalah Tuhan Anak”.
Petikan di atas menjelaskan bahawa penganut Kristian yakin bahawa Jesus Christ adalah Tuhan Anak atau Anak Tuhan (Son of God/God the Son), yang dilahirkan oleh ibunya Mary seorang dara sunti dari keturunan Bani Israil. Baginda dilahirkan tanpa bapa tidak seperti kanak-kanak lain.
- Penyaliban Jesus Christ Sebagai Menebus Dan Penyelamat Dosa Warisan Manusia
Perkara penting ketiga yang ada hubungan dengan Jesus Christ atau Tuhan Anak menurut kepercayaan penganut Kristian, ialah penyaliban Isa dan penebusan dosa warisan iaitu dosa yang dilakukan oleh Nabi Adam. Mereka percaya dosa warisan yang mereka tanggung adalah akibat perbuatan Nabi Adam yang telah melanggar perintah Allah atau Tuhan Bapa yang melarangnya jangan memakan sejenis buah dalam syurga (iaitu buah epal). Nabi Adam bersama isterinya Hawwa’ semasa berada di dalam syurga, telah melanggar perintah Allah dengan memakan buah epal yang dilarangNya kerana terpedaya dengan pujukan syaitan. Dosa tersebut menyebabkan seluruh manusia – pada pandangan Kristian – menerima dosa warisan. Bagi menghapuskan dosa warisan itu, Jesus Christ terpaksa disalib. Bagi mereka, Tuhan Bapa atau Allah adalah Tuhan yang pengasih lagi penyayang, justeru Dia (Tuhan Bapa) telah mengutus anakNya untuk dihukum salib sebagai penyelamat manusia daripada berterusan memikul dan menanggung dosa warisan tersebut. Penganut Kristian juga percaya mereka tidak akan selamat dengan hanya melalui amalan-amalan baik sahaja, bahkan mesti percaya terhadap Jesus yang telah mengorbankan dirinya dan mengalirkan darah tebusan di tiang salib untuk menghapuskan dosa warisan manusia keseluruhannya.[9]
- Jesus Christ Sebagai Penghisab Dan Pemberi Balasan Kepada Manusia
Perkara penting yang keempat menurut kepercayaan penganut Kristian lagi, ialah mereka menganggap Jesus Christ merupakan penghisab dan pemberi balasan kepada manusia. Mereka percaya bahawa selepas Tuhan Anak disalib, dikapan, disembahyang dan dikebumikan di tanah perkuburan, baginda bangkit dari kuburnya pada hari ke tiga dan menemui pengikut-pengikutnya untuk memberi nasihat terakhir, kemudian baginda diangkat ke langit dan duduk berdekatan di sebelah kanan Tuhan Bapa. Kemudian dia akan kembali semula ke bumi untuk menghakimi manusia. Mereka percaya bahawa Tuhan Bapa hanya memberi hak tersebut kepada anakNya Jesus Christ sahaja. Baginda juga merupakan anak manusia iaitu anak Mary seorang hamba Allah sebagaimana yang telah disebutkan di atas.
Kepercayaan orang Kristian seperti di atas ada dijelaskan di dalam kitab Bible. Di antara lain Bible menyebut dengan maksudnya;[10]
“Lagi pun Tuhan Bapa (Allah) tidak memberi hak kepada orang lain selain daripada Tuhan Anak, agar semua manusia akan memuliakan Tuhan Anak sebagaimana mereka memuliakan Tuhan Bapa. Sesiapa yang tidak memuliakan Tuhan Anak, maka dia juga tidak memuliakan Tuhan Bapa yang telah mengutuskannya (Tuhan Anak)”.
Bible juga menyebut bahawa Jesus Christ adalah pemberi balasan kepada setiap perlakuan manusia di dunia ini dengan maksudnya;[11]
“Sesungguhnya Tuhan Anak daripada manusia itu akan datang dengan malaikat-malaikat melalui keajaiban dan kemuliaan Tuhan Bapa dan dia akan mengurniakan balasan baik kepada orang-orang yang berbuat kebajikan”.
Dari petikan di atas jelas bahawa orang Kristian percaya yang Jesus Christ / Tuhan Anak telah ditugaskan oleh Tuhan Bapa sebagai penghisab dan pemberi balasan kepada manusia seluruhnya di akhirat nanti, dan tugas ini tidak akan diberi kepada orang lain. Berdasarkan kepada apa yang dipaparkan di atas mengenai pandangan dan akidah orang-orang Kristian mengenai Jesus Christ, ia amat berbeza sekali dengan pandangan dan akidah Islam.
