Pada 19 September 2024, YB Kamaruzaman bin Mohamad, Timbalan Exco Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola KIAS telah hadir ke KIAS mewakili Pengerusi Lembaga Pengarah KIAS, YB Ustaz Wan Roslan bin Wan Hamat bagi menyampaikan surat pelantikan Profesor kepada Prof. Dr. Mazlan bin Ibrahim, Rektor KIAS.
Majlis tersebut yang turut dihadiri pengurusan kanan KIAS juga dimaklumkan bahawa proses kenaikan pangkat profesor ini telah melalui penilaian pakar akademik dalam dan luar negara dan telah mendapat sokongan yang tinggi.
Berasaskan pengesyoran berkenaan, maka pihak Lembaga Pengarah KIAS telah bersetuju mempertimbangkan untuk melantik Rektor KIAS sebagai Profesor berkuatkuasa pada 15 September 2024.
Sesungguhnya pelantikan tersebut adalah amat wajar dan bertepatan sekali dengan gerakerja KIAS dalam mencapai taraf universiti penuh menjelang 2027 serta menaikkan imejnya sebagai sebuah IPT yang menjadi pilihan ramai.
Dalam sesi selepas itu, YB Kamaruzaman telah meluangkan masa meninjau persiapan Majlis Konvokesyen KIAS Kali yang ke-24 yang akan berlangsung pada 7 Oktober 2024. Beliau telah diberikan taklimat oleh pengurusan KIAS berkenaan perkembangan proses penyiapan Dewan Johor dan sekitarnya yang akan menjadi lokasi majlis konvokesyen nanti.
Beliau melahirkan rasa berpuas hati dengan kerja yang sedang berjalan dan mendoakan agar semuanya akan dapat disempurnakan sebelum majlis kelak.