Pada 19 Mac 2025 (Rabu), YBrs. Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid, Rektor UC TATI telah mengadakan kunjungan hormat ke KIAS. Pegawai daripada UC TATI yang turut bersama-sama dalam majlis tersebut ialah Ts. Dr. Mohd Najib bin Muhamed, Timbalan Rektor (Akademik & Pengantarabangsaan), Pn. Hanyza binti Ahmad (Pendaftar), Dr. Akhyari bin Nasir (Dekan Fakulti Komputer Media & Pengurusan Teknologi), En. Ahmad Farid Ridhwan bin Zakaria (Pengurus Jabatan Promosi, Pemasaran & Komunikasi Korporat) dan En. Mohd Tamizan bin Abu Bakar (Ketua Program Networking).
Manakala pihak KIAS dihadiri oleh YABrs. Prof. Madya Dr. Haji Mazlan bin Ibrahim, Rektor dan pengurusan tertinggi serta Pengurus Pusat TVET KIAS. Kedua-dua pihak membincangkan mengenai peluang kerjasama yang boleh diadakan untuk meningkatkan persefahaman dalam bidang pengajian tinggi. Pihak UC TATI juga telah berkongsi pengalaman mereka dalam menawarkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasinal (TVET) yang bertujuan untuk melahirkan graduan yang mahir dan berkebolehan dalam bidang teknikal. Sebagai institusi pendidikan yang berfokus pada program TVET, UC TATI menyampaikan beberapa pendekatan dan pengalaman dalam usaha menawarkan program TVET.
Sebagai langkah permulaan, pihak KIAS telah melaksanakan program Sijil Pengurusan Masjid yang telah mendapat kelulusan pelaksanaan dan akan diikuti dengan beberapa program lain seperti Sijil Jahitan, Sijil Pendidikan Awal kanak-Kanak dan Sijil Tahfiz.