JESUS CHRIST DIANGKAT KE LANGIT MENURUT KRISTIAN
Satu perkara lagi yang perlu disebutkan ialah pandangan Kristian mengenai Jesus Christ diangkat ke langit. Jesus Christ diangkat ke langit dan peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum dan selepasnya perlu dijelaskan di sini dengan lebih lanjut, sebab ia ada hubungan dengan sifat baginda sebagai Tuhan Anak/Son of God. Orang Kristian percaya bahawa Jesus Christ telah dijatuhkan hukuman mati disalib oleh pemerintah Rom. Sebelum itu baginda ditangkap oleh sekumpulan orang Yahudi lalu dibawa ke Majlis Imam Besar Yahudi dan juga kepada para pembesar mereka yang lain untuk dibicarakan di atas beberapa tuduhan palsu yang diada-adakan oleh mereka. Untuk mensabitkan kesalahan ke atas baginda, mereka sengaja membawa beberapa orang saksi palsu agar Jesus Christ dapat dijatuhkan hukuman bunuh secara disalib.[12] Dalam pembicaraan di depan raja Rom, orang Yahudi membuat pendakwaan bohong mengatakan baginda telah menghasut rakyat supaya jangan membayar cukai kepada pemerintah dan baginda mengaku dirinya sebagai raja. Dengan itu akhirnya baginda dibunuh secara disalib. (Sedangkan yang sebenar baginda tidak disalib).[13]
Bagi orang Kristian, segala peristiwa yang dilalui oleh Jesus Christ di saat akhir hayatnya itu merupakan jalan untuk baginda mengorbankan dirinya untuk menebus dosa warisan manusia hasil dari kesalahan Nabi Adam memakan buah epal yang dilarang oleh Allah seperti yang disebut di atas. Peristiwa itu berkait rapat dengan sifat Tuhan Bapa yang adil dan penyayang. Kerana sifat adilNya, mana-mana orang yang bersalah mesti dihukum, tetapi hendak menghukum Nabi Adam, Allah merasa sayang dan kasihan kepadanya. Oleh itu sebagai mengambil jalan tengah, anakNya sendiri Jesus Christ mesti dihukum sebagai ganti Nabi Adam. Dengan itu Tuhan Anak diutuskan dan dihukum salib untuk menyelamatkan manusia daripada belenggu dosa warisan tersebut. Hanya dengan melalui cara tersebut sahaja, Tuhan Anak dapat menyelamatkan manusia dan menjamin mereka akan kekal abadi di akhirat nanti. Mereka percaya bahawa selepas Tuhan Anak disalib, dikapan, disembahyang dan dikebumikan di tanah perkuburan, baginda bangkit daripada kuburnya pada hari ketiga dan menemui pengikut-pengikutnya serta memberi nasihat terakhir, kemudian diangkat ke langit dan duduk berdekatan di sebelah kanan Tuhan Bapa sebagaimana yang disebut di atas. Demikianlah pandangan Kristian mengenai Jesus Christ yang dianggap sebagai Tuhan Anak yang sangat besar peranan dan tugasnya. Di bawah ini diterangkan pula pandangan Islam terhadap Nabi Isa melalui al-Quran.
NABI ISA MENURUT ISLAM DAN AL-QURAN
Bagaimanakah sebenarnya pandangan agama Islam dan al-Quran terhadap Nabi Isa atau Jesus Christ? Adakah sama seperti pandangan Kristian di atas atau jauh berbeza? Jawapannya, agama Islam dan al-Quran menyebut bahawa Nabi Isa al-Masih adalah seorang rasul Allah yang diutus kepada kaum Bani Israil/Yahudi. Baginda adalah seorang Nabi yang dilahirkan oleh ibunya Maryam tanpa bapa. Baginda mempunyai berbagai-bagai mukjizat yang dikurniakan oleh Allah bagi membuktikan baginda benar-benar Nabi dan rasul Allah. Di antara makjizat itu baginda boleh menghidupkan orang mati dengan izin Allah, boleh menyembuhkan orang buta, boleh menyembuh orang yang berpenyakit kusta, turunnya hidangan dari langit, dapat mengetahui apa makan dan minuman yang dimakan dan diminum oleh kaumnya. Dia mengetahui barang-barang atau benda-benda yang disimpan oleh kaumnya di rumah mereka dan sebagainya.[14] Untuk lebih jelas lagi, di bawah ini disebut pandangan Islam berasaskan jawapan Allah sendiri melalui al-Quran mengenai Nabi Isa.
JAWAPAN DAN PENJELASAN ISLAM DAN AL-QURAN TERHADAP PANDANGAN KRISTIAN MENGENAI NABI ISA
- NABI ISA DIANGKAT KE LANGIT MENURUT ISLAM
Pandangan Islam berbeza sekali dengan pandangan Kristian mengenai cara Nabi Isa al-Masih diangkat ke langit. Ulama Islam sepakat mengatakan Allah Taala telah menyelamatkan Nabi Isa daripada mati disalib. Orang yang disalib sebenarnya ialah salah seorang sahabatnya yang mengkhainatinya yang telah diserupakan wajahnya oleh Allah dengan wajah Nabi Isa Baginda diselamatkan oleh Allah dengan diangkat ke langit. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah sendiri di dalam al-Quran, dengan maksudnya:
“Dan kerana ucapan mereka; (orang-orang Nasara/Kristian): “Sesungguhnya kami telah membunuh al-Masih Isa anak lelaki Maryam, rasul Allah”. Pada hal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih faham tentang (pembunuhan) Isa, benar-benar dalam keraguan tentang yang dibunuhnya itu. (Sebenarnya) mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, kecuali mengikut sangkaan semata-mata, mereka tidak (pula) yakin bahawa yang mereka bunuh itu adalah Isa”.
