Sejarah

Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) ialah sebuah institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang ditubuhkan di bawah Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta (1996) (Akta 555) dikendalikan oleh KIAS Darul Naim Sdn Bhd (KDSB), anak syarikat Akademi Yakin Sdn. Bhd. (AYSB). Gagasan dan idea penubuhan kolej ini adalah inspirasi Kerajaan Negeri yang bercita-cita memusatkan Kelantan sebagai serambi perkembangan ilmu Islam tersohor di rantau ini.

Penubuhan KIAS merupakan kesinambungan dari Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) Nilam Puri yang ditubuhkan pada tahun1965. Pada 1 April 1981, YPTIK diserapkan ke Universiti Malaya dengan nama Akademi Islam Universiti Malaya (AIUM) yang kemudiannya digabungkan dengan Jabatan Pengajian Islam untuk membentuk Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) pada tahun 1996. Usaha dan kesedaran peri pentingnya pengajian Islam di peringkat tinggi tidak pernah luntur dan direalisasikan apabila Kerajaan Negeri melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK) menubuhkan Maahad Dakwah Wal Imamah pada 1994 hasil cetusan idea YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Hj. Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan pada waktu itu.Pada tanggal 23 Mac 2021, KIAS telah mendapat kelulusan naiktaraf kepada Kolej Universiti daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menyahut perkembangan pendidikan kontemporari yang kian pesat, Maahad Dakwah Wal Imamah dirangka semula dalam struktur yang lebih dinamik dengan penubuhan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) pada tanggal 24 Ogos 1999 yang dirasmikan oleh KDYMM Sultan Ismail Petra, Sultan Kelantan Darulnaim.

KIAS diawal operasinya menawarkan tiga program pengajian diperingkat Diploma iaitu Diploma Al-Syariah, Diploma Usuluddin dan Diploma Al-Dakwah Wal Qiadah. Mulai sesi 2002/2003 KIAS telah menambah program Ijazah Sarjana Muda berkembar (3+1) dengan Universiti al-Azhar, Mesir, di bidang Al-Syariah dan Usuluddin. Seterusnya mulai sesi pengajian 2006/2007, KIAS melangkah setapak lagi ke hadapan dengan menawarkan program Diploma Bahasa Arab. Manakala pada Sesi November 2007, KIAS telah mula menerima pelajar-pelajar bagi mengikuti satu lagi program terbaru KIAS iaitu Sijil Pengajian Islam yang direka khas untuk memberi peluang kepada pelajar lepasan SPM yang tidak mempunyai kelayakan memasuki pengajian di peringkat Diploma.

Apabila Universiti Al-Azhar memberhentikan kerjasamanya pada tahun 22 April 2008, KIAS telah menandatangani kerjasama dengan Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Kedah, pada 15 Februari 2009 untuk menawarkan program kolaborasi 4+0 Sarjana Muda Syariah dengan Kepujian dan Sarjana Muda Usuluddin dengan Kepujian. Seterusnya pada Jun 2010, tiga program Diploma baru ditawarkan iaitu Diploma Tahfiz Al-Quran, Diploma Qiraat & Tarannum dan Diploma Kewangan Islam disusuli kemudiannya dengan Diploma Perbankan Islam dan Diploma Pengajian Islam pada Jun 2012. Hasil usaha yang berterusan, KIAS berjaya menambah 3 lagi program Diploma iaitu Diploma Dakwah Dengan Media, Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak Secara Islam dan Diploma Pengurusan Logistik & Rantaian Bekalan mulai semester Jun 2014/2015. Pada semester Jun 2015/2016, satu lagi program mula ditawarkan iaitu Diploma Kaunseling dan pada Jun 2017/2018 pula, KIAS mula menawarkan Diploma Pengurusan Halal. 

Memandangkan semua program yang ditawarkan oleh KIAS telah mendapat akreditasi MQA serta pengiktirafan JPA, maka mereka tiada masalah bagi memasuki pasaran kerja khususnya dalam perkhidmatan awam. Di samping itu, mereka juga layak untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di IPT dalam dan luar negara seperti universiti-universiti di Jordan dan Mesir, Institut Agama Islam Negeri (IAIN) serta Universitas Islam Negeri (UIN) di Indonesia dan juga IPTA/S tempatan seperti KUIN, KUIS, IUKL, UM, UKM, UIAM, UMK, UNISZA dan lain-lain.

Sejak ia ditubuhkan sehingga kini, KIAS terus-menerus mengorak langkah maju dengan kemasukan pelajar dari dalam dan luar negara seperti Indonesia, China, Thailand, Kemboja, Singapura, Nigeria dan Palestin. Seramai 1192 orang pelajar kini dibimbing oleh barisan pendidik daripada pelbagai jurusan seramai 106 orang pensyarah termasuk 19 orang berkelulusan Doktor Falsafah, 70 orang Sarjana dan 17 orang Sarjana Muda. Pengurusan KIAS pula diurus tadbir oleh 79 orang kakitangan daripada pelbagai peringkat. Para graduan yang dilahirkan oleh KIAS pada hari ini adalah hasil usaha dan kesungguhan warga KIAS seluruhnya yang memikul amanah dalam merealisasikan aspirasi melahirkan ilmuan dan profesional Islam yang berakhlak mulia, bertaqwa dan modal insan berteraskan acuan Pendidikan Rabbani yang berupaya untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.