Perutusan Rektor

PROFESOR . DR. HJ MAZLAN BIN IBRAHIM

Penubuhan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) merupakan satu tanggungjawab besar dalam melaksanakan sistem pendidikan tinggi bersepadu yang lebih sistematik bagi melahirkan insan yang bertaqwa dan berketrampilan serta mampu mendepani arus cabaran untuk turut sama memainkan peranan dalam pembangunan ummah.  Ia merupakan satu wawasan yang tinggi dan murni ke arah melahirkan generasi muslim yang sempurna dari segi rohani dan jasmani.

     Untuk mencapai tujuan tersebut, kami memberi penekanan kepada kualiti dan kecemerlangan.  Bagi merealisasikan aspirasi ini, setiap warga KIAS diberi penekanan terhadap falsafah, objektif dan misi KIAS kerana kejayaan dan kecemerlangan sesuatu institusi adalah bermula daripada pemahaman dan penghayatan yang sebenar terhadap konsep tersebut. Mereka dikehendaki menghargai setiap saat di KIAS ini sebagai satu peluang membaiki diri untuk mencapai kecemerlangan kerana KIAS sememangnya bersedia untuk melahirkan generasi muslim yang berilmu, berwibawa dan berbudaya mulia.

Bagi memastikan kecemerlangan pembangunan akademik dan meletakkan martabat Kolej setanding dengan institusi pengajian tinggi yang lain, maka usaha mempertingkatkan kemampuan akademik tenaga pengajarnya diberikan perhatian utama.

      Di KIAS, kami percaya bahawa pendidikan yang mantap dan berkualiti serta mempunyai tasawwur yang benar-benar berlandaskan konsep keislaman akan dapat melahirkan nilai-nilai yang hebat dan cemerlang serta universal dalam melahirkan generasi yang berwibawa. 

      Adalah diharapkan semoga KIAS bukan saja akan terus menjadi kebanggaan masyarakat negeri Kelantan, malah ianya turut mengukir nama sebagai sebuah pusat penyebaran ilmu yang berwibawa di rantau ini.