Al-Nisa’ (4): 157
Berdasarkan kepada ayat di atas, jelas membuktikan bahawa Nabi Isa tidak mati disalib, sebaliknya yang mati disalib itu orang lain yang diserupakan sama seperti Nabi Isa al-Masih iaitu Judas (Yudas) Iscariot Simon (dalam bahasa Arab dipanggil Yahuza Iskhariot). Beliau adalah salah seorang daripada dua belas orang pengikutnya (Hawariyyun) yang melakukan khianat. Beliau telah diserupakan oleh Allah sama seperti rupa baginda Nabi Isa lalu ditangkap oleh orang-orang Yahudi dan disalibnya sebagai balasan di atas perbuatan khianatnya terhadap Nabi Isa. Sebelum itu Yudas telah membuat pakatan jahat bersama orang-orang Yahudi untuk menangkap dan membunuh baginda sehingga akhirnya berlakulah apa yang berlaku ke atas dirinya sendiri.
Al-Quran tidak menyatakan secara jelas siapakah sebanarnya orang yang telah diserupakan sama seperti Nabi Isa itu. Tetapi ramai ulama dan sarjana menyebut orang yang diserupakan dengan baginda ialah Yudas Iscariot. Manakala Nabi Isa diselamatkan daripada disalib, bahkan diangkat ke langit.[15] Cerita ini berbeza sekali dengan apa yang dipercayai oleh penganut Kristian yang mengatakan Nabi Isa (Anak Tuhan) mati disalib sebagai menebus dosa warisan.
Mengenai cara bagaimana Nabi Isa diangkat ke langit, para ulama daripada kalangan golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah telah berselisih pendapat kepada dua pendapat:
- Sebahagian besar mempercayai bahawa Allah Taala menyelamatkan Nabi Isa daripada mati disalib dengan mengangkatnya ke langit di dalam keadaan hidup berserta jasad dan rohnya sekali. Kemudian di akhir zaman nanti – sebagai alamat kiamat besar – baginda akan turun ke bumi dan memerintah selama beberapa tahun, dan baginda akan membunuh Dajjal. Sebelum wafat, baginda dapat bertemu Imam Mahdi, kemudian apabila baginda wafat, Imam Mahdi mengimani sembahyang jenazah baginda.[16]
- Manakala golongan kedua pula berpendapat bahawa Allah telah menyelamatkan baginda dari ditangkap dan disalib oleh Yahudi. Nabi Isa hidup untuk beberapa ketika selepas peristiwa Yahudi mahu menangkapnya, kemudian dimatikan di dunia ini, dan selepas itu rohnya diangkat ke langit.[17]
Jikalau dilihat kepada dalil pendapat kedua ini jelas ia tidak kuat, bahkan pendapat pertama lebih kuat. Pendapat kedua ini bercanggah dengan hadis-hadis sahih yang menerangkan mengenai beberapa alamat kiamat besar. Oleh itu bagi penulis pendapat ini tidak perlu diterima.
Ulama golongan pertama berpendapat sedemikian, antara lain mereka berdalil kepada ayat al-Quran dalam surah al-Nisa (4): 157, yang disebut sebelum ini, yang mana dalam ayat itu, Allah menjelaskan bahawa Nabi Isa tidak dibunuh dan tidak disalib oleh orang Yahudi bahkan telah diserupakan orang lain sama dengannya. Selepas itu dalam ayat seterusnya Allah menjelaskan lagi melalui firmanNya yang bermaksud;
“Yang sebenarnya Dia telah mengangkat Isa kepadaNya (diangkat ke langit). Dan Dia adalah Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.
