Pada 13hb Mac 2023, satu majlis apresiasi dan penyampaian sijil Peneraju Tunas BRIDGE Karisma YAKIN 2021 telah diadakan di Dewan Johor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Majlis yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) KIAS ini turut dihadiri oleh YBhg. Ts. Dr. Mohd Muzzammil Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, YBhg. En. Shamsul bin Abu Bakar, Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim dan Puan Emilia Zainol, Pengarah Urusan Q3 Management Solutions Sdn. Bhd.
Majlis ini diadakan bagi meraikan 64 mahasiswa KIAS yang telah berjaya menamatkan program dan mendapat sijil Digital Literacy Programme (DLP) dan Nurture and Development Programme (NDP). Selain itu mahasiswa yang berjaya turut mendapat pengiktirafan dan dikenali sebagai Certified Enterprise Data Practitioner daripada CADS.
Program Peneraju Tunas BRIDGE Karisma YAKIN 2021 adalah bertujuan untuk membimbing dan membangunkan mahasiswa dari latar belakang B40 untuk masa depan yang mampan. Selain itu ia juga mampu membekalkan mahasiswa dengan kemahiran literasi digital, insaniah serta kepimpinan yang akan dapat digunakan dalam alam pekerjaan atau perniagaannya kelak. Melalui program ini juga mampu meningkatkan peluang graduan KIAS untuk mendapat pekerjaan (kebolehpasaran) dalam industri yang diceburi.
Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh YBhg.
Ts. Dr. Mohd Muzzammil Ismail dan YBhg. En. Shamsul bin Abu Bakar selaku tetamu
kehormat bagi majlis yang diadakan ini. Melalui ucapan aluan yang disampaikan
oleh YBrs. Dr. Lina Malini binti Mat Nafi, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar
dan Alumni, pihak KIAS sangat berterima kasih kepada pihak Yayasan Peneraju
Pendidikan Bumiputera dan YAKIN di atas peluang yang diberikan kepada mahasiswa
KIAS dalam meningkat kemahiran diri khususnya melalui kemahiran digital dan
insaniah. YBrs Timbalan Rektor turut menzahirkan penghargaan kepada Q3
Management Solutions Sdn. Bhd. sebagai pelaksana yang banyak memainkan peranan
dalam memastikan kejayaan mahasiswa KIAS dalam program ini.