Al-Nisa’ (4): 158
Selain itu ulama golongan ini mengukuhkan lagi dalil mereka melalui tafsir kalimah “rafa’a ” (رفع) di dalam ayat tersebut membawa maksud; “mengambil sesuatu, menangkapnya dan menyimpannya secara keseluruhan kemudian mengangkatnya (ke langit) secara keseluruhan”.[18] Berdasarkan kepada perbincangan mengenai tafsir ayat al-Quran dan kalimat “rafa’a” seperti yang disebut di atas, jumhur ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah berpendapat bahawa Allah telah mengangkat Nabi Isa keseluruhan jasad dan rohnya ke langit, bukan rohnya sahaja.[19]
Dalam kitab Injil Barnaba yang tidak diiktiraf oleh gereja Kristian ada menyebut peristiwa baginda diangkat ke langit. Injil tersebut menyebut;[20]
“Manakala tentera (Yahudi)bersama Judas (Yudas) Iscariot Simon (Yahuza Iskhariot) berada dekat dengan tempat Yasu’ Isa al-Masih berada.(Apabila) Yasu’ Isa al-Masih mendengar (suara) sekumpulan manusia dekat dengannya, dia terus pulang ke rumahnya dalam keadaan takut (dan bersembunyi). Masa itu sebelas orang sahabatnya (al-Hawariyyun) kesemuanya sedang tidur. Apabila Allah mengetahui bahaya akan menimpa ke atas hambaNya (Isa al-Masih a.s.), (terus) Allah memerintah malaikat Jibril, Mikail, Israfil dan ‘Izrail a.s. supaya datang mengambil Yasu’ Isa dari alam (dunia) ini. Lalu para malaikat tersebut mengambil Isa dan membawanya ke langit ketiga. Kemudian Yahuza/Judas masuk dalam keadaan garang ke dalam bilik (tempat) Isa bersembunyi sedangkan masa itu sebelas sahabat baginda Isa masih lagi tidur, maka (Allah) merubah muka dan suara percakapan Yahuza betul-betul sama seperti Yasu’ Isa sehingga mereka yakin itulah Yasu’ Isa yang sebenar”.
Semua dalil-dalil yang disebut di atas menguatkan pendapat yang mengatakan Nabi Isa al-Masih diangkat ke langit dan baginda masih hidup sampai sekarang kemudian baginda akan turun ke bumi di akhir zaman nanti sebagai salah satu alamat kiamat besar. Adapun keganjilan dan luar biasa cara Nabi Isa hidup di langit termasuk umurnya sangat panjang dan lain-lain lagi keajaiban sehingga akal manusia tidak boleh menerimanya, itu jangan dipersoalkan kerana itu adalah kerja Allah. Allah boleh melakukan apa sahaja yang Dia mahu, Dia Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana.
- NABI ISA ATAU JESUS CHRIST ADALAH NABI DAN MANUSIA
Di dalam al-Quran al-Karim, banyak ayat menjelaskan tentang kedudukan Nabi Isa yang sebenar. Al-Quran menjelaskan bahawa Nabi Isa al-Masih a.s. adalah seorang Nabi diutuskan kepada Bani Israil bagi menyempurna dan melengkapkan ajaran Nabi Musa. Baginda adalah anak lelaki Maryam yang tiada bapa. Diberi kepadanya banyak mukjizat untuk membuktikan yang baginda adalah rasul Allah. Dalam surah Ali ‘Imran, Allah menjelaskan peristiwa yang berlaku pada waktu Maryam ibu Nabi Isa masih dara sunti. Waktu itu malaikat Jibril datang berjumpa dengan Maryam dan memberitahunya dia akan dapat anak lelaki yang akan diberi nama Isa al-Masih. Ayat-ayat itu menyebut dengan maksudnya;
“Malaikat Jibril dengan perintah Allah Taala datang berjumpa dengan Maryam dan menceritakan kepadanya bahawa dia akan memperolehi anak lelaki diberi nama al-Masih Isa binti Maryam, baginda seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat. Baginda juga termasuk di antara orang-orang yang muqarabin (dekat kepada Allah), baginda boleh bercakap dengan orang sewaktu masih dalam buaian dan semasa dewasa baginda termasuk di antara orang-orang yang solleh. (Setelah mendengar maklumat dan penjelasan daripada Malaikat Jibril itu), Maryam bertanya,”Ya Tuhanku, adakah mungkin aku mempunyai anak, padahal aku belum pernah disentuhi (disetubuhi) oleh seseorang lelaki pun”, Allah berfirman (dengan melalui Jibril),”Demikianlah Allah menciptakan apa yang dikehendakiNya. “Apabila Allah berkehendak menetapkan sesuatu, maka Allah hanya cukup berkata kepadanya: Kun (Jadilah)”, lalu jadilah ia. Kemudian setelah Isa dewasa Allah akan mengajar kepadanya al-Kitab, Hikmah, Taurat dan Injil”.
Al ‘Imran (3): 45-48
Selepas itu Allah menyebutkan lagi dengan jelas melalui firmanNya yang bermaksud:
“Isa adalah rasul Allah kepada kaum Bani Israil, baginda berkata kepada mereka: “Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu dengan membawa satu tanda (mukjizat) daripada Tuhan kamu iaitu aku membuat untuk kamu dari tanah berbentuk burung, kemudian aku meniupnya, maka ia menjadi seekor burung dengan izin Allah. (Bukan itu sahaja bahkan diberi kepadaku mukjizat lain iaitu) aku boleh menyembuhkan orang yang buta semenjak dari lahirnya lagi dan boleh menyembuhkan orang yang berpenyakit sopak juga aku boleh menghidupkan orang yang mati dengan izin Allah, dan aku boleh memberitahukan kepada kamu apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu”.
Al ’Imran (3): 49
Dari penjelasan Allah mengenai Nabi Isa yang panjang lebar di atas, jelas bahawa baginda adalah seorang manusia yang dilahirkan oleh ibunya Maryam tanpa bapa. Baginda adalah seorang Nabi yang diutuskan kepada kaum Bani Israil. Dia mempunyai banyak mukjizat yang diberi oleh Allah bagi membuktikan baginda adalah rasul Allah. Baginda bukan Tuhan Anak/Son of God seperti yang dipercayai oleh orang Kristian.
Selain itu, dalam surah Maryam, Allah menjelaskan lagi dengan panjang lebar mengenai cerita ibunya Maryam akan mengandungkan Nabi Isa, antara lain disebutkan dengan maksudnya;
“Ketika dia (Maryam) menjauhkan diri dari kelurganya ke satu tempat di sebelah timur, maka dia mengadakan tabir (bagi melindunginya) daripada mereka; lalu Kami (Allah) mengutuskan roh Kami(yakni Malaikat Jibril) kepadanya, maka dia menjelma di hadapannya (dalam rupa) seorang lelaki yang sempurna. (Lalu) Maryam berkata,” Sesungguhnya aku berlindung daripada kamu kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, jika kamu seorang yang bertakwa”. Malaikat Jibril berkata: “Sesungguhnya aku ini hanya seorang utusan Tuhanmu untuk memberi kepadamu seorang anak lelaki yang suci”. Maryam berkata: “Bagaimana aku akan memperolehi seorang anak lelaki, sedangkan tidak pernah seorang manusia pun menyentuhku dan aku bukan (pula) seorang penzina”. Jibril berkata lagi: “Demikianlah Tuhanmu berfirman: “Hal itu adalah mudah bagiKu , dan agar dapat Kami menjadikannya satu tanda bagi manusia dan sebagai rahmat dari Kami, dan hal itu adalah satu perkara yang sudah diputuskan”.
Maryam (19):16-21
Dalam ayat di atas Allah menjelaskan bagaimana Nabi Isa dicipta dan dijadikan. Yang mana malaikat Jibril datang bertemu Maryam dan menceritakan kepadanya mengenai perintah Allah yang dia akan mengandung anak lelaki tanpa bapa. Perkara seperti itu tidak menjadi masalah bagi Allah Yang Maha Berkuasa, kerana Dia dapat melakukan apa sahaja yang Dia mahu termasuk menciptakan Isa walaupun tanpa bapa. Kemudian setelah Maryam melahirkan anak lelakinya (Nabi Isa), Allah menjelaskan lagi peristiwa yang berlaku kepada kedua-dua beranak itu di samping menjelaskan yang baginda adalah hamba Allah (rasul Allah), bukan Tuhan Anak sebagaimana disebut di dalam ayat seterusnya yang bermaksud;
“Maka Maryam membawa anak itu kepada kaumnya dengan mengendongnya . Kaumnya berkata,: Hai Maryam, sesungguhnya kamu telah melakukan sesuatu yang jahat (berzina) dan ibumu sekali-kali bukannya seorang penzina”. (Mendengar kata-kata itu) Maryam menunjuk kepada anaknya (supaya mereka bertanya dia). Mereka berkata: “Bagaimana kami akan bercakap dengan anak kecil yang masih dalam buaian”. (Mendengar kata-kata itu), Isa bercakap; “Sesungguhnya aku ini hamba Allah, Dia memberi kepadaku al-Kitab (Injil) dan Dia menjadikan aku seorang Nabi, Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana sahaja aku berada, Dia memerintahkan kepadaku (mendirikan) solat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup”.
Maryam (19): 27-31
Kemudian dalam surah yang sama, pada ayat selepasnya, Allah menegaskan lagi bahawa apa yang dijelaskan oleh Nabi Isa dan ibunya seperti di atas adalah benar dan hak. Allah berfirman dengan maksudnya:
“Itulah Isa anak lelaki Maryam yang megatakan perkataan yang benar, yang mereka berbantah-bantah tentang kebenarannya”.
Maryam (19): 34
Ayat di atas menjelaskan bahawa Nabi Isa yang masih bayi tiba-tiba boleh bercakap bagi menjelaskan tentang kebenaran ibunya yang dia bukan perempuan jahat, dan apa yang diterangkan oleh ibunya adalah benar, tidak bohong dan tidak karut. Juga baginda sendiri apabila besar nanti akan dilantik menjadi rasul Allah, diberi kepadanya kitab (Injil), diperintah supaya mendirikan solat dan menunaikan zakat. Ini bererti bahawa baginda adalah seorang manusia yang dilantik menjadi Nabi dan rasul Allah. Kedua-dua tugas (mendirikan solat dan mengeluarkan zakat), ini adalah tugas rasul daripada manusia dan bukan tugas Tuhan. Dengan ini jelas Nabi Isa adalah rasul Allah, bukan Tuhan Anak.
Penjelasan yang panjang lebar dari ayat-ayat al-Quran di atas, menjelaskan bahawa Nabi Isa memang seorang rasul Allah yang mempunyai berbagai-bagai keistemewaan dan mempunyai mukjizat sebagai bukti yang baginda adalah rasul Allah. Baginda memang anak lelaki Maryam tanpa bapa. Bagi Allah, perkara sedemikian itu bukanlah suatu perkara mustahil, kerana Allah berkuasa mencipa apa sahaja yang Dia mahu.
Kemudian al-Quran menjelaskan lagi bahawa Nabi Isa adalah rasul Allah bukan Tuhan Anak dengan firmanNya yang bermaksud;
“Dan (bahawa Isa seorang rasul yang datang kepada kamu kaum Bani Israil) bagi membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelum kamu (yakni diturunkan kepada Nabi Musa), dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian yang telah diharamkan kepada kamu (sebelum ini), dan aku (Isa) datang (diutuskan) kepada kamu dengan membawa suatu tanda (mukjizat) daripada Tuhan kamu, kerana itu bertakwalah kepada Allah dan taatilah kepadaNya. Sesungguhnya Allah adalah Tuhanku dan Tuhan kamu, kerana itu sembahlah Dia, inilah jalan yang lurus”.
Al ‘Imran (3): 50-51
Ayat ini menjelaskan bahawa Nabi Isa memang rasul Allah yang tugasnya di antara lain menerangkan kepada kaum Bani Israil supaya percaya kepada kitab Taurat di samping kitab Injil yang diturunkan kepadanya. Kemudian diulangi lagi bahawa Allah memberi kepadanya mukjizat seperti yang diterangkan sebelum ini. Akhir sekali dijelaskan kapada kaumnya bahawa Allah Taala adalah Tuhan baginda danTuhan kaumnya, lalu dia (Isa) meminta supaya kaumnya sama-sama menyembah Allah Taala, bukan menyembah baginda dan jangan menganggap baginda sebagai Tuhan seperti dalam akidah trinity.
- NABI ISA DIJADIKAN/DICIPTA TANPA AYAH
Di tempat lain al-Quran menyebut bahawa Nabi Isa dicipta oleh Allah dengan ada ibu tanpa ada bapa. Hal sedemikian hampir sama dengan Allah mencipta Nabi Adam yang tiada ibu dan tiada bapa. Allah berfirman, maksudnya;
“Sesungguhnya contoh perbandingan (mengenai penciptaan) Isa di sisi Allah, adalah seperti (penciptaan) Adam, Allah menciptakan Adam daripada tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya: “Kun (Jadilah seorang manusia), maka jadilah dia (Adam)”.
Al ‘Imran (3): 59
Ayat ini membuat perbandingan bagaimana Allah menciptakan Nabi Adam dan Nabi Isa. Sewaktu mencipta Adam yang tiada ibu dan bapa, Allah hanya berfirman dan berkata: “Kun (Jadikan dia)”, maka Adam pun jadi. Bagi Allah tidak menjadi apa-apa masalah untuk mencipta Adam walaupun tiada ibu dan bapa. Demikian juga apabila Allah mahu menciptakan Nabi Isa, Dia berfirman, “Kun (Jadilah dia)”, maka Isa pun jadi walaupun hanya ada ibu sahaja tanpa ada bapa. Cuma bagi menciptakan Isa, Allah mengutus malaikat Jibril a.s. yang berupa seorang lelaki suci sebagaimana yang disebut di atas. Ayat ini juga menjelaskan yang Isa adalah manusia ciptaan Allah, bukan anak Allah atau Son of God. Selain itu orang-orang Kristian yakin – mengikut akidah mereka – bahawa Nabi Isa atau Jesus Christ mati disalib di palang salib sebagai menebus dosa warisan Adam yang melanggar larangan Allah seperti yang disebut sebelum ini. Sedangkan yang sebenarnya Nabi Isa tidak disalib, tetapi yang disalib itu ialah Judas Iscariot atau dalam bahasa Arab dipanggil Yahuza Iskhariot seorang sahabat baginda. Manakala Nabi Isa diselamatkan oleh Allah dengan di angkat ke langit, sebagaimana telah disebut di awal artikel ini. Baginda akan turun di akhir zaman nanti dan memerintah di dunia beberapa tahun dengan adil. Turunnya Nabi Isa adalah salah satu daripada alamat besar kiamat. Mengikut Islam, Nabi Isa memang hendak dibunuh dan disalib oleh orang Yahudi, tetapi baginda tidak dibunuh. Orang Yahudi hendak membunuh baginda bukan kerana untuk menebus doa warisan yang dilakukan oleh Nabi Adam a.s. tetapi kerana mereka tidak menerima kerasulannya.
- NABI ISA BUKAN TUHAN ANAK DAN TIDAK DIBUNUH/DISALIB
Kalaulah diterima anggapan Kristian bahawa Nabi Isa disalib untuk menebus dosa warisan Adam, ini satu perkara yang tidak boleh diterima oleh akal. Bagaimana Nabi Adam a.s. yang melakukan kesalahan tiba-tiba Nabi Isa yang dikenakan hukum bunuh dan salib. Orang lain yang buat salah (melakukan jenayah), tiba-tiba orang lain yang kena hukum. Ini satu kezaliman dan bukan satu keadilan. Sepatutnya apabila Nabi Adam melakukan kesalahan, maka bagindalah yang kena hukum bukan Nabi Isa. Al-Quran menolak anggapan salah Kristian itu dengan menyebut bahawa mereka (orang-orang Kristian) berkata;
“Dan kata-kata mereka, sesungguhnya kami telah membunuh al-Masih Isa anak lelaki Maryam rasul Allah. Pada hal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya , tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka (iaitu Judas Iscariot Zimon atau Yahuza Iskhariot). Sesungguhnya orang-orang yang berselisih faham tentang (pembunuhan) Isa benar-benar dalam keraguan tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu kecuali mengikut sangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahawa yang mereka bunuh itu adalah Isa”.
Al-Nisa (4): 157
Berdasarkan petikan ayat al-Quran di atas, Allah mejelaskan mengenai beberapa perkara penting:
- Menolak kepercayaan orang Kristian yang percaya Nabi Isa dibunuh dan disalib, bahkan yang dibunuh dan disalib adalah orang lain yang diserupakan oleh Allah dengan Nabi Isa iaitu Judas/Yudas Iscariot Simon. Peristiwa itu berlaku, mungkin sebagai balasan Allah kepadanya di atas perbuatan jahat beliau bersama-sama orang Yahudi untuk menangkap dan membunuh Nabi Isa.
- Al-Quran menjelaskan bahawa Nabi Isa adalah seorang rasul Allah (bukan Tuhan Anak/Son of God).
- Al-Quran menjelaskan lagi bahawa orang-orang Kristian sendiri tidak yakin siapa sebenarnya yang dibunuh itu, bahkan mereka masih dalam keraguan.
Dalam ayat lain lagi, Allah meminta daripada Ahli Kitab (khususnya Kristian) supaya jangan melampau dalam agama, jangan membuat tuduhan yang tidak benar kepada Allah. Juga Allah memperjelaskan sekali lagi keadaaan Nabi Isa yang sebenar melalui firmanNya bermaksud;
“Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agama kamu dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sesungguhnya al-Masih Isa anak lelaki Maryam itu adalah rasul Allah (utusanNya), (yang diciptakan dengan kalimahNya: “Kun –jadilah-”) yang disampaikan kepada Maryam dan (dengan tiupan) roh daripadaNya (yakni dengan perintah Allah melalui malaikat Jibril). Maka berimanlah kamu dan janganlah kamu mengatakan (Tuhan itu) tiga. Berhentilah (dari berkata demikian itu kerana) itu lebih baik bagi kamu”.
Al-Nisa’ (4): 171
Melalui ayat ini, Allah meminta daripada Ahli Kitab Kristian supaya jangan melampau dalam agama, termasuk jangan mengatakan Nabi Isa itu Tuhan Anak, kerana baginda sebenarnya adalah anak lelaki Maryam. Beliau mengandungkannya tanpa bapa bahkan melalui perintah Allah kepada malaikat Jibril seperti mana yang disebut sebelum ini. Ayat ini juga menjelaskan bahawa Nabi Isa al-Masih adalah rasul Allah untuk Bani Israil dan jangan mengatakan baginda itu salah satu daripada tiga Tuhan. Kalau inilah penjelasan daripada Allah mengenai Nabi Isa, maka jelaslah bahawa baginda bukan Son of God dan baginda bukan mati dibunuh dan disalib seperti yang dipercayai oleh penganut Kristian dahulu dan sekarang, tetapi sebenarnya baginda adalah anak lelaki Maryam yang dipilih dan dilantik menjadi rasul Allah kepada Bani Israil dan baginda akhirnya diangkat ke langit.
Dalam surah al-Ma’idah pula, al-Quran memarahi orang Kristian dan menganggap mereka adalah kafir kerana mereka mengatakan al-Masih Isa adalah Tuhan seperti dalam akidah trinity mereka. Al-Quran menyebut dengan maksudnya;
“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah itu ialah al-Masih Isa anak lelaki Maryam”. Katakanlah (kepada mereka): “Maka siapakah (gerangannya) yang dapat menghalangkan kehendak Allah, jika Dia hendak membinasakan al-Masih itu berserta ibunya dan seluruh orang-orang yang berada di bumi semuanya?”. (Tentu tidak ada orang yang boleh menghalangkannya)”.
Al-Ma’idah (5):17
Begitu juga Allah mengkafirkan orang-orang yang berkata Allah itu tiga. Bahkan yang sebenarnya Allah Taala adalah esa, tidak berbilang dan tidak ada sekutu bagiNya. Allah berfirman maksudnya;
“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang mengatakan: “Bahawasanya Allah itu salah satu daripada (Tuhan) yang tiga”. Pada hal tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya melainkan Allah Yang Esa jua”.
Al-Ma’idah (5): 73
Ayat ini menjelaskan bahawa Allah mengkafirkan sesiapa sahaja yang mengatakan Nabi Isa anak lelaki Maryam itu adalah Tuhan yang disembah, bahkan Tuhan yang sebenar yang wajib disembah hanya Allah Yang Esa sahaja. Kata-kata mereka itu adalah karut, bohong dan boleh menjadi syirik. Allah menyebut lagi bahawa Dia berkuasa membinasakan Nabi Isa kalau Dia mahu melakukannya . Kalau Isa itu Tuhan, bagaimana baginda boleh dibinasakan oleh Tuhan Allah atau Tuhan Bapa (mengikut kepercayaan Kristian). Bahkan kalau baginda itu Tuhan, maka kuasa baginda dan kuasa Allah sama-sama kuat dan sama-sama gagah. Tak mungkin baginda dapat dibinasakan oleh Allah. Bahkan mungkin baginda dapat mengalahkan Allah/Tuhan Bapa. Sedangkan dalam ayat ini Allah menyebut dengan terang dan jelas bahawa Allah berkuasa membinasakan Isa dan ibunya juga sesiapa jua kalau Dia mahu.
KESIMPULAN
Daripada apa yang diterangkan dengan panjang lebar di atas, jelaslah bahawa orang-orang Kristian percaya Nabi Isa atau Jesus Christ adalah Tuhan Anak/Anak Tuhan, iaitu salah satu daripada tiga Tuhan sebagaimana yang diyakini dalam kepercayaan akidah trinity mereka. Bagi mereka Tuhan yang satu itu ada tiga oknum atau tiga personaliti, iaitu; Tuhan Bapa (Allah), Tuhan Ruh al-Quds (Malaikat Jibrail) dan ketiganya Tuhan Anak (Isa al-Masih). Kepercayaan mereka sedemikian adalah salah kerana yang sebenarnya Nabi Isa adalah seorang manusia, anak lelaki Maryam yang tiada bapa. Baginda memang seorang rasul Allah kepada Bani Israil. Baginda tidak mati disalib untuk menebus dosa warisan Nabi Adam a.s., bahkan Allah mengangkat baginda ke langit. Yang mati disalib ialah Judas/Yudas Iscariot Simon yang diserupakan oleh Allah dengan baginda. Segala kepercayaan dan keyakinan orang Kristian yang salah, dijawab dengan panjang lebar oleh Allah pencipta Nabi Isa di dalam banyak ayat al-Quran. Dengan itu jelas bahawa pandangan Islam mengenai Nabi Isa adalah betul, benar dan hak, dan sekaligus kepercayaan penganut Kristian adalah salah dan tidak boleh diterima oleh akal yang waras. Kerana itu pendapat tersebut perlu ditolak dan ditinggalkan.
[1]Selepas ini akan digunakan nama Jesus Christ bagi merujuk kepada Nabi Isa menurut pandangan Kristian, dan dikekalkan nama Nabi Isa menurut pandangan Islam.
[2] Ahmad Syalabi (2002), Muqarah al-Adyan: Al-Masihiyyah, c. 6, Qaherah: Maktabah al-Nahdah al-Misriyyah, h. 152. Muhammad Abu Zuhrah (1977), Muhadharat fi al-Nasraniyyah, c. 5, T.T.P: Dar al-Fikr al-‘Arabiy, h. 118.
[3] Khadijah Mohd Khambali @ Hambali (1993), Konsep Trinity Menurut Agama Kristian Dan Pandangan Islam Terhadapnya, Tesis Sarjana, Kuala Lumpur: Akademi Islam Universiti Malaya, h. 85-113.
[4] Ahmad Syalabi (2002), op. cit, h. 53.
[5] Khadijah Mohd Khambali @ Hambali (1993), op.cit, h. 85-86.
[6] Surah Al ‘Imran (3): 59.
[7] Khadijah Mohd Khambali @ Hambali (1993), op.cit, h. 87.
[8] Ibid
[9] Ibid, h. 89.
[10] Ibid, h. 94.
[11] Ibid
[12] Ahmad Syalabi (2002), op.cit, h. 48-49.
[13] Ibid, h. 67-68. Ahmad Redzuwan Mohd Yunus (2011), Metodologi Dakwah Di Malaysia,Selangor: Meteor Doc. Sdn.Bhd., h. 37.
[14] Surah Al ‘Imran (3): 49.
[15] Ahmad Syalabi (2002), op.cit, h. 68-69.
[16] Omar Sulaiman Abdullah al-Asyqar (2007), Al-Qiyamah al-Sughra, Jordan: Dar al-Nafa’is, h. 269-270. Ahmad Syalabi (2002), op.cit, h. 70.
[17] Ahmad Syalabi (2002), op.cit, h. 75-76.
[18] Muhammad Ibn Jarir al-Tabari (t.t), Jami’ al-Bayan wa Tafsir al-Quran, juz. 3, h. 200-201.
[19] Majalah al-Dakwah al-Islamiyyah (1400H), ‘Isa Ibni Mayram, al-Mamlakah al-Arabiyyah al-Saudiyyah, bil. 738, Rabi’ al-Thani, h. 9.
[20] Muhammad Abu Zuhrah (1977), op.cit, h. 28-29.